PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi berpendapat syarikat-syarikat minyak dan gas (O&G) dalam negara harus mengambil kesempatan untuk menyelaraskan kos operasi masing-masing supaya lebih efisien, berdaya saing dan tidak terlalu terpengaruh kepada turun naik harga minyak mentah.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, turun naik harga minyak mentah sejak kebelakangan ini semakin ketara berikutan pelbagai isu geo politik.
“Peningkatan harga minyak mula tercetus sejak krisis antara Rusia dan Ukraine, melonjakkan harga minyak hingga AS$130 setong. Namun, kita harus ingat sewaktu puncak pandemik melanda dunia pada 2020, harga minyak turun sehingga AS$45 setong.
“Justeru, syarikat-syarikat O&G dalam negara perlu mengambil kesempatan untuk menyelaraskan kos operasi masing-masing supaya tidak terlalu bergantung kepada turun naik harga minyak mentah.
“Contoh yang baik adalah syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas), yang telah menyelaraskan operasinya semasa pandemik Covid-19 melanda.
“Apabila harga minyak mentah naik semula, syarikat itu berjaya mendapat keuntungan tertinggi walaupun harga minyak sebanyak AS$130 setong itu bukan kali pertama dicapai,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ujarnya, turun naik harga minyak mentah sememangnya mempengaruhi negara terutamanya dengan sumbangan Petronas sebanyak kira-kira 15 peratus kepada pendapatan kerajaan.
“Apa yang penting adalah syarikat-syarikat minyak dan gas di Malaysia perlu peka dan mempunyai fleksibiliti dalam model perniagaan masing-masing supaya mereka boleh bertahan dalam situasi apa pun,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, jika dilihat, polar naik turun harga minyak seperti minyak mentah brent tahun ini tidak kurang daripada AS$70 setong.
Jadi, ujarnya, kebanyakan syarikat O&G tidak ada masalah dari segi prestasi kewangan mereka kerana harga minyak masih dianggap tinggi buat masa ini, didorong oleh krisis antara Rusia dan Ukraine dan tindakan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) untuk mengurangkan pengeluaran minyak.
Namun, jelasnya, dari segi hasil negara, walaupun minyak dan gas bukan penyumbang utama, ia masih memberi sumbangan yang signifikan.
“Oleh itu, selagi negara berterusan mempelbagaikan sumber hasil, sebagai contoh dalam industri ekonomi digital, kita akan lebih mampan dan tidak akan terlaku terkesan jika berlaku kejatuhan harga minyak.
“Itulah kepentingan untuk mempelbagaikan sumber pendapatan supaya tidak terlalu bergantung kepada industri tertentu.
“Tidak dinafikan, kejatuhan harga minyak mungkin akan berlaku kerana sekarang kita lihat industri sudah pergi ke arah tenaga hijau dan banyak negara sudah mula mengguna peraturan kenderaan yang hendak dijual di negara itu tidak boleh berasaskan karbon, bermakna lebih kepada elektrik.
“Disebabkan itu permintaan terhadap minyak dan gas dijangka akan berkurangan akhirnya.
Oleh itu, industri O&G harus meneroka sumber tenaga lain seperti tenaga boleh diperbaharui dan tenaga hijau,” katanya. – UTUSAN