Kenaikan OPR sukarkan impian rakyat beli rumah - Utusan Malaysia

Kenaikan OPR sukarkan impian rakyat beli rumah

KENAIKAN OPR sukarkan orang ramai untuk memiliki rumah sendiri. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TREND kenaikan Kadar Dasar Semalam (OPR) yang sudah meningkat sebanyak lima kali sejak tahun lepas kepada 3.00 peratus menyukarkan impian rakyat Malaysia terutamanya golongan muda untuk memiliki rumah sendiri.

Harga rumah yang tinggi dan kedudukan kewangan tidak kukuh selama ini sudah menjadi halangan kepada mereka untuk memiliki rumah di kawasan bandar.

Ada yang terpaksa menyimpan selama bertahun-tahun bagi untuk mencapai hasrat tersebut, tetapi apabila kadar faedah dinaikkan bank, ramai yang terpaksa menangguhkan hasrat itu.

Selain itu, mereka yang sudah mempunyai rumah juga terbeban dengan peningkatan kadar faedah dan perlu membayar hutang yang lebih tinggi di bank.

Seorang guru, Mohamad Saufi Aris@Mohd Aris, 32, berkata, trend kenaikan OPR akan menyukarkan lagi impiannya untuk memiliki rumah sendiri.

Katanya, komitmen bulanan kini antara RM1,500 hingga RM2,000 untuk membayar pinjaman kereta, pinjaman peribadi, bayaran sewa rumah dan bil utiliti.

Berdasarkan situasi semasa, dia takut untuk membeli rumah atau menambah komitmen bulan seperti pinjaman perumahan yang sudah tentu akan menjadi satu beban.

“Saya sudah merancang selama enam tahun untuk memiliki rumah sendiri. Namun, atas sebab harga rumah yang terlalu mahal, kadar faedah yang terlalu tinggi dan OPR yang sentiasa naik amat menyukarkan saya mencapai impian tersebut.

“Kerajaan perlu mencari penyelesaian untuk membantu rakyat untuk memiliki atau membeli rumah. Kebanyakan golongan B40 dan M40 hanya mampu menyewa rumah berbanding membeli rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sementara itu, pensyarah sambilan, Syarrizuan Abd Rashid, 41, berkata, sudah hampir 10 tahun dia mengumpul duit untuk membeli rumah sendiri.

Menurutnya, dia yang bekerja sendiri sebagai ‘freelance’ menyebabkan proses tersebut semakin sukar dan ditambah pula dengan kadar faedah semakin meningkat.

“Isu rumah mampu milik ini sudah lama dibangkitkan tapi harga terus melonjak. Tiada mekanisme untuk pantau hal ini.

“Di bandar utama takkan ada teres RM1 juta ke bawah. Bayangkan pangsapuri studio pun RM400,000,” ujarnya.

Dalam pada itu, pemandu e-hailing sambilan, N. Sarvana, 29, mengakui dia juga terkesan dengan peningkatan OPR apabila pembiayaan rumahnya sudah meningkat daripada RM1,000 sebelum ini kepada RM1,200.

Dia yang sebelum ini bekerja sebagai eksekutif akaun namun terlibat dalam pemberhentian kerja atau ‘retrenchment’ pada tahun lalu, perlu berusaha dengan gigih lagi untuk mencari pendapatan tambahan.

“Kenaikan OPR itu sebenarnya tak boleh nak buat apa sebab ia berdasarkan ekonomi global. Bukan Malaysia sahaja, ia tetap akan naik. Cuma kita perlu usaha lebih sikit dan bekerja keras untuk dapatkan pendapatan yang lebih.

“Bagaimanapun kos sara hidup di Kuala Lumpur berbanding Melaka iaitu negeri asal saya. Kalau di Melaka dengan RM500,000 sudah beli banglo,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya