Kenanga kekal unjuran ‘neutral’ sektor pelabuhan, logistik - Utusan Malaysia

Kenanga kekal unjuran ‘neutral’ sektor pelabuhan, logistik

Kerajaan tidak akan mengenakan cukai perkhidmatan (CP) di kawasan zon bebas cukai (free zone).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenanga Investment Bank Bhd. mengekalkan unjuran ‘neutral’ dalam sektor pelabuhan dan logistik didorong oleh perdagangan global yang tidak memberangsangkan dan peraturan yang lebih ketat.

Penganalisisnya, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz berkata, Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengunjurkan volum perdagangan barangan global hanya meningkat sebanyak 1.7 peratus pada 2023, turun daripada pertumbuhan 2.7 peratus pada 2022 berikutan ketidaktentuan ekonomi global.

Katanya, pembukaan semula China yang lebih perlahan daripada jangkaan pasaran global walaupun terdapat pemulihan dalam rantaian bekalan juga tidak membantu perkembangan tersebut.

Tambahnya, keyakinan dan perbelanjaan pengguna di peringkat global berkemungkinan besar menjejaskan inflasi tinggi yang berterusan, peningkatan kadar faedah dan ekonomi global yang perlahan.

“Isu-isu ini tidak membantu untuk pengendali pelabuhan seperti Westports Holdings Berhad dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM3.65.

“Walau bagaimanapun, kami percaya Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) dapat mengharungi cabaran makro ini dengan lebih baik, berikutan operasinya yang stabil dalam pengendalian kargo gas asli cecair (LNG) dan potensi kenaikan tarif di Pelabuhan Bintulu.

“Selain itu, ini juga dipacu oleh potensi pertumbuhan jangka panjang kawasan pedalaman Pelabuhan Perindustrian Samalaju di Samalaju, Sarawak didorong oleh pelaburan yang semakin meningkat dalam industri berat,” katanya dalam nota penyelidikan di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Wan Mustaqim berkata, pihaknya melihat peluang cerah dalam sektor logistik tempatan kerana didorong secara domestik dan kurang terdedah secara langsung kepada angin luar dan ia dipacu oleh e-dagang yang berkembang pesat.

Menurutnya, pakar industri mengunjurkan volum barangan kasar e-dagang tempatan berkembang pada Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) sebanyak tujuh peratus dari 2023 hingga 2027, manakala saiznya boleh mencecah RM1.9 trilion menjelang 2027 daripada RM1.4 trilion pada 2023.

Tambahnya, pilihan utama bagi sektor tersebut adalah BPHB (TP: RM5.55) dan Swift Haulage Berhad (TP: RM0.97). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya