PEMILIKAN hartanah terus menjadi `isu’ dalam kalangan orang ramai, terutama mereka yang baru bekerja. Manakan tidak, harga kediaman terus melonjak di luar kemampuan mereka.
Bagi rumah mampu milik pula, permintaan mengatasi penawaran. Jika ada, lokasi pula jauh daripada kemudahan pengangkutan yang dibina oleh kerajaan.
Dalam usaha membantu pemilikan rumah, inisiatif kempen pemilikan rumah (HOC) telah diperkenalkan oleh kerajaan suatu ketika dahulu. Selain membantu bakal pembeli, ia juga membantu pemaju untuk menjual unit yang masih tidak terjual.
Melihat kepada manfaat inisiatif itu, syarikat-syarikat pemaju hartanah berpendapat ia perlu diteruskan bukan sahaja secara langsung menerusi skim-skim kerajaan sedia ada, tetapi juga dengan pelan kolaborasi yang lebih agresif bersama pihak swasta.
Mengulas perkara ini, Pengerusi Lagenda Properties (Lagenda), Tan Sri Dr. Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berharap agensi serta jabatan kerajaan di bawah kementerian terlibat boleh bertindak sebagai pemudahcara bagi membantu pihak swasta dalam proses kelulusan.
“Menyedari keperluan yang mendesak bagi akses kepada rumah yang selesa, inisiatif-inisiatif ini mampu merangsang pertumbuhan sosio-ekonomi, menyelesaikan masalah perumahan dan meningkatkan taraf kehidupan untuk rakyat Malaysia.
“Kami harap perkara ini akan dibentangkan dalam Belanjawan 2024. Selain itu, kami juga berharap pihak kerajaan akan melaksanakan pelan peningkatan gaji kakitangan kerajaan seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri beberapa bulan lepas.
“Ini dapat sedikit sebanyak membantu lebih ramai penjawat awam serta para persara memiliki rumah pada masa yang akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Lagenda turut mengesyorkan beberapa strategi menyeluruh bagi merancakkan lagi sektor hartanah terutama bagi perumahan mampu milik.
Antaranya ialah, pemberian geran sebanyak RM30,000 secara one-off untuk pembelian rumah pertama tidak melebihi RM 400,000 dan/atau memperkenalkan semula Skim MyHome bagi pembeli yang layak, mengurangkan kadar pembiayaan tetap bagi pembelian rumah pertama yang bernilai tidak melebihi RM400,000.
Selain itu, margin pembiayaan juga patut ditingkatkan kepada sekurang kurangnya 100 peratus bagi pembelian rumah pertama bagi golongan pendapatan B40 dan M40.
Lagenda juga berpendapat duti ke atas bahan binaan patut dilupuskan atau dikurangkan melupuskan sehingga mencapai normalisasi harga terutamanya bagi bahan binaan bagi projek rumah mampu milik.
“Kami juga berharap kerajaan memberi pertimbangan untuk menangguhkan cukai dan levi yang dikenakan ke atas bahan binaan import.
“Kenaikan kos bahan binaan seperti keluli, aluminium, simen, konkrit,dan sebagainya memberi cabaran kepada pemaju yang turut sama merasai tekanan inflasi dan ketidaktentuan ekonomi.Insentif bagi penggunaan dan .
“Kami harap kerajaan akan mempertimbangkan untuk meluaskan insentif cukai kepada pemaju yang menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) ketika pembinaan pembangunan terutama bagi pembangunan perumahan mampu milik.
“Hal ini akan menggalakkan pemaju untuk menggunakan IBS dan BIM seterusnya menghasilkan pembangunan yang tinggi kualiti, mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh, meningkatkan kekemasan tapak pembinaan dan melonjakkan produktiviti,” katanya.
Seterusnya, pengurangan sumbangan statutori melalui rebat atau subsidi bagi perumahan berharga tidak melebihi RM400,000 dapat membantu pemaju mengurangkan kos pembangunan dan manfaat ini dapat dinikmati pembeli dengan penawaran harga rumah yang lebih rendah.
Pengarah Urusan Kumpulan Chin Hin Property Group Berhad, Chiau Haw Choon turut berharap kerajaan memperkenalkan semula HOC yang akan membantu keluarga dan individu Malaysia mengumpul kekayaan dengan melabur dalam rumah dan pada masa yang sama, mengurangkan hartanah tidak terjual.
“Peningkatan kos pematuhan juga perlu ditangani selain mempercepatkan kelajuan kelulusan untuk pemaju hartanah, bagi mempercepatkan suntikan modal ke dalam ekonomi.
“Kerajaan juga patut melaksanakan insentif untuk pemaju untuk menerima dan mematuhi piawaian bangunan hijau, seperti pensijilan GreenRE, serta menggabungkan ciri mesra alam ke dalam projek mereka.
“Insentif ini boleh terdiri daripada pengecualian cukai kepada kelulusan yang dipercepatkan, sekali gus menggalakkan amalan mampan dalam sektor hartanah,” katanya.
Selain turut menyokong memperkenalkan semula pakej rangsangan baharu seperti HOC, Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata pihaknya berharap kerajaan juga akan mempertimbangkan semula peraturan dan program Malaysia My Second Home (MM2H).
“Kami masih belum melihat apakah kriteria yang disemak semula namun, kami menggesa kerajaan untuk bersama-sama dengan pihak berkepentingan untuk bersetuju dengan keperluan yang lebih realistik dan boleh dicapai.
“Bilangan warga asing yang lebih tinggi yang layak untuk program itu akan membantu mengurangkan hartanah negara yang tidak terjual dan akan membawa kepada kesan limpahan positif yang lain kepada ekonomi pada peringkat makro,” katanya.
Pengarah Eksekutif Kanan Wilayah Tengah Sunway Property, Chong Sau Min pula berkata, bagi meningkatkan pertumbuhan sektor hartanah, pihaknya mencadangkan pelanjutan pengecualian duti setem kepada semua pembeli untuk hartanah berharga sehingga RM 1 juta dan pengurangan kos pematuhan dan caj untuk pembangunan hartanah.
Selain itu, katanya, insentif pembiayaan hijau yang lebih baik untuk pembangunan yang diperakui hijau dan insentif yang lebih baik untuk pinjaman hijau juga diperlukan dalam sektor hartanah. – UTUSAN