Sijil halal bantu syarikat terokai pasaran lebih luas - Utusan Malaysia

Sijil halal bantu syarikat terokai pasaran lebih luas

JAMEELAH Jamaludin menunjukkan sebahagian daripada produk keluaran Muslim Food Industries di Kuala Terengganu, baru-baru ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Syarikat pengeluar dan pengedar produk makanan Muslim Food Industries menyasarkan jualan RM40 juta menjelang akhir tahun ini.

Pengarah Urusannya, Jameelah Jamaludin berkata, sasaran itu mampu dicapai setelah syarikat itu memperoleh perakuan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang diterima sejak 10 tahun lalu.

Beliau berkata, perakuan sijil halal tersebut membantu syarikat itu meneroka pasaran tempatan secara lebih meluas.

Menurutnya, syarikat milik usahawan muslim yang beroperasi sejak 1985 itu mengeluarkan pelbagai jenis produk makanan seperti mi kuning, kuetiau, laksa beras, bebola ikan, bihun, cili boh, garam halus dan garam kasar.

“Produk keluaran kami adalah antara makanan kegemaran rakyat Malaysia dan kami berasa terpanggil untuk menyediakan rangkaian produk halal dan thoyyiban kerana ia adalah fitrah naluri manusia untuk mencari makanan yang halal.

“Seiring peredaran zaman, pengguna semakin bijak dan cakna dengan pemilihan bahan asas masakan di dapur kerana sedar ia adalah kunci utama kebahagian dan keberkatan dalam hidup sebuah keluarga terutama umat Islam.

“Alhamdulillah, sijil halal ini adalah antara kekuatan utama syarikat selama ini untuk kekal bertahan dalam perniagaan selain kualiti terbaik hasil pemantauan ketat di kilang,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kilang MFI terletak di Kampung Tok Jiring di sini baru-baru ini.

Jameelah memberitahu,syarikat itu turut mempunyai Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dari Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menambah keyakinan pengguna.

“Syarikat juga memenuhi tuntutan amalan kesihatan dan kebersihan yang dikehendaki Kementerian Kesihatan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, sijil halal yang dimiliki syarikat itu juga memudahkan syarikat mendapatkan pinjaman dan geran daripada beberapa agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), SME Corp, Jabatan Pertanian dan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu dengan nilai lebih RM1.2 juta setakat ini.

“Paling penting ialah kredibiliti syarikat kerana produk halal kini semakin diminati bukan Islam kerana status kebersihan sepanjang proses pembuatan itu dijamin kesucian dan keselamatannya sekaligus mengelak sebarang insiden seperti keracunan makanan berlaku,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa depan pula, Jameelah berkata MFI bercadang mahu menambah beberapa lagi mesin canggih berteknologi tinggi untuk memaksimumkan pengeluaran di kilang kerana penggunaan tenaga manusia agak tidak praktikal ketika ini.

“Syarikat juga sedang membuat penyelidikan dan pembangunan (r&d) beberapa produk baharu untuk terus mengukuhkan segmen pasaran dengan menepati citarasa ramai untuk memperbanyakkan lagi produk halal yang sedap dan berkualiti tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya