Tips membeli rumah lelong - Utusan Malaysia

Tips membeli rumah lelong

RUMAH lelong antara pilihan pembeli rumah yang mahu memiliki rumah dengan harga lebih rendah. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARGA rumah baharu yang semakin tinggi menyebabkan ramai individu yang ingin memiliki rumah menerokai pilihan yang lain.

Selain daripada rumah subsale atau rumah terpakai, rumah lelong juga antara pilihan yang untuk memenuhi impian memiliki rumah sendiri kerana harga rumah tersebut mungkin boleh dimiliki pada harga yang lebih rendah dari harga pasaran.

Walau bagaimanapun, banyak yang perlu dipelajari sebelum seseorang itu meletakkan deposit 10 peratus untuk menjadi pembida supaya wang tersebut tidak hangus begitu sahaja.

Pengasas Financial Faiz, Faiz Azmi berkongsi panduan mengenai apa yang perlu dilakukan jika berminat membeli rumah lelong.

Apa itu rumah lelong?

Terdapat pelbagai jenis rumah lelong tetapi fokus panduan ini pada rumah lelong yang pemiliknya tak membayar ansuran bulanan daripada bank.

Apabila pembeli atau pun peminjam tidak membayar ansuran bank, bank boleh menggunakan hak mereka ke atas rumah tersebut untuk menjual rumah terbabit melalui kaedah lelongan melalui pelelong.

Bank tidak akan bimbang jika rumah tersebut dijual pada harga yang lebih rendah asalkan mereka mendapat kembali baki pembiayaan mereka.

Namun, kadang-kadang bank mungkin terkesan kerana ada kemungkin harga lelong tersebut adalah lebih rendah daripada baki hutang peminjam.

Jika ini berlaku, pembeli akan untung kerana dapat membeli rumah rendah daripada harga pasaran.

– Beza rumah lelong dengan rumah cashback

Terdapat perbezaan nilai pasaran antara rumah lelong dan rumah cashback (pulangan duit yang kita dapat selepas pembelian rumah).

Nilai pasaran boleh dilihat dari beberapa bahagaian iaitu daripada bank, pemaju dan harga rumah tersebut yang sebenar semasa dijual.

Sebagai contoh, seseorang itu dapat rumah lelong pada harga RM300,000, namun nilai pasaran oleh pihak bank adalah pada RM500,000. Nilai pembelian tersebut akan direkodkan.

Berbeza dengan rumah cashback, pulangan wang yang diterima adalah melalui peguam dan tidak direkodkan dan apa yang direkodkan hanya adalah harga perjanjian jual beli (SPA).

Oleh itu, bagi pendapatan saya, bagi mendapatkan nilai yang sebenar rumah adalah melalui rumah lelong.

– Perlu banyak buat kajian sendiri

Berbeza dengan membeli rumah dengan ejen atau pemaju, mereka akan membimbing pembeli kerana mereka mahu menjual rumah mereka.

Pembeli boleh sertai kumpulan-kumpulan yang membeli rumah lelong yang boleh berkongsi informasi mengenai kawasan yang baik untuk membeli rumah.

– Pengisytiharan Jualan (POS)

Dapatkan POS daripada pelelong untuk dapatkan informasi mengenai rumah yang akan dilelong.

Dengan maklumat yang ada, pembeli boleh membuat carian geran ke atas hartanah tersebut seperti alamat, tempoh pajakan dan sebarang syarat-syarat nyata.

Pembeli boleh memeriksa sama ada hartanah tersebut masih lagi di bawah pemaju atau pemaju tersebut sudah bankrap atau sebagainya.

– 10 peratus deposit yang tidak dikembalikan

Pendahuluan 10 peratus deposit tidak akan dikembalikan sekiranya gagal membuat pembayaran hutang 90 peratus dalam masa 90 hingga 120 hari.

Bank ada hak untuk tidak memberi pinjaman.

– Hartanah pegangan pajakan

Periksa tempoh pajakan rumah tersebut kerana bank mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang mana jika tempoh gadaian adalah pendek, mungkin mereka tidak akan memberi pinjaman atau pinjaman diberikan pada tempoh yang singkat.

– Hartanah ada Kaveat Persendirian

Kaveat Persendirian adalah kaveat yang dimasukkan oleh individu atau badan yang mempunyai kepentingan ke atas pemilikan hartanah bagi menyekat atau menghalang sebarang urus niaga tanah itu, termasuk dipindah milik dan hanya boleh ditarik balik menerusi perintah mahkamah.

Oleh itu, proses pertukaran nama ini akan menjadi lambat dan bank tidak akan suka mengenai perkara ini.

Kalau pembeli menang bidaan rumah lelong yang ada Kaveat Persendirian dan pinjaman bank telah diluluskan, namun bank masih ada hak untuk tidak melepaskan wang terbabit untuk membeli hartanah tersebut dan boleh tarik semula pinjaman.

Jika tidak pasti bagaimana untuk membuat pemeriksaan mengenai status rumah, pembeli boleh meminta bantuan peguam untuk berbuat demikian sebelum membuat bidaan.

– Turun padang dan lihat sendiri hartanah tersebut

Apabila sudah mendapat POS, tentu alamat hartanah tersebut sudah anda miliki.

Lihat kawasan sekitarnya sama ada terletak di kawasan yang berhampiran loji kumbahan, kubur atau sebagainya.

Selain itu, tanya jiran-jiran berhampiran mengenai rumah terbabit sama ada terdapat masalah di rumah itu atau pun ada kes jenayah seperti kes bunuh.

– Bank tidak bertanggungjawab untuk beri rumah yang kosong

Sebarangan kerosakan yang ada dalam rumah tersebut adalah bukan tanggungjawab pihak bank.

Terdapat juga kes yang mana masih ada orang yang tinggal di dalam rumah lelong yang telah dibeli dan untuk menyuruh mereka keluar dari rumah tersebut bukannya sesuatu yang mudah.

Ada dua cara untuk minta penghuni keluar, pertama adalah dengan membayar sejumlah wang kepada mereka dan minta mereka keluar.

Kedua adalah dengan mendapatkan arahan mahkamah untuk paksa penghuni itu keluar dan ini juga memerlukan wang serta mengambil masa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya