Sasar 150,000 pengunjung CORE International Autofest 2023 - Utusan Malaysia

Sasar 150,000 pengunjung CORE International Autofest 2023

PENAUNG CORE, Dr. Raja Putra (tengah) memotong riben sebagai simbolik pra pelancaran CORE International Autofest 2023 Edisi Pertama sambil diperhati Idzmi Hafiz (tiga dari kiri) di MAEPS, Serdang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: SF Wheels Showcase menyasarkan kehadiran lebih 150,000 pengunjung pada program sukan permotoran Club of Route Enthusiast (CORE) International Autofest 2023 Edisi Pertama, September akan datang.

Pengurus SF Wheels Showcase, Lt. Idzmi Hafiz Izaham berkata, program anjuran bersama dengan Mardi Corporation Sdn. Bhd. (Mardi Corp) itu bakal berlangsung selama tiga hari bermula 15 hingga 17 September ini bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Menurut beliau, penganjuran acara automotif bersepadu atau dikenali sebagai ‘Auto Fest’ itu merupakan inisiatif yang diambil oleh SF Wheels Showcase dengan Mardi Corp bagi menghimpun peminat dua dan empat roda di rantau Asia Tenggara (SEA).

“Kita mahu peminat-peminat dua dan empat roda ini berkumpul di satu lokasi dalam meraikan kepelbagaian, kemajuan dan kreativiti dunia pengubahsuaian dan budaya automotif di (CORE) International Car & Bike Show 2023.

“Selain itu, kita juga mahu memberi pengenalan dan penekanan budaya automotif kreatif kepada golongan belia di negara ini sebagai satu hobi yang positif serta minat yang mempunyai sinar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media penganjuran CORE International Autofest 2023 Edisi Pertama yang turut dihadiri Penaung CORE, Dr. Raja Putra Shah di MAEPS, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Idzmi Hafiz berkata, CORE International Autofest 2023 Edisi Pertama itu bukan hanya menghimpunkan peminat serta pemain industri malah juga memberi peluang kepada usahawan menjana pendapatan.

“Acara ini bukan hanya merangkumi segmen automotif semata-mata malah turut terdapat festival makanan dan minuman secara besar-besaran, konsert muzikal dan juga pertandingan mini dan perhimpunan kelab dan kumpulan automotif yang mengambil bahagian.

“Secara keseluruhannya CORE International Autofest 2023 Edisi Pertama merupakan pengenalan bagi gaya baharu acara automotif bersepadu yang memberi manfaat kepada golongan profesional, peminat dan orang ramai secara keseluruhannya,” katanya.

Ujar beliau orang ramai terdiri daripada individu, kumpulan atau kelab yang berminat boleh membeli tiket masuk CORE International Autofest 2023 Edisi Pertama boleh melayari laman web rasmi CORE. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya