Ramai orang mengharapkan agar harga rumah akan turun terutamanya untuk unit yang baharu dilancarkan, tetapi ia hampir mustahil untuk dijumpai kerana trend pada ketika ini sedang meningkat.
Namun, jika terdapat harga rumah yang tidak berubah, keluasan rumah yang ditawarkan pula disifatkan pembeli adalah kecil.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata pembeli rumah muda berdepan masalah harga rumah yang mahal, namun saiz rumah yang ditawarkan pula adalah kecil serta kualiti rumah tidak menepati spesifikasi ditetapkan.
Seorang pekerja swasta, Muhammad Sharil Tarmize, 28, berkata, membeli rumah untuk golongan muda pada ketika ini adalah ibarat ‘membeli lot kubur’ kerana harganya yang terlalu mahal.
“Harga rumah sekarang mempunyai banyak kos yang tersembunyi. Sebagai pembeli rumah pertama, ia seperti ‘meminta nyawa’ atau separuh mati untuk saya menyelesaikan bayaran itu.
“Rumah yang ditawarkan sekarang ini juga kebanyakannya kualiti tidak bagus tetapi harga tetap mahal.
“Sebagai contoh, dinding bocor sana sini, jubin lompong, jenis buat rumah asal siap sahaja tetapi kualiti tidak selaras dengan harga yang dibayar.
“Rumah yang saya beli sekarang bernilai hampir RM500,000 namun saiz pangsapuri itu hanyalah sekitar 555 hingga 876 kaki persegi.
“Saya terpaksa beli juga kerana lokasinya yang terletak di kawasan bandar, berhampiran dengan tempat kerja dan ahli keluarga.
“Saya sudah tidak larat untuk menyewa kerana kos sewa juga semakin naik sekarang ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang lagi pekerja swasta, Zainab Jalaluddin, 32, sedar kemungkinan banyak perumahan yang ditawarkan menjadi mahal adalah kerana lokasinya yang terletak di tengah-tengah bandar.
Ujarnya, walaupun harga hartanah itu mahal, orang ramai tetap membelinya kerana ia memudahkan urusan harian mereka.
Zainab berkata, rumah yang dimilikinya kini terletak di Bukit Jalil yang berhampiran dengan pusat beli-belah, sekolah dan pengangkutan awam.
“Rumah yang saya miliki sekarang bernilai RM485,000 dengan keluasan 1,200 meter persegi. Sebenarnya dengan keluasan itu, nilai rumah boleh didapati pada sekitar RM300,000 sahaja. Tetapi kerana faktor-faktor yang disebut tadi saya membelinya juga.
“Saya tiada pilihan kerana tidak mahu menyewa sampai bila-bila. Salah satu kelebihan kawasan itu ialah, ia menjaminkan saya boleh menjual semula rumah itu dengan mudah jika perlu di masa depan nanti.
“Tidak dinafikan, ia menjadi satu beban untuk saya membayar rumah itu kerana pendapatan tidak terlalu besar. Kos perbelanjaan harian juga perlu diambil kira.
“Sebelum ini, saya pernah membuat permohonan kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor untuk membeli rumah. Namun, mereka mengambil masa yang sangat lama untuk proses sehingga akaun saya itu sudah tamat tempoh.
“Saya berharap kerajaan akan memudahkan urusan pembeli rumah dengan mempercepat proses permohonan tersebut di masa depan,” katanya.
Dalam pada itu, Iqhram Ahmad, 28, berkata, saiz rumah baharu sangat berbeza berbanding saiz rumah lama.
Katanya, dengan harga rumah sekitar RM400,000 hingga RM500,000, keluasan rumah baharu yang ditawarkan hanya sekitar 800 meter persegi sahaja, agak kecil berbanding dengan rumah-rumah lama.
“Saya agak terbeban dengan bayaran bulan rumah itu kerana hampir separuh gaji habis dibayar untuk rumah sahaja. Itu tidak mengambil kira komitmen lain seperti barang-barang rumah, minyak kereta dan tol dan sebagainya.
“Saya beli juga rumah tersebut kerana sudah tidak tahan duduk menyewa kerana pernah berdepan dengan masalah pemilik rumah yang tidak bertanggungjawab dan menyusahkan saya.
“Justeru, saya berharap pihak kerajaan dapat membantu pembeli rumah untuk mengurangkan beban dengan menurunkan harga rumah selaras dengan saiz yang ditawarkan supaya lebih masuk akal,” katanya.
Bagi Hazri Zainudin, 33, yang juga merupakan pekerja swasta, harga rumah yang dibelinya sedikit mahal tetapi dia melihat harga itu masih rasional kerana lokasi perumahan itu terletak di kawasan yang membangun.
Hazri memberitahu, rumahnya itu dibeli dengan harga RM350,000 dengan keluasan rumah sekitar 450 meter persegi.
Dengan kos isi rumah dan sara hidup yang meningkat dan kenaikan kadar dasar semalaman dari semasa ke semasa, dia tidak terkecuali daripada merasa terbeban.
“Pada mulanya, saya membeli rumah itu dengan bertujuan untuk menjadikannya sebagai pelaburan. Tetapi kerana pandemik dan kesan kemerosotan ekonomi, saya terpaksa melupakan hasrat itu buat masa ini.
“Saya berharap kerajaan boleh berbincang dengan pihak pemaju tentang kawalan harga rumah dan menyedari bahawa terdapat banyak rumah-rumah yang harganya terlalu mahal.
“Saya rasa kebanyakan orang yang mahu membeli rumah adalah daripada golongan pertengahan tetapi pilihan rumah adalah sangat terhad,” katanya. – UTUSAN