Krisis siling hutang AS selesai, Bursa dijangka lepasi 1,400 mata - Utusan Malaysia

Krisis siling hutang AS selesai, Bursa dijangka lepasi 1,400 mata

KEDUDUKAN pasaran saham negara dijangka meningkat kembali selepas Amerika Syarikat (AS) berjaya menyelesaikan krisis penetapan had siling hutang negara itu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka berlegar melebihi 1,400 mata selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berjaya menyelesaikan siling hutangnya, lewat Khamis lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata,Joe Biden dan senat AS berjaya mendapatkan penyelesaian sebelum tarikh akhir iaitu 5 Jun (hari ini), sekali gus memberi kelegaan kepada pasaran kewangan seluruh dunia termasuklah pasaran tempatan.

“Keadaan akan kembali normal dan nilai mata wang AS dijangka akan melalui pembetulan ke arah menurun selepas kenaikan yang banyak buat beberapa minggu yang lalu.

“Indek DXY yang menyukat kekuatan mata wang dolar AS mula naik pada 5 Mei lalu dari 101.13 mata kepada 104.33 pada 31 Mei lalu.

“Dolar AS juga telah turun kepada 103.47 menunjukkan keyakinan para pengurus dana bahawa persetujuan akan dapat diperolehi dalam tempoh yang diperlukan.

“Justeru, saya menjangkakan pasaran saham tempatan akan kembali kepada paras lebih 1,400 mata selepas Senat AS meluluskan rang undang-undang (RUU) siling hutang,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi mata wang tempatan pula, Aimi Zulhazmi berkata, ringgit dijangka kembali mengukuh selepas keputusan RUU dibuat.

“Secara teknikal, dolar AS sudah naik banyak disebabkan krisis tersebut, jadi selepas ini akan berlaku proses pembetulan yang akan menyebabkan dolar AS menurun.

“Dengan itu, mata wang lain termasuk ringgit akan mula mengukuh,” ujarnya.

Menurut beliau, penyelesaian krisis tersebut sebelum 5 Jun berjaya membendung pasaran kewangan dunia melalui kesukaran yang amat besar.

Katanya, ini kerana bon-bon terbitan kerajaan AS akan menjadi tidak menarik lagi dan jatuh harga dan mata wang AS pula akan menjunam nilainya.

“Krisis kewangan dunia akan berlaku lebih teruk daripada krisis kewangan dunia yang pernah berlaku sebelum ini,” ujarnya.

Senat Amerika Syarikat meluluskan rang undang-undang (RUU) siling hutang pada lewat Khamis lalu yang mengelak berlakunya buat pertama kali kegagalan pembayaran hutang negara sebelum tarikh akhir 5 Jun.
Senat mengundi 63-36 untuk meluluskan undang-undang itu, lapor Agensi Anadolu.

Jumaat lalu, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup 1.75 mata lebih rendah kepada 1,381.26 daripada paras penutup 1,383.01 pada Khamis.

Ringgit pula kembali mengukuh pada 4.5800/4.5900 berbanding dolar AS, lebih baik daripada 4.6130/4.6180 pada penutup Khamis lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya