PETALING JAYA: Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi kepada 3.0 peratus pada 3 Mei lalu, tidak memberi kesan besar kepada syarikat pemaju perumahan terutamanya dari segi jumlah jualan kediaman.
Malah, beberapa syarikat pemaju perumahan menyifatkan kenaikan OPR kepada paras sebelum pandemik Covid-19 itu memberi peluang kepada mereka untuk meningkatkan jualan rumah mampu milik yang ditawarkan kepada pembeli.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Eksekutif LBS Bina Group Berhad (LBS), Tan Sri Lim Hock San berkata, kenaikan OPR mungkin menyebabkan peningkatan kadar faedah untuk pinjaman, yang boleh memperlahankan aktiviti pembelian rumah, namun ia juga boleh menyebabkan pasaran hartanah yang lebih stabil dan mampan dalam jangka panjang.
Menurut beliau, situasi berkenaan boleh menjadi positif kepada LBS memandangkan syarikat tersebut mampu merancang dan mengaturkan operasi perniagaannya dengan lebih baik disamping memastikan LBS dapat memenuhi permintaan pasaran.
“Kenaikan OPR juga boleh menyebabkan peralihan permintaan kepada pilihan perumahan yang lebih mampu milik dan ini selaras dengan perniagaan asas LBS dalam menyediakan perumahan yang mampu milik kepada rakyat Malaysia dan boleh menyebabkan peningkatan dalam penjualan bagi syarikat.
“Oleh itu kenaikan OPR tidak menjejaskan juala syarikat memandangkan rekod angka jualan LBS setakat 12 Mei lalu adalah sebanyak RM473.5 juta dan kami masih berada di landasan yang betul.
“Sebagai pemaju perumahan rakyat LBS terus komited menyokong Agenda Perumahan Negara kerajaan dengan memberi tumpuan kepada segmen mampu milik di dalam projek-projek pembangunan kami,” katanya.
Ditanya sama ada kenaikan OPR bakal memberi kesan kepada sasaran jualan hartanah LBS ataupun tidak Hock San berkata, perkara itu bergantung kepada pelbagai faktor seperti kondisi ekonomi, stabil atau tidaknya harga hartanah, faktor sosial, politik, dan banyak lagi.
Katanya, walaupun kenaikan OPR boleh memberi impak pada sasaran jualan hartanah di Malaysia, ia bukan satu-satunya faktor yang mempengaruhi pasaran hartanah, dan impaknya juga bergantung pada pelbagai faktor lain yang perlu dipertimbangkan.
“Dalam hal LBS, kenaikan OPR juga dapat membawa kesan positif dan jika kenaikan OPR disebabkan oleh pertumbuhan ekonomi yang mantap, ini dapat meningkatkan permintaan untuk hartanah yang dibangunkan oleh LBS.
“Kenaikan OPR juga dapat menunjukkan kestabilan dalam pasaran hartanah dan mendorong pembeli untuk membuat keputusan pembelian yang lebih cepat selain, LBS juga dapat menyesuaikan strategi pemasaran dan harga hartanah mereka untuk menyesuaikan dengan perubahan dalam pasaran hartanah akibat kenaikan OPR.
“Ini boleh membantu mereka menarik pembeli yang mencari hartanah yang lebih mampu milik atau yang mempunyai nilai yang lebih tinggi,” katanya.
Senada dengan LBS, syarikat hartanah Bumiputera, MK Land Holdings Berhad (MK Land) ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, kenaikan OPR tidak akan menjejaskan jualan syarikatnya lebih-lebih lagi bagi produk mampu milik yang sememangnya disasarkan kepada golongan muda.
Timbalan Ketua Pegawai Operasi I MK Land, Ahmad Soalahuddin Al-Thani Ahmad Termizi berkata, pihaknya berpendapat industri perumahan tidak akan terjejas secara teruk atas kenaikan OPR baru-baru ini memandangkan ia berada di paras sama seperti sebelum pandemik Covid-19.
Beliau berkata, kita perlu melihat kepada faktor-faktor lain seperti pengurangan kadar pengangguran, peningkatan kadar peningkatan ekonomi dan peningkatan jumlah pelaburan antarabangsa dan tempatan yang akan meningkatkan keyakinan bakal pembeli untuk membeli rumah bagi kegunaan sendiri atau pelaburan.
“Pihak kami yakin dengan permintaan produk kami dan sasaran jualan hartanah kami kekal agresif untuk semua kategori produk dari produk mampu milik sehingga produk mewah dan untuk perumahan hakmilik individu dan juga perumahan jenis kondominium.
“Mk Land juga yakin jumlah pembeli kami tidak akan berkurangan dan jika ada bakal pembeli yang terkesan untuk mendapat kelulusan pinjaman bank akibat kenaikan OPR terbaru ini, selaras peningkatan ekonomi akan ada pembeli lain yang boleh mendapat kelulusan pinjaman yang diperlukan untuk membeli produk kami,” katanya.
Sementara itu, UM Sunrise Berhad (UM Sunrise) turut menjangkakan kenaikan OPR hanya memberi impak minimum dalam jualan hartanahnya memandangkan peningkatan OPR kepada paras sebelum pandemik Covid-19 sudah pun dijangkakan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sufian Abdullah berkata, UEM Sunrise akan mengambil pendekatan berhati-hati dari segi sasaran jualannya dengan fokus tahun ini adalah untuk membangunkan dan melancarkan projek untuk pendapatan pertengahan.
“Kecuali pembangunan The Minh yang merupakan produk dalam spektrum mewah, sebahagian besar produk kami yang lain adalah spektrum pertengahan. Ini bagi membolehkan pembeli dalam golongan pertengahan itu dapat memperoleh pinjaman yang mereka perlukan,” katanya. – UTUSAN