Perkeso perkasa graduan TVET - Utusan Malaysia

Perkeso perkasa graduan TVET

SEBAHAGIAN pelatih Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) menukar tayar lori di ruang pameran sempena majlis Pelancaran Inkubator Teknologi Pemprosesan Makanan Zon Utara di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka hari ini. Latihan yang disediakan IKBN adalah sejajar dengan Manifesto Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) untuk memberikan lebih banyak peluang Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus berhadapan dengan gaji yang lebih rendah berbanding sektor akademik yang lain.

Meskipun ada graduan TVET yang berpendapatan melebihi RM2,000 sebulan jumlah itu masih lagi kecil berbanding majoriti golongan berkenaan yang bekerja dalam peringkat rendah hingga sederhana.

Menurut Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar, perbezaan gaji bukan sahaja menghalang kerjaya graduan TVET malah mengekalkan persepsi yang rendah terhadap kelayakan TVET.

Katanya, bagi mengatasi isu dari sudut permintaan kerajaan telah memperkenalkan Program Daya Kerjaya yang menawarkan insentif pengambilan pekerja kepada majikan termasuk yang mengambil graduan TVET, sekali gus membantu mengurangkan kos pengambilan pekerja.

“Dari sudut penawaran, cabaran yang ketara terletak pada jurang maklumat antara graduan TVET dan pasaran pekerjaan, menyukarkan mereka untuk mencari peluang pekerjaan dan mengetahui tahap nilai kemahiran mereka.

“Untuk menangani cabaran ini, Perkeso telah membangunkan Wage Guide dan Career Bridge Tool, yang menggunakan teknologi dan analisis data untuk memperkasakan graduan TVET dan meningkatkan prospek mereka dalam pasaran pekerjaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Sivakumar berkata, usaha memperkasakan graduan TVET dengan pemprofilan gaji menggunakan Wage Guide (https://eiscentre.perkeso.gov.my/wage-guide/) membantu graduan membuat keputusan tepat dalam kerjaya.

“Wave Guide memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dengan menghasilkan graf panduan berkenaan gaji kepada graduan TVET, membolehkan mereka membuat keputusan yang lebih tepat di dalam kerjaya mereka.

“Menggunakan teknik pembelajaran mesin yang mengambil kira faktor seperti umur, pekerjaan, lokasi dan kelayakan, Wage Guide menjana profil gaji yang menunjukkan julat gaji yang diramalkan mengikut pekerjaan dan umur,” katanya.

Ujar Sivakumar, Wage Guide juga memainkan peranan penting dalam memperkasakan graduan TVET terutamanya dalam pasaran pekerjaan yang bergaji rendah mengikut gaji minimum, RM1,500 sehingga RM2,000.

“Namun, berbekalkan maklumat daripada Wage Guide, ia membolehkan graduan untuk berunding mendapatkan gaji yang lebih tinggi berdasarkan kelayakan dan kemahiran mereka sekaligus menghasilkan pemadanan yang lebih baik dengan peluang pekerjaan yang sesuai.

“Menyedari bakal pekerja mempunyai akses kepada maklumat gaji, Wage Guide mewujudkan persaingan yang baik di kalangan majikan dalam memberikan tawaran gaji yang lebih baik kepada graduan TVET.

“Ini dapat mewujudkan pasaran pekerjaan yang sihat di mana tumpuan pengambilan pekerja beralih kepada tawaran gaji yang lebih adil dan kompetitif,” katanya.

Sementara itu, Sivakumar berkata, Career Bridge Tool pula memperkasakan hubungan pendidikan dengan pekerjaan selepas melihat terdapat kepentingan untuk menyelaraskan permintaan industri dan pendidikan dengan lebih baik.

Katanya lagi, Career Bridge Tool https://eiscentre.perkeso.gov.my/career-bridge-tool/) dibangunkan secara atas talian untuk kegunaan semua, termasuk graduan TVET.

“Career Bridge Tool membantu graduan TVET dalam mencari pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan mereka.

“Dengan menghubungkan kelayakan dengan kekosongan pekerjaan yang tersedia di MYFutureJobs, Career Bridge Tool membolehkan graduan TVET meneroka peluang pekerjaan mengikut bidang pilihan mereka dengan memberikan akses kepada pangkalan data yang menyeluruh dalam membantu menunjukkan potensi laluan kerjaya,” katanya.

Untuk menggunakan Career Bridge Tool, graduan TVET perlu memilih tahap kelayakan dan membuat carian nama kelayakan mereka dan kemudian klik pada butiran jawatan kosong untuk memaparkan senarai kekosongan jawatan yang mengandungi nama pekerjaan, nama majikan, lokasi, jenis kontrak dan juga julat gaji.

Seterusnya graduan TVET boleh memohon jawatan yang mereka minati dengan log masuk ke portal MYFutureJobs. Untuk menunjukkan kefungsian Career Bridge Tool, kami mengkaji tiga kelayakan TVET yang berbeza dan merekodkan hasil butiran kekosongan jawatan di jadual 2.

Menurut Sivakumar, pelaksanaan inisiatif seperti Program Daya Kerjaya, Wage Guide, dan Career Bridging Tool, menunjukkan usaha kerajaan dalam mengurangkan jurang gaji dan memperkasakan graduan TVET.

“Dengan memanfaatkan teknologi, analisis data, dan intervensi bersasar, langkah seperti ini dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET, memupuk pasaran pekerjaan yang lebih baik dan mengiktiraf nilai kemahiran vokasional.

“Usaha ini amat penting dalam mewujudkan peluang baharu dan memastikan masa depan yang sejahtera untuk graduan TVET di Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya