Sektor telekomunikasi terus optimis - Utusan Malaysia

Sektor telekomunikasi terus optimis

keseluruhan aduan rangkauan menurun sebanyak 68 peratus pada 2022, sekali gus menandakan kejayaan JENDELA 1 dalam menyediakan liputan lebih cekap. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenanga Investment Bank Bhd. mengekalkan saranan ‘overweight’ bagi sektor telekomunikasi susulan taklimat mengenai rancangan Jalinan Digital Negara (JENDELA) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) baru-baru ini.

Penganalisisnya, Ahmad Ramzani Ramli berkata, taklimat tersebut mendedahkan bahawa JENDELA 1 berjaya melepasi sasaran asalnya dan meletakkan asas bagi mempercepatkan pelancaran rangkaian 5G dan membuka jalan untuk JENDELA 2.

“Kebanyakan syarikat telekomunikasi melepasi sasaran asal mereka dari segi menaik taraf, penyambungan menerusi kabel gentian optik dan membina menara baharu namun ada yang tersasar akibat terdapat isu dengan pihak berkuasa tempatan.

“JENDELA 1 juga memperkenalkan sambungan satelit untuk meningkatkan liputan di kawasan luar bandar dan terpencil,” katanya dalam nota penyelidikan di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, keseluruhan aduan rangkaian menurun sebanyak 68 peratus pada 2022, justeru menandakan kejayaan JENDELA 1 dalam menyediakan liputan melas dan lebih cekap.

“Bagi keseluruhan tahun 2022, SKMM menerima 64,020 aduan rangkaian, terutamanya berkaitan kualiti perkhidmatan 4G.

“Kawasan yang paling tinggi menerima aduan teratas adalah Petaling, Kuala Lumpur, Johor Bharu, Seremban dan Klang. Dengan siapnya menara 4G baharu (Fasa 1), aduan dari kawasan luar bandar dijangka akan dapat dikurangkan lagi,” ujarnya.

JENDELA 1 menelan kos RM28 bilion, yang mana 40 peratus daripadanya ditanggung kerajaan, manakala Fasa 2 dijangka dilancarkan menjelang hujung 2023, namun jumlah perbelanjaan masih belum diumumkan.

Ahmad Ramzani berkata, taklimat it juga menyentuh mengenai rangkaian 5G kedua yang dijadualkan pada 2024, yang mana Malaysia akan beralih daripada Rangkaian Borong Tunggal kepada Model Rangkaian Dwi.

“SKMM juga mengulangi bahawa semua syarikat telekomunikasi terlibat adalah komited untuk mencapai sasaran liputan 5G 80 peratus di kawasan berpenduduk (CoPA) menjelang akhir 2023 bagi melancarkan rangkaian kedua menjelang 2024,” jelasnya.

Tambahnya, pilihan teratas firma penyelidikan itu bagi sektor ini kekal pada CelcomDigi Berhad dengan harga sasaran (TP) RM5.15 sesaham dan Maxis Berhad (TP: RM5.30). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya