TASEK GELUGOR: Berteman dengan tukang minyak wangi kita akan ikut wangi, berteman dengan tukang minyak kita akan ikut bau minyak.
Perumpamaan tersebut sesuai digambarkan buat dua sahabat di sini yang sama-sama mencipta angan-angan menjadi usahawan sehingga berjaya direalisasikan melalui penubuhan Aqeef Premium Meats.
Pemiliknya, Muhammad Naim Nordin, 35, berkata, perniagaan daging sejuk beku premium itu mula diusahakan pada Februari 2021 setelah perniagaan sewa kereta yang diusahakan bersama seorang sahabatnya yang juga merupakan pemilik bersama Aqeef Premium Meats Muhamad Nazrul Akmam Norhisham, 35, terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Disebabkan minat yang mendalam dalam bidang perniagaan, saya dan Nazrul merancang memulakan perniagaan ayam proses segar di Bertam, Kepala Batas yang dilihat mendapat sambutan positif dalam kalangan pelanggan ketika itu,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui outlet Tasek Gelugor di sini, baru-baru ini.
Katanya, outlet di Tasek Gelugor itu merupakan cawangan kedua selepas cawangan pertama di Bertam, Kepala Batas dengan jumlah bilangan pekerja kini seramai sembilan orang bagi kedua-dua cawangan.
“Berikutan permintaan yang hangat terhadap ayam proses segar dalam kalangan pelanggan, kami mampu mengembangkan variasi produk sejuk beku kepada bahan mentah lain seperti daging lembu dan kambing pelbagai potongan dari Australia, New Zealand, Brazil dan India.
“Selain itu kami turut menawarkan makanan laut sejuk beku yang lain seperti ikan salmon, kerang-kerangan, sotong ring, tiram sehinggalah King Crab dan daging wagyu yang juga mendapat sambutan yang begitu menggalakkan,” katanya yang merupakan graduan Ijazah Kejuruteraan Mekanikal Universiti RMIT Melbourne, Australia itu.
Tambahnya, pihaknya amat bersyukur dengan sokongan padu dalam kalangan pelanggan yang banyak mendorong mereka untuk menambah baik tahap kualiti perkhidmatan iaitu bermula dari sebuah peti sejuk beku dan kini sudah mempunyai 18 buah peti sejuk beku di setiap outlet.
“Memang tak sangka sambutan yang diterima untuk sampai ke tahap ini, namun pihak kami sentiasa cuba meningkatkan tahap kualiti perkhidmatan antaranya membuat permohonan perakuan sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Boleh dikatakan setelah memperoleh sijil halal dari Jakim pada tahun lepas, kepercayaan dan keyakinan pelanggan Islam terutamanya telah meningkat sehingga 30 peratus berbanding sebelum ini.
“Malah, jika mempunyai peluang dan rezeki kami berhasrat ingin menjadi pengimport daging premium Muslim kerana kami dapati tidak ramai pembekal daging Muslim yang ada dalam pasaran,” katanya yang berasal dari Kepala Batas itu.
Bercerita tentang konsep outletnya itu, Muhammad Naim berkata konsep yang digunakan banyak dipengaruhi dengan suasana premis daging di Australia yang lebih tersusun, berhawa dingin selain ingin memberi keselesaan kepada pelanggan ketika memasuki premis.
“Kami pernah bawa konsep chiller retailer di outlet di sini di mana daging-daging dijual secara segar dan terus kepada pelanggan, namun ia tidak bertahan lama iaitu kira-kira cuma sebulan sahaja. Mungkin disebabkan konsep tersebut tidak begitu biasa bagi masyarakat tempatan dan lebih memilih untuk membeli daging sejuk beku.
“Atas sebab itu juga, kami menukar konsep kepada menjual daging sejuk beku sehinggalah sekarang yang dilihat lebih sesuai dengan permintaan penduduk setempat,” kata bapa kepada tiga orang anak itu.
Dia yang juga merupakan pengusaha kereta sewa selama lapan tahun itu berkata, meskipun kedai dagingnya itu menggunakan perkataan ‘premium’ namun harga yang ditawarkan kepada pelanggan amat berpatutan dan lain dari kedai daging mahupun kedai sejuk beku yang ada di pasaran.
“Apa yang membuatkan kami ini lain dari yang lain adalah dari segi pembungkusan. Di mana, jika kita pergi kedai daging sejuk beku yang lain pelanggan dikehendaki membeli blok daging yang agak besar, kira-kira dua ke dua setengah kilogram per blok dan ia agak mahal.
“Namun, di Aqeef Premium Meats, kami akan memotong sendiri blok daging dengan saiz yang lebih kecil sesuai dengan bajet pelanggan,” katanya lagi.
Sementara itu, Muhamad Nazrul Akmam berkata kebanyakan bekalan daging lembu dan kambing sejuk beku diperoleh dari pembekal tempatan yang memperoleh bekalan dari negara Australia, New Zealand, Brazil dan India.
“Pembekal tempatan ini juga merupakan syarikat yang mendapat pengiktirafan oleh Jakim. Malah, untuk bekalan ayam sejuk beku pula kami peroleh dari satu pembekal Muslim tempatan dari Kedah,” katanya yang juga merupakan graduan Ijazah Kejuruteraan Awam di Universiti Adelaide, Australia.
Kata bapa kepada seorang cahaya mata itu, usahawan Muslim yang berkecimpung dalam industri makanan dan minuman (F&B) disaran untuk melakukan permohonan sijil halal Jakim kerana ia juga sebahagian fardhu kifayah dalam membantu pelanggan Muslim untuk membeli sesuatu produk tanpa rasa was-was.
“Meskipun begitu, adalah lebih baik jika usahawan F&B memohon sijil perakuan halal tersebut bagi menghindarkan sebarang salah faham ataupun kekeliruan mengenai status halal terhadap sesuatu produk yang dikeluarkan, itu lebih afdal,” katanya sambil menambah premis mereka dibuka pada setiap hari kecuali cuti umum Hari Raya dan Hari Raya Aidil Adha. – UTUSAN