PETALING JAYA: Pembinaan rumah mampu milik oleh kerajaan dan pemaju swasta memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan dan pertengahan memiliki kediaman sendiri mengikut kemampuan masing-masing.
Namun, harga yang berbeza-beza atas pelbagai faktor termasuk lokasi menyebabkan wujudnya pembeli kurang berkemampuan untuk memiliki kediaman sendiri meskipun ia dinamakan sebagai rumah mampu milik.
Malah sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan golongan muda terpaksa mengetepikan dahulu impian mereka untuk memiliki kediaman sendiri atas faktor harganya yang tinggi selain situasi ekonomi yang tidak menentu.
Ada di antara golongan muda menyifatkan keinginan membeli sebuah kediaman seperti bermimpi di siang hari memandangkan pendapatan bulanan tidak setimpal dengan harga pembiayaan perumahan yang perlu dibayar setiap bulan.
Rentetan itu wujud persoalan sama ada kerajaan atau pemaju yang perlu menggalas tanggungjawab membina dan menyediakan rumah mampu milik kepada golongan yang layak dengan harga yang setimpal dengan kadar pendapatan semasa.
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), menyifatkan penyediaan kediaman mampu milik terutama sekali rumah kos rendah perlu diambil alih sepenuhnya oleh pihak kerajaan.
Presidennya, Datuk NK Tong berkata, Rehda sentiasa menyokong inisiatif kerajaan dalam memastikan semua rakyat memiliki rumah sendiri dan akan terus membantu Kerajaan untuk mencapai agenda perumahan.
“Namun, sejak beberapa tahun lalu berikutan kekangan pelbagai faktor terutamanya kos pembinaan yang semakin meningkat, Rehda telah mencadangkan agar penyediaan rumah mampu milik terutama sekali rumah kos rendah perlu diambil alih sepenuhnya oleh pihak kerajaan.
“Seperti yang kita sedia maklum, rumah mampu milik dijual dengan harga yang jauh lebih rendah berbanding rumah yang hampir sama di pasaran terbuka.
“Untuk menampung kos pembinaan rumah mampu milik, para pemaju terpaksa menggunakan kaedah subsidi bersilang (cross-subsidy), di mana harga rumah pasaran terbuka perlu dinaikkan supaya penyediaan rumah mampu milik terus kekal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Tong, kenaikan harga berkenaan turut mengakibatkan kenaikan harga purata dan harga median rumah secara keseluruhannya.
Beliau berkata, pada masa yang sama bagi memenuhi tuntutan pihak berkuasa, rumah mampu milik perlu dibina pemaju di kawasan yang sama dengan rumah pasaran terbuka, di mana lokasinya mungkin tidak berdekatan dengan pengangkutan awam.
Jelas beliau, akibatnya rumah-rumah tersebut kurang bersesuaian untuk golongan B40, dan seterusnya tidak dapat dijual.
“Rehda berpendapat adalah berbahaya untuk bergantung sepenuhnya kepada pemaju perumahan agar terus menjalankan subsidi bersilang lebih-lebih lagi dalam keadaan semasa ekonomi dunia yang tidak menentu.
“Ini kerana kegawatan ekonomi dunia turut memberi kesan kepada ekonomi negara kita; jika harga rumah di pasaran terbuka jatuh, pemaju tidak lagi mampu untuk menjalankan subsidi bersilang bagi membina rumah mampu milik,” katanya.
Mengulas lanjut, Tong berkata, sekiranya kerajaan mengambil alih penyediaan rumah mampu milik, pemaju tidak perlu menaikkan harga rumah di pasaran terbuka.
Beliau berkata, rumah tersebut akan berada di paras yang lebih kompetitif serta boleh mencapai tahap mampu dimiliki oleh golongan M40 dan secara langsung akan turut mengurangkan kes rumah siap tidak terjual serta projek terbengkalai.
Katanya justeru itu, sebarang subsidi bersilang boleh dilaksanakan terus daripada cukai sedia ada yang dikenakan ke atas rakyat Malaysia yang berkemampuan di mana semua pihak akan turut mendapat manfaatnya.
“Rakyat khususnya dari golongan B40 akan menerima lebih pilihan rumah mampu milik di kawasan lebih bersesuaian, dengan harga lebih berpatutan yang disediakan Kerajaan.
“Pihak kerajaan pula tidak akan terus dibelenggu dengan isu-isu rumah siap tidak terjual dan kes rumah terbengkalai yang berleluasa, yang pasti akan memberi kesan kepada ekonomi negara selain industri hartanah akan menjadi lebih telus dan kompetitif,” katanya.
Ujar beliau, Rehda akan terus menjalankan kewajiban pembinaan dalam menyediakan rumah yang berkualiti dengan harga yang berpatutan atau mampu milik dalam jangka masa yang sepatutnya demi kemajuan negara dan rakyat. – UTUSAN