MGB fokus bangunkan usahawan tempatan - Utusan Malaysia

MGB fokus bangunkan usahawan tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia Grand Bazaar (MGB), kompleks beli-belah artisanal yang pertama di Kuala Lumpur akan terus memberi fokus untuk membangunkan usahawan tempatan supaya tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

Kompleks tersebut di bawah BBCC Development Sdn. Bhd. iaitu syarikat pemilikan bersama UDA Holdings Berhad (UDA) dengan Eco World Development Group Bhd. (Eco World) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Naib Presiden Kanan Bahagian Pelaburan dan Pengurusan Harta UDA, Mohd. Nazri Jamiran berkata, MGB yang terletak di Bukit Bintang City Centre (BBCC) bertujuan menyediakan satu tempat khusus kepada usahawan untuk menjual produk-produk mereka.

Katanya, inisiatif tersebut adalah supaya usahawan bumiputera tidak terpinggir dan berada bersama-sama dalam arus pembangunan.

“Hasrat UDA adalah supaya usahawan kita mampu untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi dan bukan setakat berniaga di pasar malam atau kompleks beli-belah kategori rendah sahaja. Kami mahu bawa mereka ke kategori pertengahan dan atas.

“Oleh itu, UDA bersama rakan kami iaitu Eco World dan KWSP membangunkan hab ini untuk usahawan tempatan sama-sama bersaing dalam pasaran,” katanya di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Mohd. Nazri berkata, MGB yang mula beroperasi pada 31 Mac tahun lalu kini mempunyai kira-kira 50 peratus penyewa.

Menurutnya, pelbagai usaha dilakukan untuk mengetengahkan lagi kompleks tersebut dengan melakukan pelbagai acara dan promosi serta pihaknya mengharapkan penglibatan bersama agensi-agensi kerajaan yang lain.

“MGB ini diuruskan oleh BBCC Management tetapi UDA akan membantu melalui beberapa program UDA dalam membangunkan usahawan termasuk Program Insentif Usahawan yang mempunyai dana kira-kira RM2 juta pada tahun ini.

“Melalui program ini, kami dapat memberi insentif kepada usahawan dari segi rebat sewa atau aktiviti promosi dengan niat bukan mendapatkan keuntungan tetapi untuk membantu usahawan ini ke satu tahap yang lebih tinggi,” ujarnya.

Beliau yakin, dengan pelbagai usaha tersebut, MGB dapat mencapai 100 peratus penyewa dalam masa satu hingga dua tahun lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya