FELORA, pembangunan kediaman teres dua tingkat baharu yang bakal dilancarkan pada suku ketiga tahun ini oleh anak syarikat milik penuh Lembaga Tabung Haji, TH Properties Sdn. Bhd. (TH Prop) dijangka menerima sambutan tinggi dari para pembeli.
Pembangunan Felora yang terletak di Bandar Warisan Puteri 2, Seremban itu bakal menawarkan 86 unit rumah teres dua tingkat dengan rekaan moden dan kontemporari yang berharga dari RM454,500 sehingga RM689,300.
Kedudukannya yang strategik akan menjadi rebutan pembeli dan pelabur hartanah yang menyasarkan potensi tinggi kediaman ini dari segi keselesaan serta pulangan kewangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH Prop, Azman Ibrahim pihaknya yakin Felora bakal menambat hati pembeli yang mencari kediaman selesa di kawasan yang serba lengkap terutamanya dengan kualiti dan harga berpatutan yang ditawarkan syarikat.
“Projek perumahan TH Prop di Bandar Warisan Puteri 2 yang terdahulu seperti Sutera dan Eliya menerima permintaan yang sangat memberangsangkan dan telah pun habis terjual.
“Felora bakal ditampilkan dengan rekaan yang moden dan menarik serta diperindahkan dengan elemen kehijauan seperti taman landskap, trek jogging dan kawasan khas untuk beriadah,” katanya.
Bandar Warisan Puteri 2 adalah sebahagian komponen Bandar Warisan Puteri, iaitu pembangunan bercampur seluas 198.8 hektar yang terletak sejauh enam kilometer dari bandaraya Seremban.
Penempatan ini juga mudah diakses melalui Jalan Sikamat dan Jalan Jelebu dari Seremban atau Lebuhraya Kajang – Seremban (LEKAS) melalui laluan keluar Ampangan.
Tambahnya, dengan lokasi dan ketersambungan yang baik serta keluasan sebanyak 52.8 hektar, Bandar Warisan Puteri 2 menjanjikan keselesaan kepada yang menginginkan gaya hidup bandar yang serba lengkap dengan suasana hijau dan tenang.
“Pelbagai fasiliti seperti sekolah, pusat membeli-belah, taman dan kemudahan pengangkutan awam juga terletak berhampiran dengan Felora, menjadikan pembangunan pegangan bebas ini sebagai pilihan pelaburan yang baik.
“Selain itu, Felora juga menjadi rumah ideal bagi keluarga muda, pembeli rumah pertama dan individu yang moden yang aktif,” ujarnya.
Fasa satu pembangunan Felora bakal menawarkan 31 unit rumah dengan keluasan ruang antara 1,406 hingga 1,965 kaki persegi manakala fasa dua akan menampilkan 55 buah rumah dengan keluasan 1,663 hingga 1,818 kaki persegi.
Azman menambah, pengalaman luas TH Prop dalam pembangunan hartanah kediaman dan komersial, memberi mereka penekanan kepada pembangunan yang menggalakkan gaya hidup sihat dan lestari untuk pemilik rumah dan masyarakat sekitarnya. – UTUSAN