Beli rumah lelong lebih menguntungkan? - Utusan Malaysia

Beli rumah lelong lebih menguntungkan?

TREND membeli rumah lelong semakin meningkat sejak pandemik. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TREND orang ramai mencari rumah lelong semakin meningkat berikutan harganya yang jauh lebih murah daripada harga pasaran.

Ia turut didorong harga rumah baharu yang semakin tinggi selain peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang diumumkan baru-baru ini.

Persoalannya, adakah benar memiliki rumah lelong lebih menguntungkan berbanding membeli rumah baharu atau subsale?

Menurut ejen hartanah, Amrillah Najmin, rumah lelong lebih banyak potensi dari segi margin keuntungan kerana orang ramai mampu memiliki rumah yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran semasa.

Ujarnya, pelabur hartanah sememangnya lebih suka membeli rumah lelong dan sentiasa membuat carian serta semakan kawasan berpotensi tinggi untuk mendapatkan margin keuntungan.

“Bagi memastikan kita tidak rugi, bakal pembida perlu mempunyai ilmu sebelum mendaftar untuk membida.

“Paling utama, dapatkan dahulu tips daripada ejen lelong sama ada hartanah yang diingini itu berbaloi atau gunakan sahaja khidmat mereka dalam mengenal pasti nilai hartanah serta proses bidaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, panduan atau tip utama sebelum seseorang mendaftar untuk bidaan adalah membuat semakan kelayakan pinjaman.

Ini kerana, proses memiliki rumah lelong adalah termasuk menyelesaikan pembayaran rumah dalam tempoh 90 hingga 120 hari mengikut jenis lelongan.

“Terdapat tiga jenis lelongan iaitu lelongan awam, lelongan oleh mahkamah serta lelongan oleh pejabat tanah dan kesemuanya menetapkan tempoh yang berbeza dalam proses pembayaran penuh rumah yang berjaya dibida.

“Jika kelayakan pinjaman anda lebih rendah berbanding harga rumah lelong yang perlu dibayar, anda akan menghadapi kesukaran untuk melunaskan bayaran seterusnya berdepan risiko deposit 10 peratus yang diletakkan di awal proses bidaan ‘hangus’,” ujarnya.

Selain itu, ujarnya, pembida perlu membuat semakan hartanah yang ingin dibida dan seeloknya turun ke lokasi dan tinjau sendiri keadaan rumah.

“Memang agak berisiko kerana kita tidak boleh masuk ke dalam rumah tersebut untuk memeriksa keadaan dalam rumah, namun kebiasaannya jika luaran tidak banyak masalah jadi keadaan dalam rumah juga begitu.

“Buat juga semakan hak milik dan carian kaveat unit tersebut. Selain itu, sekiranya ada panel kita boleh selidik kenapa rumah itu dilelong contohnya pemilik meninggal dunia dan sebagainya.

“Yang terakhir, tentukan bajet dan tujuan anda mahu membida hartanah tersebut, selain pertimbangkan kos ubah suai rumah sekiranya anda mahu tinggal di situ kelak,” katanya.

Jelas beliau, jika dilihat pasaran lelong kini mungkin berdepan banyak saingan ekoran lebih ramai tertarik dengan peluang memiliki rumah dengan harga yang lebih rendah.

“Bagi saya, memiliki rumah lelong memang menguntungkan dan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiga tahun lalu merupakan waktu keemasan untuk para pembida memenangi bidaan kerana ketika itu sentimen pembeli masih kurang dalam pasaran lelong.

“Ketika itu orang ramai masih risau dengan keadaan ekonomi kerana penularan Covid-19, jadi ada pembida yang berjaya memiliki rumah lelong pada harga yang ditetapkan kerana kurang saingan,” katanya.

Ditanya mengenai kebarangkalian rumah lelong dibida pada harga yang lebih tinggi berbanding harga pasaran, Amrillah berkata, perkara itu boleh terjadi.

“Pembida kebiasaannya sanggup melawan bidaan sekiranya dia benar-benar mahukan unit tersebut contohnya kerana unit itu terletak bersebelahan rumah sedia ada dan dia berhasrat untuk membesarkan rumah dan sebagainya.

“Namun, ada juga yang sanggup terus membida pada harga tinggi kerana mengikut emosi sehingga rumah itu dilelong pada harga berkali ganda daripada harga ditetapkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya