HDC jangka saiz pasaran halal berkembang kepada AS$5 trilion menjelang 2030 - Utusan Malaysia

HDC jangka saiz pasaran halal berkembang kepada AS$5 trilion menjelang 2030

PASARAN halal dijangka melonjak. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Halal Development Corporation (HDC) menjangka saiz pasaran halal akan berkembang kepada AS$5 trilion menjelang 2030.

Sasaran itu mengambil kira saiz pasaran halal pada 2020 yang bernilai AS$3 trilion.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari berkata, jangkaan itu adalah dari segi konservatif memandangkan pengiraan itu bergantung kepada permintaan yang ditawarkan oleh pengguna Islam.

“Tetapi sekiranya kita ambil kira peluang yang ditawarkan oleh pengguna bukan Islam yang mencari produk halal, kami jangka saiz pasaran akan berkembang sekitar AS$30 trilion menjelang 2030.

“Bagaimanapun, industri halal di peringkat dunia kini mengharungi cabaran besar untuk memenuhi permintaan. Sumber yang mahu memasuki pasaran adalah kurang daripada 20 peratus sahaja.

“Apakah tindak balas strategik Malaysia terhadap jurang permintaan dan penawaran yang luas ini? Apa yang perlu dilakukan ialah berkolaborasi dan bekerjasama.

“Bagi perniagaan ke perniagaan, harus wujudkan lebih banyak padanan perniagaan antara perniagaan industri halal dan peserta industri halal di negara lain.

“Bagi kerajaan ke kerajaan pula, kita boleh jalin usahasama ekonomi antara Malaysia dengan negara-negara lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelasnya, semasa pandemik Covid-19 melanda dunia iaitu pada 2020 hingga 2021, industri halal telah mengalami gangguan rantaian bekalan yang membuatkan Malaysia tidak dapat berdagang dengan negara lain.

Ujarnya, jika ada negara yang boleh berdagang bersama Malaysia waktu itu, mereka pula mengamalkan ‘protectionism’.

Justeru, katanya, bagi mengelakkan ia berulang, campur tangan kerajaan ke kerajaan juga amat penting.

“Apa yang boleh dibincangkan dengan negara lain ialah bagaimana hendak memudahcarakan perkara berkaitan perdagangan, pelaburan dan pergerakan manusia.

“Perlu diingatkan saiz pasaran industri halal ini boleh boleh diluaskan berdasarkan kekuatan industri ini sendiri.

“Jadi, HDC perlu mempunyai strategi yang cukup ampuh dan ia perlu disokong oleh agensi-agensi lain sama ada di peringkat persekutuan atau negeri,” katanya.

Beliau berkata, kapasiti dan keupayaan industri halal domestik untuk menghasilkan produk bernilai tambah tinggi akan ditingkatkan, ke arah menjadikan industri lebih berdaya saing dan inklusif.

Oleh itu, jelasnya, usaha termasuk memartabatkan pembangunan bakat halal, mengiktiraf pengamal halal sebagai profesional untuk menyediakan kumpulan bakat berkualiti dalam industri halal, mempercepatkan pembangunan industri untuk meningkatkan daya saing, meningkatkan penyertaan Bumiputera, meluaskan pasaran dan meletakkan Malaysia sebagai hab halal global.

Hairol Ariffein menambah, hasrat kerajaan untuk mengejar halal sebagai agenda ekonomi utamanya terbukti melalui penubuhan Majlis Pembangunan Industri Halal (HIDC), yang dipengerusikan oleh timbalan perdana menteri (DPM) bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagai Sekretariatnya.

Ia bertindak sebagai majlis kebangsaan untuk mempertimbangkan, menyokong dan memantau pelaksanaan dasar kerajaan yang berkaitan dengan pembangunan industri halal dalam rangka kerja pembangunan sosio-ekonomi negara.

Sementara itu, Hairol Ariffein turut menekankan bahawa Pelan Induk Industri Halal (HIMP 2030) yang dilancarkan baru-baru ini adalah pelan tindakan Malaysia untuk menjadikannya peneraju global yang tidak dapat dipertikaikan dalam industri halal dan memastikan ekosistem halal negara terus mampan dan teguh.

HIMP 2030 diselaraskan dengan tujuh teras strategik yang disokong oleh 23 inisiatif dan menangani semua peluang dan cabaran yang dikenal pasti.

Teras strategik termasuk mempertingkat dasar dan perundangan mesra industri halal, mewujudkan ruang pasaran baharu dan lebih besar, mewujudkan kumpulan pakar dan profesional halal untuk memenuhi keperluan global, meningkatkan kualiti dan pembangunan infrastruktur bersepadu, memupuk kepimpinan pemikiran, melahirkan lebih ramai juara halal tempatan dan memudahkan penyertaan Bumiputera yang lebih kompetitif dalam industri halal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya