Serasi Residences tawar SAMM bernilai RM250,000 - Utusan Malaysia

Serasi Residences tawar SAMM bernilai RM250,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERLETAK secara strategik di Putra Heights Sentral (PHS) yang merupakan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) pertama Sime Darby Property Berhad (SDP), Serasi Residences memenuhi permintaan tinggi untuk perumahan berdekatan dengan hab pengangkutan awam utama.

Serasi Residences merupakan koleksi servis pangsapuri (apartment) pegangan bebas yang merangkumi 1,428 unit – 749 unit Pasaran Terbuka dengan harga bermula daripada RM380,000 bagi dua jenis kategori.

Keluasan bagi kediaman jenis A adalah seluas 668 kaki persegi, dengan dua bilik tidur dan satu bilik air, manakala bagi jenis B pula keluasan kediaman adalah sebanyak 850 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Namun apa yang menarik mengenai Serasi Residences adalah ia menawarkan Servis Apartmen Mampu Milik (SAMM) sebanyak 678 unit dengan keluasan 550 kaki persegi serta 1+1 bilik tidur dan sebuah bilik air yang dijual pada harga tetap RM250,000.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Jualan SDP, Datuk Lai Shu Wei berkata, harga SAMM di Serasi Residences merupakan harga yang ditetapkan serta dikawal oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Menurut beliau, Serasi Residences memenuhi keperluan gaya hidup penduduknya, dengan laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 400 meter ke stesen transit aliran ringan (LRT) Putra Heights, yang merangkumi laluan Kelana Jaya dan Sri Petaling.

“Pembangunan ini juga mudah diakses dari beberapa lebuhraya utama termasuk Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Shah Alam (LEKAS) dan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE).

“Para penduduk juga boleh nantikan Taman Linear Putra Heights, rumah kepada taman seluas lapan ekar dengan laluan pejalan kaki sepanjang Bukit Cermin serta laluan berbasikal sepanjang 15 kilometer (km) yang mengelilingi perbandaran Putra Heights.

“Taman Komuniti Putra Heights yang dijadualkan untuk siap menjelang akhir tahun 2023 juga bakal meningkatkan lagi pengalaman hidup dalam pembangunan itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Shu Wei berkata, pelancaran SAMM oleh SDP membuktikan syarikat hartanah berkenaan menyokong usaha kerajaan dalam merapatkan jurang rumah mampu milik di Malaysia.

Ujar beliau salah satu sokongan berkenaan adalah dengan melancarkan lebih banyak unit SAMM berharga di antara RM250,000 dan RM270,000 di lokasi-lokasi utama sekitar Lembah Klang.

“Kami berhasrat untuk merapatkan jurang pemilikan rumah di kalangan pembeli rumah berpendapatan sederhana dengan menawarkan rumah mampu milik di lokasi-lokasi utama dengan harga yang menarik selain melengkapkan evolusi pesat perbandaran dan sistem pengangkutan awam di Lembah Klang.

“Dengan berpandukan matlamat Syarikat sebagai pengganda nilai kepada masyarakat, perniagaan, ekonomi dan planet, kami berusaha untuk membina rumah yang berkualiti, selamat dan mampan, sambil menyelaraskan pengalaman pemilikan rumah untuk bakal pembeli, bermula daripada waktu mereka mencari rumah idaman sehinggalah mendapat kunci,” katanya.

Beliau berkata rumah SAMM telah diperkenalkan pada hari terbuka anjuran bersama LPHS di Galeri Jualan Putra Heights dan telah dihadiri lebih daripada 500 pengunjung.

“Pelbagai perkhidmatan komprehensif ditawarkan kepada pembeli rumah kali pertama pada hari terbuka berkenaan, termasuk semakan dokumen, pengesahan kelayakan, proses perundingan pinjaman dan menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) yang mempercepatkan proses kelulusan pembeli dan menjamin proses pembelian rumah yang lancar.

“Proses pengundian juga telah diperkenalkan untuk mereka yang memenuhi kriteria kelayakan untuk membolehkan pembeli mendapatkan rumah baru mereka dengan kadar segera,” katanya.

Tambah beliau, SDP telah merancang untuk melancarkan beberapa projek SAMM bagi tahun 2023 antaranya Subang Jaya City Centre (SJCC), USJ 7 (SJ7) dan Putra Heights, di mana semua pembangunan menawarkan sistem perhubungan yang baik dan akses ke kemudahan dan pengangkutan awam.

“SDP bermatlamat mewujudkan destinasi yang mementingkan gaya hidup dan mobiliti, justeru itu kami telah memulakan siri TOD kami di perbandaran Subang Jaya, dengan pelan untuk lebih pembangunan terancang di perbandaran-perbandaran kami seluruh Malaysia pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya