MASALAH makhluk perosak di rumah terutamanya anai-anai mungkin dilihat sebagai masalah biasa dan boleh dibasmi dengan membeli racun serangga atau sebagainya.
Namun mengikut statistik kerugian hartanah, masalah anai-anai ini sebenarnya adalah isu besar sehingga membabitkan kerugian lebih RM40 juta setahun.
Ini kerana, ramai pemilik rumah yang masih alpa atau tidak peka betapa pentingnya memastikan rumah yang didiami bebas daripada serangan makhluk perosak.
Bukan sahaja mendatangkan isu keselamatan di rumah sendiri, malah ia boleh memberi kesan kepada kesihatan dan rasa ketidakselesaan selain turut memakan kos pemulihan yang agak tinggi.
Pengurus Pemasaran AJ Pest Control, Khairun Naim Abu Bakar berkata, terdapat pelbagai kategori makhluk perosak yang biasa dialami oleh pemilik rumah di negara ini antaranya serangga perosak am dan anai-anai.
“Serangga perosak am termasuk masalah lipas, semut dan tikus manakala kategori anai-anai pula merupakan serangan anai-anai yang kebiasaannya sehingga membabitkan struktur kediaman.
“Untuk kategori anai-anai melibatkan kos yang sangat tinggi jadi pemilik rumah perlu mengambil perhatian terhadap masalah serangga perosak ini terutama sebelum mendiami rumah tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam membasmi serangga perosak itu menjelaskan, terdapat pelbagai faktor serangan anai-anai contohnya tanah tapak perumahan itu asalnya merupakan ladang kelapa sawit dengan tanah yang subur.
Katanya, jika pemaju perumahan membangunkan tapak perumahan tersebut tanpa sistem pencegahan yang diperlukan untuk menghalang serangan anai-anai, ia akan mendatangkan masalah selepas rumah tersebut mula didiami kelak.
“Sebelum tapak perumahan dibangunkan, selalunya pihak pemaju akan memanggil syarikat kawalan serangga bagi memastikan tidak berlaku masalah di kemudian hari. Kami akan kenal pasti jenis anai-anai dan lakukan kaedah pencegahan di tapak tersebut contohnya rawatan tanah, pengikatan kimia dan sebagainya.
“Selain itu, dengan pencegahan awal, pemaju akan mendapat waranti sehingga 10 tahun daripada syarikat kawalan serangga jadi sekiranya terdapat masalah anai-anai yang berlaku selepas pemilik rumah mendiami rumah mereka dalam tempoh tersebut, kami akan dipanggil untuk menyelesaikannya,” ujarnya.
Ditanya sekiranya masalah anai-anai boleh terjadi disebabkan bahan binaan yang tidak berkualiti, Khairun Naim berkata, ia boleh terjadi sekiranya pemaju menggunakan bahan binaan berasas tumbuhan kerana itu adalah sumber makanan anai-anai.
“Ia boleh dicegah sekiranya pembekal bahan binaan tersebut telah melakukan rawatan terhadap bahan mentah itu terlebih dahulu.
“Namun harus diingat, masalah anai-anai boleh juga berlaku selepas bahan kelengkapan diletakkan di dalam rumah misalnya kabinet dapur, almari baju dan sebagainya,” katanya yang turut menekankan rumah di aras tinggi turut tidak terkecuali daripada menghadapi masalah anai-anai.
Tegas beliau, kaedah pencegahan anai-anai sememangnya perlu dititikberatkan kerana sekiranya masalah ini berlaku ketika kita sudah mendiami rumah, pastinya akan merosakkan struktur rumah dan perabot seterusnya menelan kos yang lebih tinggi.
“Ia boleh mendatangkan bahaya kepada penghuni rumah kerana ada kes di mana anai-anai telah makan struktur kayu pada kipas sehingga kipas di dalam bilik pelanggan saya jatuh. Mujur tiada sesiapa di dalam bilik ketika itu.
“Namun, saya syorkan pemilik rumah melakukan pencegahan anai-anai sebelum memasuki rumah kerana kami tidak boleh memberikan tempoh waranti yang panjang sekiranya sudah ada sejarah berlakunya masalah anai-anai,” ujarnya.
Mengulas mengenai kesedaran pencegahan serangga perosak, Khairun Naim berkata, masih ramai pemilik rumah yang tidak tahu apa yang perlu dilakukan apabila berdepan dengan ancaman makhluk perosak.
“Pendedahan masih rendah dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya penduduk di luar bandar. Kalau diikutkan, industri pencegahan serangga ini bermula sejak tahun 80-an namun hanya terdedah kepada penduduk di bandar sahaja.
“Justeru, di samping membasmi kehadiran makhluk perosak, kami juga berusaha keras untuk mendidik orang ramai kerana kami turut memberi khidmat nasihat berdasarkan masalah yang mereka hadapi.
“Semuanya berdasarkan keadaan rumah dan serangga yang menyerang. Ada yang perlukan rawatan berjadual dan semuanya akan ditentukan setelah melihat sendiri keadaan rumah serta gaya hidup penghuninya,” ujarnya. – UTUSAN