Papuh jangka jemaah umrah meningkat - Utusan Malaysia

Papuh jangka jemaah umrah meningkat

RAZALI MOHD. SHAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) menjangkakan antara 300,000 hingga 400,000 jemaah mengikuti pakej umrah pada tahun ini berikutan pembukaan lebih banyak laluan oleh syarikat penerbangan.

Presidennya, Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, sehingga April lalu, kira-kira 400,000 visa pelancong dan umrah telah dikeluarkan dan pihaknya menjangkakan jumlah keseluruhan boleh mencapai sehingga 700,000.

Katanya, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan berbanding kira-kira 1,000 visa pelancong yang dikeluarkan pada tahun lalu.

“Tahun lepas permintaan memang ada tetapi harga tiket penerbangan masih tinggi pada masa itu. Kini, banyak syarikat penerbangan yang telah memulakan operasi dan harga juga semakin stabil.

“Jika dulu, harga tiket penerbangan boleh mencapai sehingga RM5,200, tetapi kini boleh didapati pada harga RM2,950. Jadi, harga sudah makin terkawal.

“Oleh itu, saya minta syarikat penerbangan untuk menambah lagi penerbangan supaya lebih ramai yang dapat pergi umrah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Mengulas mengenai cadangan penggubalan semula Akta Tabung Haji 1995, Razali berharap Tabung Haji dapat mengambil kira untuk membenarkan jemaah tidak terpilih untuk mengerjakan ibadah tersebut dengan pakej daripada pihak swasta.

“Kalau boleh akta baharu yang tengah digubal ini jangan menyusahkan orang yang hendak pergi mengerjakan ibadah haji dan sebaliknya permudahkan urusan.

“Kalau individu itu dapat visa, Tabung Haji jangan kawal sebab ini adalah ibadah.

“Mungkin pada tahun ini atau tahun depan Arab Saudi akan buka kepada awam untuk rakyat negara ini yang mahu pergi mengerjakan haji,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya