PETALING JAYA: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menjangkakan harga Minyak Sawit Mentah (MSM) pada Mei masih bertahan melepasi paras RM4,000 berdasarkan prestasi harga semasa.
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, harga MSM diunjurkan diniagakan sekitar RM4,050 hingga RM4,150 setan pada minggu ini.
Katanya, minggu lalu, purata harga MSM diniagakan sekitar RM4,100 setan.
“Harga purata MSM pada April 2023 telah meningkat sebanyak 1.4 peratus kepada RM4,217.50 setan berbanding RM4,159.50 setan pada Mac 2023.
“Manakala harga purata MSM minggu ke-17 (pada 24 hingga 28 April 2023) adalah RM4,148.50 setan,” katanya kepada Utusan di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, faktor utama yang menyumbang kepada tekanan terhadap harga MSM semasa adalah disebabkan oleh kelemahan harga minyak kacang soya (SBO) dan minyak biji sesawi (RSO) di pasaran dunia.
Menurutnya, penyusutan harga SBO ini telah menyebabkan diskaun harga MSM dan SBO mengecil kepada kurang dari AS$100 (RM443.71).
“Kejatuhan harga RSO turut menyebabkan buat pertama kalinya dalam tempoh 25 tahun, harga MSM lebih tinggi berbanding harga RSO. Oleh kerana harga MSM, SBO dan RSO bergerak seiring di pasaran.
“Selain itu, kadar diskaun yang semakin mengecil telah menyebabkan daya saing harga sawit terjejas sedikit dan ini menyebabkan harga MSM sukar untuk meningkat di pasaran.
“Faktor kedua adalah disebabkan oleh kejatuhan harga minyak mentah petroleum (BCO) di pasaran dunia.
Tambahnya, kenaikan kadar faedah yang lebih tinggi dan krisis kewangan yang melanda Amerika Syarikat (AS) menyebabkan pertumbuhan ekonominya menjadi lebih perlahan dan seterusnya mengurangkan permintaan BCO.
“Kesan daripada kejatuhan harga minyak mentah Brent di pasaran dunia telah memberikan sedikit kesan kepada minyak sawit dan minyak sayuran lain kurang berdaya saing untuk dijadikan bahan mentah biodiesel.
“Ini seterusnya memberikan tekanan kepada harga komoditi minyak sayuran,” jelasnya. – UTUSAN