Jualan rumah subsale dijangka meningkat - Utusan Malaysia

Jualan rumah subsale dijangka meningkat

RUMAH subsale dijangka menjadi pilihan kerana lokasi di perbandaran matang. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TRANSAKSI jualan rumah subsale dijangka meningkat tahun ini berikutan pemansuhan Skim Rumah Pertamaku (SRP) yang membolehkan pembeli rumah pertama membuat pembelian tanpa menyediakan 10 peratus deposit pada 1 April lalu.

Keadaan itu juga didorong terdapat beberapa pihak perbankan yang menawarkan pinjaman bagi rumah subsale sehingga 105 peratus yang pastinya meningkatkan sentimen pembeli bagi kategori hartanah tersebut.

Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia, Ishak Ismail berkata, pemansuhan SRP yang diperkenalkan sejak 2011 itu memberi impak besar kerana tiada lagi kelebihan 100 peratus pinjaman bank yang banyak mempengaruhi keputusan pembelian rumah seperti sebelum ini.

Ujarnya, mengikut data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) juga, sebanyak 70 ke 75 peratus transaksi pasaran hartanah negara pada 2022 adalah datang daripada penjualan hartanah subsale.

“Tahun ini, mungkin transaksi hartanah subsale meningkat dua atau tiga peratus lagi. Dari segi trend pilihan pembeli juga menunjukkan pasaran subsale lebih tinggi berbanding projek rumah baharu oleh pemaju hartanah.

“Selain itu, pihak bank juga lebih cenderung memberi pinjaman kepada bakal pembeli rumah subsale yang telah sedia ada kerana kurang risiko projek terbengkalai yang bakal menyusahkan pembeli di masa hadapan dan sebagainya.

“Risiko projek terbengkalai amat tinggi kerana harga bahan mentah yang meningkat luar biasa boleh menjejaskan aliran kewangan para pemaju hartanah. Jadi, sudah tentu pihak bank akan lebih berhati-hati memberi pinjaman bagi projek baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Ishak, rumah subsale menarik minat pembeli berdasarkan beberapa faktor terutamanya jaminan keadaan dan kawasan rumah serta keinginan pembeli yang mahu berpindah segera.

Katanya, ia jelas bertentangan sekiranya pembeli membeli rumah baharu yang kebanyakannya memakan masa empat ke lima tahun lagi sebelum siap sepenuhnya selain lokasi perumahan yang mungkin tidak strategik seperti kawasan matang rumah subsale.

“Rumah subsale juga adalah lebih murah jika dibandingkan dengan perumahan baharu yang kebanyakannya bernilai tinggi walaupun dibina dalam satu kawasan yang sama. Jika murah pun mungkin ia adalah rumah mampu milik yang terhad.

“Namun memang ada yang memilih untuk membeli rumah baharu kerana tidak mahu mengeluarkan kos untuk proses ubah suai atau baik pulih rumah subsale dan pasti sesetengah pembeli yang membuat pilihan berdasarkan perkara itu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya