Kenanga Research kekal neutral dalam sektor utiliti - Utusan Malaysia

Kenanga Research kekal neutral dalam sektor utiliti

kos bahan api, arang batu atau gas yang lebih rendah boleh memberi kesan positif jangka pendek kepada TNB dan Petronas Gas. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenanga Investment Bank Bhd. mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor utiliti didorong oleh pendapatan yang berdaya tahan dan hasil dividen yang lumayan sebanyak empat hingga enam peratus.

Penganalisis Kanannya, Teh Kian Yeong berkata, sebahagian besar keputusan suku pertama sektor ini mencapai unjuran dengan separuh daripada saham di bawah liputan firma itu memenuhi jangkaan.

Katanya, satu saham berprestasi lebih tinggi manakala dua lagi mencatatkan prestasi lebih rendah.

“YTL Power International Berhad adalah satu-satunya yang mencatatkan prestasi cemerlang sekali lagi dengan keputusan sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 kumpulan mengatasi unjuran disebabkan prestasi pengeluar tenaga bebas (IPP) Singapura yang lebih kukuh daripada jangkaan.

“Walau bagaimanapun, keputusan Malakoff Corporation Berhad (harga sasaran (TP): 80 sen) bagi tiga bulan pertama tahun kewangan 2023 mengecewakan dengan kerugian yang lebih besar pada kehilangan margin bahan api.

“Ini berikutan kos arang batu purata wajarannya lebih tinggi daripada harga arang batu yang berkenaan kerana penurunan harga secara mendadak,” katanya dalam nota penyelidikan di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Kian Yeong berkata, keputusan Samaiden Group Berhad (TP: RM1.15) bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan juga meleset daripada jangkaan akibat kos kakitangan dan yuan profesional yang lebih tinggi dan perbelanjaan penyenaraian.

Tambahnya, keputusan suku pertama tahun kewangan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Petronas Gas Berhad dan Gas Malaysia Berhad pula sebahagian besarnya dalam jangkaan firma penyelidikan tersebut.

“Keputusan suku pertama 2023 adalah bukti kepada daya tahan pendapatan aset terkawal manakala perbezaan, sama ada terbalik atau menurun, sebahagian besarnya datang daripada aset tidak terkawal.

“Kos bahan api, arang batu atau gas yang rendah boleh memberi kesan positif jangka pendek untuk TNB, dan Petronas Gas tetapi negatif untuk Gas Malaysia.

“Namun begitu, impaknya adalah neutral dalam jangka masa yang lebih panjang disebabkan oleh kesan daripada pelarasan lulus kos bahan api,” ujarnya

Menurutnya, sektor tersebut terus menjadi pilihan kerana daya tahan pendapatannya yang disokong oleh aset terkawal.

Kian Yeong berkata, YTL Power kekal menjadi pilihan utama untuk sektor itu selepas mengambil kira prospek pendapatan yang lebih baik disokong pemulihan PowerSeraya, pendapatan Wessex Water berdaya tahan selain pusat data baharu dan usaha niaga perbankan digital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya