BAGI mereka yang membeli rumah pasti sering memikirkan kaedah mendekorasi kediaman mengikut keluasan serta citarasa masing-masing apabila ia siap dibina sepenuhnya.
Mana tidaknya, jika berlaku kesilapan walaupun kecil ia mungkin tidak memberikan anda kepuasan dalam menentukan hiasan rumah mengikut apa yang dikehendaki.
Tapi harus diingatkan sebelum anda menghias kediaman jangan lupa memeriksa kecacatan rumah selepas menerima kunci kerana jika ada kerosakan anda perlu memastikan ia dibaiki terlebih dahulu.
Tips memeriksa kediaman selepas menerima kunci dalam Tempoh Liabiliti Kecacatan (DLP) sudah kami kongsikan dalam keluaran Ringgit sebelum ini sebagai panduan.
Jadi kali ini kami ingin berkongsi empat tips bagaimana anda boleh menghias atau mendekorasi kediaman masing-masing bagi mendapatkan rumah yang bukan sahaja selesa malah cantik serta menarik perhatian tetamu yang berkunjung.
Warna kediaman
Ini merupakan elemen utama dalam memastikan dalaman rumah anda cantik atau tidak. Pemilihan warna cat memainkan peranan penting dalam menentukan keserian rumah lebih-lebih lagi ruang tamu yang sering menjadi perhatian mereka yang berkunjung ke rumah anda.
Pilih warna yang lembut dan cerah kerana ia mampu menjadikan sesebuah bilik atau ruang kelihatan lebih luas disamping mewujudkan suasana harmoni dalam kediaman anda.
Bila sebut warna cerah mesti ramai berfikir warna putihlah paling mudah namun ia bukanlah pilihan terbaik memandangkan kalau digunakan secara berlebihan rumah anda akan kelihatan hambar.
Jadi kenapa tidak anda mencuba warna pastel lembut seperti krim, kelabu cerah, merah jambu pudar atau kuning cerah untuk menaikkan lagi seri kediaman anda. Tapi awas jangan cat semua dinding warna sama kalau boleh beri tumpuan pada bahagian tertentu.
Lantai rumah
Ramai yang beranggapan cukup sekadar menggunakan jubin sedia ada apabila rumah anda sudah siap atau hendak lebih cantik bentang sahaja karpet, maka cantiklah kediaman anda.
Apa kata anda belanjakan sedikit wang anda untuk mendekorasi lantai rumah anda menggunakan jubin atau lantai kayu yang lebih cantik dan bersesuaian dengan tema dekorasi anda.
Meskipun ia melibatkan kos perbelanjaan tapi jika ada bajet kenapa tidak tukar? Lebih-lebih lagi menggunakan lantai kayu. Pasti ramai yang akan bertanya bila melihatnya.
Mana tidaknya lantai kayu nampak lebih moden, kemas dan cantik berbanding jubin kosong. Cuma anda kena elakkan daripada mengambil warna gelap kerana dikhuatiri ruang kelihatan sempit.
Perabot dan kabinet dapur
Sekiranya ruang kediaman anda terhad seperti pangsapuri anda boleh memilih perabot dengan pelbagai fungsi bagi memberikan anda ruangan simpanan selain tidak kelihatan terlalu padat dan sempit.
Pilihan warna perabot juga memainkan peranan penting dalam memberikan suasana yang diingini dan elakkan memilih pelbagai jenis dan warna perabot untuk diletakkan di kediaman anda.
Untuk kabinet dapur pula anda boleh mengupah kontraktor dengan memilih bahan dan kod warna yang diinginkan tetapi harus diingatkan anda perlu memastikan kerja-kerja pemasangannya dilakukan dengan kemas.
Langsir rumah
Jangan takut untuk berbelanja lebih sedikit dalam memilih kain dan warna langsir yang sesuai dengan warna cat kediaman anda. Jika cat kediaman anda berwarna cerah maka anda perlu memilih langsir sedikit gelap bagi menaikkan seri.
Seterusnya anda perlu memastikan ukuran langsir yang dipasang benar-benar tepat, tidak terlalu labuh mahupun senteng. Untuk selamat panggilah tukang jahit langsir untuk mengukur tingkap rumah anda sebelum menempah langsir.
Jika ruangan kediaman anda tidak menerima cahaya matahari yang mencukupi elakkan memasang langsir yang lebih tebal dan gelap, sebaliknya pilih langsir yang lebih nipis bagi memastikan ruangan anda mendapat cahaya.
Itu sahaja perkongsian kami kali ini dan anda boleh merujuk tips-tips lain yang banyak dikongsikan di laman sesawang di luar sana. Tetapi harus ingat mendekorasi rumah memang menyeronokkan tetapi anda perlu berhati-hati supaya tidak membazir jika tersilap. – UTUSAN