MyWakaf 2.0 bangun kubah pengering solar - Utusan Malaysia

MyWakaf 2.0 bangun kubah pengering solar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: MyWakaf 2.0, inisiatif dibawah Persatuan Perbankan dan Institusi Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), dijangka membangunkan 14 Kubah Pengering Solar (SDD) yang bakal memberi manfaat kepada komuniti nelayan di semua negeri dalam tempoh tiga tahun akan datang.

AIBIM berkata, fasa satu projek tersebut melibatkan lima negeri berbeza iaitu Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor.

Katanya, projek SDD dirancang untuk dilaksanakan di seluruh negara di semua 14 negeri di Malaysia yang dibangunkan dengan ciri termasuklah mudah dibina, digunakan dan diselenggara serta memperkasa dengan mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat.

“Transformasi myWakaf kepada myWakaf 2.0, menekankan komitmen terhadap perubahan positif dan kemampanan.

“Projek SDD bersedia untuk mencipta impak yang berkekalan, mencerminkan dedikasi AIBIM myWakaf untuk menangani keperluan masyarakat yang pelbagai.

“Sejajar dengan perkembangannya, myWakaf memegang janji untuk menyumbang secara signifikan kepada kemakmuran bersama dan pembangunan sosial di Malaysia,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.

MyWakaf 2.0 telah dilancarkan pada Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur ke-18 (KLIFF 2023) di sini baru-baru ini.

Sementara itu, AIBIM berkata, kejayaan enam projek myWakaf 1.0 di beberapa negeri dengan pengumpulan dana lebih RM8 juta mendorong persatuan untuk mewujudkan lebih banyak lagi projek dalam wakaf.

“Pengenalan Wakaf Madani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengumumkan Wakaf Madani semasa pembentangan Belanjawan 2023 untuk memaksimumkan aset bernilai RM1 bilion dengan komitmen sektor swasta, menambahkan lagi keterujaan,” ujarnya.

Tambah AIBIM, sebanyak sembilan bank menyertai myWakaf 2.0 iaitu Affin Islamic Bank Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Bank Rakyat dan Bank Simpanan Nasional.

Turut menyertai adalah CIMB Islamic Bank Berhad, Maybank Islamic Berhad, MBSB Bank Berhad and RHB Islamic Bank Berhad.

Sementara itu, turut sama dalam inisiatif tersebut adalah 11 Majlis Agama Islam Negeri termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu.

Terlibat sama adalah Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang, Perbadanan Wakaf Selangor, Tabung Baitulmal Sarawak dan Wakaf Pulau Pinang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya