Rumah subsale atau rumah baharu? - Utusan Malaysia

Rumah subsale atau rumah baharu?

TERDAPAT perbezaan di antara hartanah pegangan bebas dan pajakan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH berhempas pulas bekerja, pada satu peringkat umur sudah tentu anda akan merasakan inilah masanya anda mengambil keputusan besar dalam hidup dengan memiliki rumah sendiri.

Ada juga dalam kalangan golongan muda menetapkan membeli rumah sendiri sebagai satu pencapaian terbesar dalam hidup.

Namun, di sinilah timbul satu persoalan kecil yang bakal mempengaruhi keputusan anda, iaitu sama ada membeli rumah subsale atau rumah baharu?

Rumah subsale adalah rumah yang dibeli daripada pemilik sedia ada manakala rumah baharu atau masih dalam pembinaan pula adalah rumah yang dibeli daripada pemaju.

Pemilihan di antara kedua-dua jenis rumah ini sudah pasti cenderung kepada pelbagai aspek contohnya lokasi, keluasan rumah, bajet dan sebagainya.

Menurut akauntan, Nurul Shafiqah Mohd. Yahya yang telah memiliki rumah subsale, sebelum membuat keputusan untuk membeli rumah subsale atau rumah baharu perlu menetapkan adakah ia untuk duduk sendiri atau pelaburan.

Katanya, rumah subsale selalunya berdekatan dengan kawasan membangun dengan pelbagai kemudahan seperti sekolah, pengangkutan awam dan lot komersial jadi ia akan jadi satu kelebihan sekiranya hartanah dibeli adalah untuk pelaburan (disewakan).

“Ketika saya membuat keputusan untuk beli rumah subsale, memang penting untuk lihat sendiri keadaan rumah itu sebelum saya betul-betul memuktamadkan pembelian.

“Saya tanya kontraktor bajet yang diperlukan untuk proses baik pulih rumah dan sebagainya. Kemudian, baru saya lihat semula adalah berbaloi membeli rumah subsale itu atau tidak.

“Dari segi proses pembelian pula, untuk rumah subsale sebenarnya lebih rumit kerana melibatkan proses penukaran nama daripada pemilik sedia ada kepada pemilik baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pembeli rumah subsale, Zazlina Zawawi pula berkata, dia memilih untuk membeli rumah subsale kerana lokasinya yang berdekatan dengan rumah keluarga mentuanya selain keadaan rumah yang 98 peratus masih baik.

“Ketika saya melihat rumah tersebut, semuanya masih dalam keadaan baik jadi saya dan suami tidak perlu mengeluarkan belanja lebih untuk proses baik pulih rumah.

“Semasa kami membuat pencarian rumah, memang kami tetapkan mahu rumah yang dalam keadaan baik supaya kami boleh terus berpindah masuk.

“Bagi rumah subsale, kami perlu mengeluarkan deposit 10 peratus daripada harga rumah sebagai satu syarat pembelian. Mujur kami mempunyai wang simpanan jadi proses pembelian rumah itu amat mudah,” ujarnya.

Namun, bagi arkitek, Nurul Nabilah Hamzah, dia memilih untuk membeli rumah baharu kerana kebanyakan rumah subsale lebih mahal kerana faktor lokasi dan dalam kawasan pembangunan matang.

“Selain itu, dahulu pembelian rumah baharu boleh mendapat 100 peratus pinjaman bank dengan Skim Rumah Pertamaku jadi saya tidak perlu mengeluarkan deposit 10 peratus seperti syarat pembelian rumah subsale. Itu pun tidak termasuk kos baik pulih sekiranya keadaan rumah subsale itu teruk.

“Rumah subsale juga kebanyakannya mempunyai reka bentuk lama jadi kebanyakan pembeli rumah subsale pasti mahu mengubah suai rumah mereka. Ada juga kos pengubahsuaian yang sangat tinggi sehingga kadang-kala lebih tinggi daripada nilai hartanah itu sendiri,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya