DEKORASI rumah yang murah atau bajet tetapi menarik bukanlah sesuatu perkara yang mustahil untuk dicapai.
Anda boleh melakukan perubahan untuk rumah anda dengan harga rendah tanpa membazir dengan syarat perlu pandai memilih.
Sebelum melakukan dekorasi rumah mengikut cara anda sendiri, anda boleh membandingkan harga terlebih dahulu sebelum membuat pilihan kedai dan barangan yang anda gunakan.
Warna dekorasi rumah
Bila nak memilih warna terang untuk dinding anda, pastel lembut semestinya pilihan yang tepat. Secara tak langsung ia dapat menjadikan sesebuah bilik atau ruang kelihatan lebih luas. Selain itu, ia mewujudkan suasana yang cerah lagi harmoni dalam kediaman anda.
Pilih warna yang sesuai untuk disepadankan dengan dinding, lantai, langsir dan lain-lain barang yang terdapat dalam rumah anda.
Ia akan tampak mewah jika anda pandai padankan warna barangan dengan warna dekorasi rumah.
Letak cermin di dinding
Tips menggunakan cermin pada dinding selalu digunakan oleh kebanyakan pakar hiasan dalaman untuk pastikan ruang nampak lebih luas. Bukan itu saja, cermin hias dinding juga mampu menjadikan ruang tampil lebih elegan dengan gaya tersendiri.
Perasan tak, kebanyakan rumah kecil yang kelihatan cantik dan besar adalah kerana terdapat cermin besar di dindingnya.
Cermin adalah satu medium hebat dalam ‘menghidupkan’ suasana di dalam rumah. Cermin berupaya menjadikan suatu ruang nampak lebih luas, malah cermin hiasan menyerlahkan keindahan ruang tersebut.
Sekiranya anda meletakkan cermin berhadapan sebuah bingkai lukisan yang indah, ia akan memberikan penekanan pada lukisan tersebut, dan begitulah sebaliknya.
Menggantung cermin jauh dari tingkap rumah juga merupakan satu kaedah baik, kerana ia akan meningkatkan jumlah cahaya semula jadi masuk ke dalam bilik.
Barangan DIY (Do it yourself) sebagai hiasan rumah
Rumah-rumah cantik di luar negara kebanyakannya dihiasi dengan barang-barang yang diperbuat dari bahan DIY? Barangan DIY juga membantu dekorasi rumah anda untuk kelihatan lebih menarik walaupun sebenarnya ia adalah barang-barang bajet.
Dengan bajet tak sampai RM100, guna barang-barang yang ada dijual dalam kedai RM2 pun rumah boleh nampak cantik dan mahal.
Pelbagai pilihan barangan yang boleh dibeli untuk menaikkan seri rumah seperti sticker untuk peti sejuk, pengelap kaki besar, lampu dinding berwarna putih dan macam-macam lagi.
Pencahayaan rumah yang bersesuaian
Tidak semestinya semua sudut rumah anda harus letakkan lampu yang terang. Ada tempat yang boleh anda gunakan lampu bajet dan biasa sahaja, tetapi ia akan nampak lebih menarik dan sesuai.
Pencahayaan antara elemen penting dalam menata hias kediaman dan ia memainkan peranan utama untuk mencipta suasana menenangkan bagi setiap ruang.
Pemilihan lampu dan pencahayaan merangkumi pelbagai faktor. Antaranya gaya, rekaan moden atau klasik, material digunakan seperti logam, kaca, kristal atau kepelbagaian bentuk bertepatan bagi ruang pilihan.
Ketika memilih lampu, pastikan ia bertepatan dengan tema keseluruhan reka bentuk rumah dan perabot.
Perabot yang biasa-biasa
Jangan gunakan perabot yang berlebihan untuk dekorasi rumah. Cukuplah anda gunakan perabot yang ala kadar dan tidak berlebihan.
Perabot yang banyak menjadikan rumah anda sempit dan semak manakala perabot yang sederhana dan bajet pula akan mencantikkan rumah anda. Pasti ia akan nampak lebih eksklusif dan mewah.
Kertas dinding (wallpaper) dari kedai RM2
Anda juga boleh memilih wallpaper untuk dijadikan hiasan corak dinding di mana anda boleh mendapatkannya dari kedai RM2 sahaja.
Terdapat pelbagai corak yang menjadi idaman dekorasi rumah boleh anda pilih. Semuanya berkualiti, cantik dan sangat menarik.
Anda boleh meletakkan wallpaper di bahagian dinding ruang tamu, bilik tidur, dapur dan lain-lain lagi.
Gantung hiasan dinding
Anda boleh tampilkan hiasan dinding untuk berikan ilusi berbeza. Ini adalah helah untuk membawa mata fokus kepada hiasan dinding yang seterusnya jadikan ruang nampak lebih luas.
Bukan saja berfungsi sebagai hiasan, hiasan dinding juga memberikan identiti tersendiri kepada pemilik rumah.
Tempat yang menjadi pilihan bagi membeli barangan dekorasi rumah bajet
Anda boleh pergi ke kedai RM2 atau MR. DIY yang berdekatan dengan anda untuk melihat pelbagai barangan dekorasi murah yang ditawarkan.
Selain itu, di zaman serba moden ini, anda juga boleh menggunakan platform atas talian seperti Lazada, Shopee dan sebagainya untuk mencari barangan dekorasi yang diinginkan dengan harga yang berpatutan serta mampu milik.
Seterusnya, kedai barangan rumah seperti perabot, lampu, karpet dan banyak lagi barangan hiasan rumah dijual di Ikea di mana reka bentuknya nampak lebih ringkas dan eksklusif. – UTUSAN