Pemandangan bukit menghijau taruhan Ramlee Bukit Bintang - Utusan Malaysia

Pemandangan bukit menghijau taruhan Ramlee Bukit Bintang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Sebanyak 96 unit banglo satu tingkat yang akan dibina di atas tanah tinggi menawarkan pemandangan bukit yang menghijau serta suasana yang sangat nyaman kepada bakal penghuni Ramlee Bukit Bintang, di sini.

Projek milik Plenitude Berhad merangkumi tiga fasa dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM 68 juta itu adalah kawasan perumahan pegangan bebas seluas 8.5 hektar.

Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas Plenitude, Elsie Chua berkata, kawasan perumahan Ramlee Bukit Bintang direka dengan satu akses masuk dan keluar bagi memastikan keselamatan dan privasi penduduknya.

Katanya, sistem kabel bawah tanah yang membekalkan tenaga kepada lampu jalan pula mengurangkan kekacauan visual orang ramai dan meningkatkan lagi daya tarikan estetik kawasan sekitar.

“Reka bentuk dua jenis rumah banglo Ramlee termasuklah ruang makan bersiling tinggi yang memberikan sirkulasi udara silang, serta akses mudah ke laman.

“Ia juga mempunyai ruang bilik yang besar, kawasan ruang tamu dan makan serba luas serta moden bagi kehidupan yang selesa. Kawasan persekitaran luar rumah juga luas, bersesuaian dengan keperluan gaya hidup keluarga pelbagai generasi masa kini,” katanya.

Pada 6 Mei lalu, Plenitude yang menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri turut mengumumkan pelancaran rumah contoh Ramlee Bukit Bintang dengan memberi peluang kepada pembeli mengenali kawasan tersebut serta kejiranan mereka yang baharu.

Elsie berkata, fasa pertama dan fasa kedua projek tersebut telah mencapai kadar penjualan sehingga 80 peratus dan pihaknya optimis tempahan daripada pelanggan akan terus meningkat sebaik melihat rumah contoh tersebut.

Antara kemudahan kawasan perumahan Ramlee Bukit Bintang tersebut adalah akses yang mudah ke pusat bandar dan lokasi berdekatan yang strategik.

“Ia terletak kira-kira 6 kilometer dari selatan Sungai Petani, serta aksesibiliti ke Seberang Jaya dan Butterworth dengan hanya mengambil masa lebih kurang 25 minit memandu melalui
Lebuhraya Utara-Selatan.

“Malah, Ramlee Bukit Bintang juga boleh diakses dari Pusingan Timur yang menghubungnya ke jalan-jalan utama di negeri ini,” katanya.

Plenitude yang merupakan syarikat tersenarai awam dengan pelaburan dalam bidang hospitaliti dan pembangunan hartanah pernah membangunkan beberapa projek perumahan lain termasuk Taman Putra Prima Puchong di Selangor serta Taman Desa Tebrau dan Impian Hills di Johor.

Sejak penubuhannya pada 6 November 2000, Kumpulan Plenitude telah menguasai portfolio pelbagai perniagaan yang berkaitan hartanah dan telah membina rekod prestasi yang kukuh dalam industri itu.

“Projek pembangunan kami diiktiraf kerana lokasi yang strategik dan mudah diakses serta memiliki pelbagai kemudahan yang komprehensif.

“Kami menceburi industri hospitaliti pada tahun 2001 dengan hanya 220 bilik sebelum mengembangkan pemilikan hotel yang kini memegang lebih 2,000 inventori bilik hotel di seluruh Malaysia, selain di Korea Selatan dan Jepun.

“Kini, bahagian hospitaliti Plenitude sudah merangkumi hartanah hotel berjenama antarabangsa dan tempatan serta dua buah residensi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya