Perkara yang perlu dinilai sebelum beli rumah - Utusan Malaysia

Perkara yang perlu dinilai sebelum beli rumah

PENTINGNYA membuat penilaian menyeluruh sebelum membeli rumah. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERKARA paling penting yang anda perlu ada sebelum membeli rumah adalah rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

Faiz Azmi dari Financial Faiz berkata, secara ringkasnya, CCRIS adalah pangkalan data yang menyimpan semua rekod permohonan dan menunjukkan gambaran penuh kewangan anda.

Kebanyakan orang membeli rumah dengan membuat pinjaman dari bank. Sekiranya tiada rekod CCRIS, ia bermakna anda tidak mempunyai sebarang hutang jadi bank tiada sebarang rekod untuk memastikan anda boleh membayar balik pinjaman tersebut.

Jadi, anda perlu tunjuk kepada pihak bank yang anda mempunyai hutang kerana mereka akan melihat hutang kecil dahulu sebelum berhutang besar dengan pihak bank.

Cara untuk mendapatkan rekod CCRIS adalah dengan membuat kad kredit dan credit card dan Pembiayaan Amanah Saham Bumiputera (ASB F).

Bagi orang yang gajinya agak rendah di bawah RM2,000 sebulan memang tidak akan dapat atau susah untuk mendapatkan kad kredit.

Kad kredit adalah satu cara yang baik untuk mempunyai rekod dalam CCRIS kerana ia adalah satu kredit pusingan.

Contohnya, kalau had kredit anda sebanyak RM10,000 setiap bulan dan setelah mengguna anda membuat bayaran balik mengikut waktu yang ditetapkan, bank akan menyifatkan anda sebagai peminjam yang bagus kerana mempunyai kedudukan kredit yang baik.

Cara kedua adalah dengan mengambil ASB F di mana anda berjanji dengan pihak bank untuk membayar sesuatu amaun pada setiap bulan.

Sebagai contoh, anda mengambil pembiayaan itu sebanyak RM200,000 jadi setiap bulan anda perlu membayar RM800 kepada pihak bank.

Rekod CCRIS akan menunjukkan jika anda membuat bayaran balik tepat pada masanya.

Namun, jika anda mengambil jumlah pembiayaan yang terlalu sedikit bank tidak akan mengambil kira rekod tersebut.

Jadi, sekiranya gaji anda antara RM2,000 hingga RM3,000, untuk menunjukkan rekod kredit yang baik anda perlu membuat pinjaman yang lebih sedikit.

Tetapi jangan terlalu banyak pula kerana jika komitmen anda terlalu tinggi juga akan menimbulkan masalah untuk memohon pinjaman kepada pihak bank.

Sebaliknya, jika anda mempunyai rekod CCRIS yang buruk kerana membuat bayaran lambat, pihak bank akan menganggap anda tidak pandai membayar hutang.

Walaupun dengan rekod CCRIS anda boleh membuat pinjaman sebanyak 100 peratus, namun di mata pihak bank, mempunyai wang tunai juga penting.

Sekiranya pihak bank terdapat keraguan dalam status pekerjaan atau industri pekerjaan anda, mereka akan meminta anda tunjuk jumlah duit yang anda ada dalam akaun bank.

Itu terutamanya apabila anda mahu membuat pinjaman dengan margin sebanyak 90 peratus.

Sebagai contoh, sekiranya harga rumah yang diinginkan bernilai RM500,000 jadi pinjaman yang dimohon sebanyak 90 peratus bernilai RM450,000.

Justeru, anda perlu membayar RM50,000 sebagai duit muka dan pihak bank mahu melihat bukti yang anda mempunyai wang tunai tersebut di dalam akaun bank anda.

Selain 10 peratus jumlah duit muka, pihak bank mahu melihat wang tunai untuk membayar ansuran rumah selama enam bulan.

Menggunakan contoh rumah yang sama, anda perlu menunjukkan jumlah wang sebanyak RM12,000 di dalam akaun bank.

Sekiranya pemaju hartanah menawarkan rebat untuk duit muka rumah pihak bank tetap mahu melihat anda mempunyai wang tunai yang cukup di dalam akaun bank.

Pihak bank akan membuat kira-kira berdasarkan nisbah khidmat hutang (DSR) di mana bank akan lihat semua hutang yang anda ada termasuk pinjaman rumah yang mahu diambil, kemudian mereka akan bahagi dengan jumlah pendapatan anda dan darab dengan 100 peratus.

Jumlahnya tidak boleh lebih daripada amaun yang ditetapkan mengikut tangga gaji yang berbeza-beza dan setiap bank juga mempunyai angka yang berbeza.

Misalnya, bagi gaji bersih sebanyak RM3,000, berdasarkan arahan Bank Negara Malaysia, DSR mereka tidak boleh lebih daripada 60 peratus.

Jadi, 60 peratus darab dengan RM3,000 sama dengan RM1,800. Itu bermakna hutang semua jumlah hutang anda termasuk pinjaman itu tidak boleh lebih daripada RM1,800.

Jika lebih (DSR burst), pihak bank akan menolak permohonan tersebut atau mengurangkan amaun yang boleh dipinjam.

Sekiranya gaji anda tinggi sehingga RM10,000 pihak bank akan memberi DSR sebanyak 90 peratus.

Bank juga akan mengambil kira jika anda mampu untuk meneruskan kehidupan seharian seperti membeli makanan dan berbelanja untuk keperluan lain.

Apa yang perlu dilakukan sekiranya DSR burst? Pihak bank akan menyarankan anda untuk membuat pinjaman bersama dengan ahli keluarga atau pasangan.

Pinjaman bersama itu lebih baik buat bersama pasangan suami atau isteri dan jangan sesekali buat bersama kawan-kawan atau tunang untuk mengelakkan risiko berpisah atau bergaduh yang akhirnya akan menyusahkan proses membeli rumah.

Bagi peniaga yang membuat perniagaan kecil atau penghantar (rider) sebelum ini ada masalah untuk sediakan dokumen yang diperlukan oleh pihak bank untuk membuat pinjaman kerana pendapatan tidak masuk terus ke dalam bank atau masuk terlalu sedikit.

Salah satu inisiatif golongan tersebut membeli rumah adalah menerusi Skim Jaminan Credit perumahan (SJKP).

Menerusi skim itu, jika anda tidak mempunyai slip gaji atau dokumen-dokumen yang bank perlukan untuk proses pinjaman, anda tetap boleh dapat pinjaman melalui jaminan itu.

SJKP memberi jaminan kepada bank sekiranya peminjam tidak membuat bayaran balik kepada pihak bank, SJKP akan membuat membayar balik.

Kesimpulannya, membeli rumah bukan macam membeli sayur-sayuran, pembeli harus fikir panjang walaupun boleh mendapatkan pinjaman yang diinginkan.

Jangan beli rumah kerana terikut-ikut orang ramai yang sedang sibuk membeli rumah. Anda perlu ada objektif yang jelas dan lokasi yang bagus untuk menetap disitu sekurang-kurangnya selama lima tahun.

Kalau merancang untuk duduk selama dua tahun sahaja selepas itu mahu pindah dan sewakan rumah, tiada jaminan sewa itu akan akan lebih tinggi daripada bayaran ansuran untuk rumah tersebut.

Itu tidak termasuk kos lain seperti penyelenggaraan, kerosakan dan risiko penyewa lari daripada membuat bayaran.

Jadi, berhati-hatilah ketika membeli rumah kerana ia merupakan ‘big ticket item’ yang boleh dimiliki. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya