Budaya ubah suai rumah jejaskan IBS - Utusan Malaysia

Budaya ubah suai rumah jejaskan IBS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGGUNAAN Sistem Binaan Berindustri (IBS) menguasai sepenuhnya sektor pembinaan bangunan dan infrastruktur di negara-negara maju kerana kelebihannya jika dibandingkan dengan kaedah konvensional.

Di Malaysia, pelaksanaan IBS dalam projek kerajaan dilaporkan meningkat kepada 84 peratus pada 2021 berbanding 79.5 peratus tahun sebelumnya. Dalam projek swasta pula, ia telah meningkat dengan ketara kepada 60 peratus pada 2021 berbanding 41 peratus setahun sebelumnya.

Bagaimanapun secara kese­luruhannya, penggunaan IBS dalam negara dikatakan masih lagi berada di paras rendah meskipun hampir 60 tahun sistem itu bertapak di negara ini memandangkan pemintaan pembinaan rumah secara konvensional masih menjadi pilihan rakyat.

Penggunaan IBS di Malaysia kebanyakannya diguna pakai oleh syarikat-syarikat pemaju hartanah yang lebih besar melibatkan projek perumahan berskala besar dan di kawasan bandar.

Malah, ada dalam kalangan kontraktor dan pemaju berskala kecil terpaksa menghentikan khidmat pembinaan IBS terutamanya di luar bandar ekoran permintaan yang terlalu sedikit selain kurang kesedaran dikalangan orang ramai mengenai IBS.

Perkara itu turut disuarakan oleh Pensyarah Kanan Program Pengajian Ukur Bangunan, Kolej Pengajian Alam Bina, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sr. Dr. Wan Samsul Zamani Wan Hamdan kepada Utusan Malaysia.

Menurut Wan Samsul, secara umumnya kebanyakan rakyat di negara ini masih kurang maklum mengenai IBS di dalam pembinaan kediaman memandangkan promosi daripada pelbagai pihak terlalu sedikit.

“Saya ingin bertanya apakah kita pernah melihat iklan di dalam televisyen terutamanya saluran kerajaan yang mempromosikan kebaikkan IBS? Tiada bukan, jadi sudah pasti ramai tidak cakna.

“Jadi tidak hairanlah jika kita bertanya terutamanya kepada mereka yang di luar bandar sama ada mahu membina kediaman menggunakan IBS atau tidak mereka kurang keyakinan dan akhirnya ia dibiarkan sepi,” katanya.

Katanya, lebih parah lagi apabila budaya mengubah suai kediaman dikalangan rakyat Malaysia turut menyumbang kepada penolakan IBS di dalam membina kediaman memandangkan ia tidak boleh diubah suai.

“Kita tahu rakyat Malaysia ini mereka suka mengubah suai rumah, bila ada duit mereka mesti hendak besarkan rumah, sambung dapur, sambung bilik dan macam-macam lagi.

“Jadi bila mereka ingin membina rumah guna IBS dan mereka dimaklumkan bahawa ia tidak boleh diubah suai kerana boleh merosakan struktur kediaman terus mereka mahu guna cara konvensional,” katanya.

Tambah beliau, IBS boleh menjadi popular dan pilihan rakyat Malaysia sekiranya masalah asas iaitu budaya kita mengubah suai rumah diambil kira seperti menjadikan ia lebih fleksibel.

Mengulas lanjut, Wan Samsul berkata, kerajaan melalui CIDB perlu memperbanyakkan promosi mengenai IBS dan menjadikan ia sebagai satu trend untuk digunapakai dalam pembinaan rumah domestik melalui pelbagai platform.

Beliau berkata, orang ramai perlu diberi kesedaran mengenai kebaikan dan kelebihan menggunakan IBS dalam mendirikan kediaman mereka kerana ia bukan sahaja dapat menjimatkan masa, malah juga kos dan tenaga.

“Pembinaan kediaman menggunakan IBS dapat menjimatkan masa hampir separuh berbanding kaedah konvensional selain kualiti binaannya lebih baik dan kurang kecacatan apabila rumah siap dibina.

“Dari segi penjimatan kos, IBS juga dapat menjimatkan kos sekiranya ia dibina di kawasan bandar memandangkan kos logistik tidak begitu mahal, tetapi bagi kawasan kampung mungkin lebih mahal,” katanya.

Katanya, kilang membuat teknologi IBS juga perlu diperbanyakkan dengan menambah pengeluaran lesen kilang disamping menyediakan inisiatif yang mampu memberi galakan kepada pengilang.

“Bila IBS dipromosikan sepanjag masa dan ada permintaan maka pengilang boleh mengeluarkan lebih banyak bahan binaan IBS dan ini akan merancakkan lagi penggunaan IBS.

“Selain itu, penambahan tenaga kerja mahir untuk memasang IBS juga perlu diperhebatkan dan sekaligus memberi peluang kepada anak tempatan untuk menjana pendapatan lumayan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN