Kenaikan harga rumah tidak dapat dielakkan - Utusan Malaysia

Kenaikan harga rumah tidak dapat dielakkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMAJU hartanah dalam negara melihat kenaikan harga rumah secara beransur-ansur memang tidak dapat dielakkan didorong oleh kadar dasar semalaman (OPR), kos pematuhan, kos bahan dan kenaikan harga buruh.

Pengerusi Eksekutif LBS Bina Group Berhad, Tan Sri Lim Hock San berkata, pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan OPR pada 3.0 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) 7 September lepas dijangka mempengaruhi harga kediaman.

“Isu kenaikan kos buruh dan harga bahan mentah pula merupakan antara cabaran para pemaju hartanah di Malaysia.

“Untuk perancangan pembangunan industri hartanah yang lebih mampan, kerajaan boleh menangani kesan kenaikan bahan binaan yang sukar dikawal dan mengurangkan impak kos itu dengan mengurangkan kos pematuhan yang terpaksa ditanggung oleh pemaju-pemaju hartanah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kanan Wilayah Tengah Sunway Property, Chong Sau Min berkata, kenaikan harga rumah secara beransur-ansur akan dijangka akan berlaku disebabkan oleh faktor seperti peningkatan kos pematuhan, kos bahan dan kenaikan harga buruh.

Kenaikan harga rumah secara beransur-ansur tidak dapat dielakkan disebabkan oleh faktor seperti peningkatan kos pematuhan, kos bahan dan kenaikan harga buruh.

Tenaga buruh yang berkurang telah menyebabkan permintaan yang tinggi dan sekali gus meningkat harga mereka.

“Bagi menyelesaikan masalah kekurangan tenaga buruh, kerajaan boleh meliberalisasikan permohonan permit pekerja asing dan membenarkan permit yang dilanjutkan selama bertahun-tahun, lebih banyak insentif cukai ke atas penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS),” katanya.

Pengerusi Lagenda Properties (Lagenda), Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin pula berpendapat harga kediaman bergantung kepada pelbagai faktor antaranya kos pembinaan, nilai semasa hartanah dan pasaran perumahan di setiap lokaliti.

“Lagenda selaku syarikat pemaju perumahan mampu milik sentiasa cuba mengawal kos-kos pembangunan agar harga ditawarkan mampu dimiliki oleh golongan B40 dan M40.

“Bagi memastikan kebolehpasaran perumahan mampu milik yang dibangunkan, Lagenda sentiasa mengambilkira status pasaran bagi setiap lokaliti melalui kajian-kajian di lapangan.

“Lagenda juga mengutamakan pembangunan perumahan yang mempunyai kemudahan komuniti yang eksklusif sebagai salah satu tarikan.

“Mengambil kira langkah-langkah yang diambil oleh Lagenda, kami berpendapat bahawa harga rumah mampu milik kekal stabil bagi tahun ini,” katanya.

Bercakap mengenai cabaran yang dihadapi, beliau berkata, terutamanya bagi pembangunan perumahan mampu milik, kos pematuhan undang-undang antara halangan yang memerlukan tumpuan kerajaan bagi menyelesaikannya.

Antaranya, pihak kerajaan boleh memperkenalkan subsidi atau insentif cukai bagi pemaju yang memenuhi syarat pembangunan perumahan mampu milik.

Selain itu, katanya, kemampuan pembelian rumah bagi golongan B40 dan M40 juga perlu dipertingkatkan.

Usaha kerajaan meningkatkan pendapatan penjawat awam seperti yang telah diumumkan sangat dialu-alukan.

“Usaha ini akan meningkatkan kemampuan penjawat awam untuk memiliki rumah dan secara tidak langsung membantu merancakkan pasaran hartanah .

“Kami berharap usaha ini dapat diperluaskan juga kepada pekerja di dalam sektor swasta,” katanya.

Seterusnya, Pengarah Urusan Kumpulan Chin Hin Property Group Berhad, Chiau Haw Choon berpendapat, peningkatan harga hartanah kediaman mungkin tidak dapat dielakkan berikutan berikutan faktor kos yang berkaitan dengan pembangunan hartanah, termasuk perbelanjaan yang berkaitan dengan pengambilan tanah, yuran profesional, pembangunan infrastruktur, bahan binaan, buruh dan kos pematuhan yang semakin meningkat secara berterusan.

“Selain itu, populasi kita semakin meningkat, dan pembandaran semakin pesat. Elemen gabungan ini memberikan tekanan ke atas harga hartanah.

“Selain berdepan dengan tekanan inflasi dan ketidaktentuan ekonomi global, sektor hartanah juga bergelut dengan isu-isu seperti turun naik pasaran, infrastruktur dan kebolehcapaian.

“Dasar yang disasarkan dalam bajet boleh memainkan peranan penting dalam mengurangkan cabaran ini dan memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya