SETELAH dua kali mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) berlangsung pada tahun ini memilih mengekalkan Kadar Dasar Semalam (OPR) pada 2.75, akhirnya pada Khamis lalu kadar tersebut dinaikkan sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus.
Kenaikan tersebut merupakan kali kelima bermula Mei, Julai, September dan November tahun lalu.
Rentetan itu, bank-bank di negara ini juga telah mengumumkan kenaikan kadar faedah bank masing-masing yang seterusnya membelenggu rakyat Malaysia dengan bebanan hutang yang meningkat dalam keadaan ekonomi masih dalam pemulihan dari pandemik Covid-19.
Penganalisis berpendapatan kenaikan tersebut akan mendorong rakyat negara ini terutamanya golongan muda menangguhkan dulu hasrat mereka untuk membeli rumah.
Ini berikutan bimbang akan bebanan hutang yang lebih tinggi dengan kenaikan kadar faedah tersebut, ditambah pula dengan kos sara hidup yang tinggi ketika ini.
Oleh itu, golongan ini pasti akan memilih untuk menyewa rumah sahaja dan mungkin semakin susah untuk mereka memiliki rumah sendiri memandangkan harga hartanah kain meningkat saban tahun.
Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kenaikan OPR akan membawa kepada peningkatan kadar faedah pinjaman bank terutamanya pinjaman yang mengenakan kadar faedah berubah.
Katanya, golongan muda akan mendapati komitmen kewangan bulanan mereka akan meningkat.
“Sebagai contoh, pinjaman rumah RM300,000 selama 30 tahun dengan kadar faedah enam peratus, kalau naik 1.25 peratus (seperti apa yang berlaku sejak satu tahun lepas) akan menyebabkan bayaran bulanan akan meningkat sebanyak hampir RM250 di samping jumlah sedia ada.
“Oleh itu, ramai yang akan tangguh daripada membeli rumah dan kemungkinan akan menyewa rumah dulu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Tambah beliau, OPR pernah naik sehingga 3.5 peratus antara tahun 2006 hingga 2008, namun beliau berpendapatan kadar tersebut tidak akan naik lagi tahun ini.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, kenaikan kadar faedah itu mungkin membantutkan hasrat golongan muda untuk memiliki rumah pada usia tersebut.
Beliau berkata, memiliki rumah sendiri adalah satu aset yang berharga kepada golongan muda supaya dapat hidup dengan lebih selesa di rumah sendiri di samping membina keluarga.
“Peningkatan OPR ini adalah kerana mengikut trend Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang mana apabila mereka naik, kita juga akan menaikkan kadar faedah.
“Tujuannya adalah supaya mata wang kita untuk turut naik. Tapi amalan ini sebenarnya tidak baik kerana kita perlu memikirkan situasi rakyat secara keseluruhan,” ujarnya.
Abu Sofian menasihatkan golongan muda yang bimbang terbeban dengan kenaikan kadar faedah itu untuk menangguh dulu pembelian rumah sehingga OPR diturunkan semula kerana OPR akan ada turun dan naiknya.