FBM KLCI dijangka terus dengan aliran menaik - Utusan Malaysia

FBM KLCI dijangka terus dengan aliran menaik

BURSA Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks penanda aras Bursa Malaysia, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka bergerak lebih tinggi minggu ini, berteraskan sentimen pasaran yang lebih baik ditambah dengan keyakinan terhadap musim pendapatan korporat yang positif.

Memetik laporan Bernama, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn. Bhd., Thong Pak Leng berkata, penilaian ekuiti Malaysia masih lebih murah berbanding syarikat serantau, justeru, ia menawarkan potensi peningkatan yang lebih baik untuk pelabur asing.

Bagaimanapun, katanya, pelabur harus sentiasa berwaspada terhadap ketidaktentuan dan ketidakpastian pasaran yang semakin meningkat sambil memetik perkembangan luar seperti semakan siling hutang Amerika Syarikat (AS) akan berada di bawah radar pelabur.

“Selain itu, kami percaya sesetengah pelabur akan mengalihkan perhatian mereka kepada pendapatan korporat (pengumuman) apabila musim keputusan semakin panas mulai minggu ini dan seterusnya.

“Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI akan didagangkan dalam julat antara 1,420 dan 1,435 untuk minggu depan. Dari sudut teknikal, kami melihat rintangan serta-merta pada 1,440 dan sokongan pada 1,415,” katanya.

Pada asas Jumaat-ke-Jumaat, FBM KLCI meningkat 5.62 mata untuk mengakhiri minggu ini pada 1,428.54 daripada 1,422.92 minggu lepas.

Bursa tempatan mengalami corak dagangan yang tidak menentu pada minggu ini, terutamanya dipengaruhi oleh faktor luaran termasuk kebimbangan terhadap situasi siling hutang AS dan pengeluaran data ekonomi China — jualan runcit dan pengeluaran perindustrian.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 59.10 mata kepada 10,474.75, Indeks FBMT 100 meningkat 58.97 mata kepada 10,170.36, Indeks FBM Emas Shariah menokok 53.59 mata kepada 10,829.51, Indeks FBM 157 melonjak 15.59, manakala Indeks FBM 170. ACE Indeks memperoleh 18.42 mata kepada 5,002.9.

Dari segi sektor, Indeks Perladangan meningkat 69.89 mata kepada 7,026.55, Indeks Tenaga meningkat 10.14 mata kepada 839.53, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 92.95 mata kepada 15,606.23.

Bagaimanapun, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 2.13 mata kepada 164.99.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 13.33 bilion unit bernilai RM8.18 bilion berbanding 15.43 bilion unit bernilai RM8.75 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 8.39 bilion saham bernilai RM7.05 bilion berbanding 9.67 bilion saham bernilai RM7.25 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran berkembang kepada 1.85 bilion unit bernilai RM288.01 juta daripada 1.64 bilion unit bernilai RM264.73 juta seminggu lalu.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 3.08 bilion saham bernilai RM830.39 juta daripada 4.11 bilion saham bernilai RM1.24 bilion minggu lepas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya