Pendapatan PKNS RM8 bilion menjelang 2030 - Utusan Malaysia

Pendapatan PKNS RM8 bilion menjelang 2030

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendapatan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dijangka melebihi perbelanjaan Kerajaan Negeri menjelang 2030 iaitu sebanyak RM8 bilion setahun.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, pembangunan serta pelaburan yang sudah, sedang dan dijangka akan dilaksanakan PKNS bakal memacu jumlah pendapatan tersebut.

Katanya, PKNS bukan hanya menceburi bidang hartanah serta menyediakan rumah mampu milik, sebaliknya turut mempunyai kompleks perniagaan, pusat konvensyen, hotel, serta terbaharu stesen jana kuasa dan pusat kesihatan termasuk hospital.

“Pendapatan PKNS setiap tahun sekitar RM2 bilion lebih kurang dengan perbelanjaan kerajaan negeri iaitu RM2.5 bilion dan kita mempunyai satu visi di mana 2030 kita menjangkakan pendapatan PKNS RM8 bilion.

“RM8 bilion ini akan datang dari stesen janakuasa, bangunan, sewa bangunan, jualan kediaman dan pelbagai perniagaan yang kami telah dan akan ceburi,” katanya.

Katanya, sekiranya PKNS berjaya menjana pendapatan tahunan sebanyak RM8 bilion setahun, perbadanan berkenaan bakal menjadi sebuah organisasi gergasi dan dapat membantu kerajaan negeri.

“Untuk menjayakan ini, kita kena berbelanja di dalam ekonomi Selangor sebanyak RM7.5 bilion baru boleh dapat jana RM8 bilion dan kalau kita lihat secara kasarnya kita lebih kurang empat kali saiz perbelanjaan kerajaan Selangor.

“Menjelang 2024 stesen janakuasa kita bakal menjana pendapatan sekitar RM1 bilion dan pada 2025 kita menjangkakan ia bakal menjana pendapatan lebih besar sebanyak RM2 bilion,” katanya.

Mengulas lanjut, Mahmud berkata, meskipun PKNS menceburi pelbagai bidang dalam menjana pendapatan, fokus utamanya masih lagi kepada pembangunan hartanah termasuk menyediakan kediaman mampu milik kepada rakyat Selangor.

Jelas beliau, PKNS kini sedang membangunkan empat kawasan perbandaran (township) melibatkan keluasan tanah 3,000 hingga 6,000 ekar.

“Antaranya adalah Cyber Valley, di Dengkil yang tengah berjalan sekarang, Kota Puteri juga sedang berjalan dan Bernam Jaya, manakala kita akan mula yang baharu iaitu di Sierra Alam, di Setia Alam.

“PKNS bukan mengejar keuntungan tetapi jika tidak mengejar keuntungan bagaimana kita dapat memenuhi keperluan tanggungjawab sosial korporat kami (CSR) selari dengan penubuhannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya