MEMILIKI rumah sendiri sudah tentu menjadi impian setiap orang, tambahan pula yang sudah berkeluarga kerana mahukan suasana kekeluargaan yang lebih selesa.
Namun, sebelum membuat keputusan besar itu, pasti pelbagai perkara yang perlu dititikberatkan terutamanya lokasi rumah.
Lokasi rumah sememangnya memberi kesan kepada kehidupan seharian kita selepas berpindah ke kawasan tersebut kerana ia bakal memberikan rasa tenang, kemudahan dan sebagainya untuk seisi keluarga.
Berikut merupakan lapan tips dalam pemilihan lokasi rumah:
Kemudahan dan infrastruktur
Kemudahan dan infrastruktur, atau prasarana memainkan peranan penting kepada penduduk sesuatu kawasan bagi memudahkan mereka memenuhi keperluan harian mereka.
Antara kemudahan dan infrastruktur yang penting ialah lebuh raya dan jalan utama, pusat komersial atau pasar, masjid atau rumah ibadah, sekolah, bank, klinik atau hospital, stesen minyak, balai polis dan balai bomba.
Memilih lokasi rumah yang hampir dengan kemudahan ini akan memberikan anda keselesaan yang lebih berbanding memilih lokasi yang agak kosong tanpa kemudahan penting ini.
Jarak dengan tempat kerja
Pastinya ramai yang akan memberi keutamaan pada jarak rumah yang ingin dibeli dengan tempat kerja. Ini kerana ia mampu mengurangkan kos bahan api kenderaan dan juga masa untuk ke tempat kerja.
Bagi kawasan bandar yang padat, jarak rumah yang jauh dengan tempat kerja biasanya akan meningkatkan masa untuk menuju ke tempat kerja kerana perlu melalui kesesakan trafik.
Selain itu, jarak yang lebih dekat dengan tempat kerja akan memudahkan anda jika berlakunya kecemasan di rumah membabitkan anak, bencana atau sebagainya.
Persekitaran
Selain berhampiran dengan kemudahan dan infrastruktur, anda juga perlu menilai persekitaran kawasan rumah yang mahu dibeli itu. Pastikan lokasi rumah tidak berhampiran dengan kawasan yang boleh mengganggu kehidupan harian anda seperti lokasi pembuangan sampah sarap atau kawasan kilang yang mengeluarkan asap yang boleh menjejaskan kesihatan.
Anda boleh turun padang dan melihat sendiri kawasan persekitaran rumah tersebut atau membuat carian Google untuk mendapat gambaran jelas mengenai kawasan tersebut.
Perkara ini penting kerana persekitaran yang teruk boleh menjejaskan mood anda sekeluarga untuk menjalani kehidupan seharian yang lebih tenang.
Berdekatan pengangkutan awam
Pengangkutan awam juga penting walaupun anda telah memiliki kenderaan sendiri. Malah, di sesetengah kawasan, menggunakan pengangkutan awam lebih jimat dan cepat berbanding menggunakan kenderaan sendiri.
Jadi, walaupun anda tidak bercadang menggunakan pengangkutan awam, memilih lokasi rumah berhampiran pengangkutan awam akan memberi kelebihan berbanding lokasi yang jauh dari pengangkutan awam. Ia juga akan meningkatkan nilai hartanah di kawasan tersebut.
Kawasan bebas jenayah
Kawasan yang tinggi kadar jenayah boleh menyebabkan anda dan keluarga berasa tidak selamat jika anda memilih lokasi rumah anda di kawasan berkenaan. Malah, nilaii hartanah kawasan itu juga mungkin menjadi rendah.
Jadi, seboleh-bolehnya, anda siasat dahulu dengan penduduk sekitar atau pejabat polis berkaitan dengan kadar jenayah pada lokasi pilihan anda itu sebelum membuat pembelian rumah.
Mudah untuk beribadah
Dalam memilih lokasi rumah, adalah lebih baik sekiranya anda mengambil kira lokasi kemudahan ibadah seperti masjid dan pusat pengajian agama.
Ia bakal memudahkan anda untuk beribadah sebagai contoh menghadiri solat Jumaat untuk lelaki, atau bersama-sama kariah anda untuk melakukan ibadah korban.
Kejiranan yang sesuai
Sebelum membuat keputusan membeli rumah, selidik dahulu kawasan kejiranan di sana. Ini kerana kejiranan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti hidup harian anda.
Jiran yang baik mampu mengurangkan beban yang anda hadapi, malah dapat membantu anda menyelesaikan masalah yang anda rasa tidak mampu lakukan sendiri. Jika anda mempunyai kejiranan yang bermasyarakat, pastinya kehidupan anda sekeluarga lebih harmoni dan tidak terlalu membosankan.
Nilai semasa dan masa depan hartanah
Jika anda sudah mempunyai pilihan hartanah yang diinginkan, sebaiknya, buat kajian terlebih dahulu berkaitan dengan nilai semasa dan akan datang bagi lokasi rumah tersebut.
Ini kerana, nilai hartanah yang baik mampu menjadikan rumah anda sebagai aset yang cukup memberi pulangan jika terpaksa dicairkan. Sekiranya satu masa nanti anda mahu menjual rumah tersebut, setidak-tidaknya anda akan dapat keuntungan! – UTUSAN