KUALA TERENGGANU : Satu ketika dahulu, ketupat palas hanya dinikmati pada musim perayaan kerana proses pembuatannya agak sukar dan mengambil masa yang agak lama untuk dihasilkan.
Namun, usaha sepasang suami untuk mengkomersialkan ketupat palas dengan menubuhkan sebuah syarikat 10 tahun lalu berjaya memudahkan orang ramai menikmatinya pada bila-bila masa.
Pengurus Pemasaran Hulwah Frozen Food, Norhasimah Abd. Ghani berkata, lebih membanggakan syarikatnya juga telah memperolehi sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2019.
Menurutnya, sejak memperoleh sijil halal, jualan syarikat terus meningkat dan mendapat kepercayaan pelbagai pihak untuk menyertai karnival serta eskpo di dalam dan luar negara.
“Sambutan agak luar biasa kerana pelanggan lebih yakin dan puas hati dengan tahap kesucian dan kebersihan produk kami setelah mendapat pengesahan sijil halal itu.
“Lagipun, antara syarat utama untuk produk menembusi pasaran luar Terengganu ialah sijil halal daripada Jakim dan mudah mendapat bantuan daripada jabatan dan agensi kerajaan berkaitan keusahawanan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Ketika ini, syarikat tersebut mengeluarkan ketupat palas dengan pelbagai jenis inti antaranya serunding ayam, serunding daging, serunding ikan, kacang, jagung, pulut hitam, sambal bilis, lemak, ubi, rendang ayam dan rendang daging.
Norhasimah berkata, setiap biji ketupat palas dijual pada harga antara 50 sen hingga RM1 sahaja bergantung kepada jenis intinya.
“Alhamdulillah, jualan syarikat meningkat sedikit demi sedikit dan kami sentiasa mendengar kritikan pelanggan untuk menambah baik produk yang dikeluarkan.
“Ramai juga yang meminta kami mengeluarkan produk sejuk beku dan kini pelanggan boleh membelinya secara pukal untuk disimpan dalam tempoh yang lebih lama dengan harga antara RM5 hingga RM12 untuk setiap pek yang mengandungi 10 biji ketupat palas,” katanya.
Jelasnya, purata jualan bulanan ialah antara RM7,000 hingga RM12,000 bergantung kepada beberapa faktor seperti cuti persekolahan dan musim perayaan.
“Biasanya permintaan meningkat pada musim cuti persekolahan dan musim perayaan kerana ada tempahan kenduri, majlis keluarga dan majlis keramaian anjuran pelbagai agensi kerajaan dan swasta,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya juga menyasarkan jualan syarikat mencapai RM240,000 pada akhir tahun ini.
Ketika ini, kilang syarikat beroperasi di Wakaf Beruas dan mereka turut menjual ketupat palas di dua kiosk berasingan iaitu di Wakaf Beruas dan Bukit Besar bermula 9 pagi hingga 6 petang setiap hari kecuali Jumaat. – UTUSAN