MENJELANG Aidilfitri, kuih-kuih tradisional yang berusia ratusan tahun masih tetap menjadi pilihan disebalik lambakan kuih moden ketika ini yang memenuhi pasaran tempatan.
Antaranya seperti putu kacang dan putu beras yang merupakan sajian tradisi warisan Melayu sejak zaman berzaman yang masih popular dan cukup sinonim dijadikan hidangan sewaktu sambutan Hari Raya Aidilfiti.
Malah, bagi Azeani Abu Seman,44, dari Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis di sini yang merupakan generasi ketiga mewarisi kemahiran membuat kuih tradisional berkenaan, dia tidak menang tangan menerima tempahan setiap kali menjelang sambutan Aidilfitri.
Istimewanya, putu kacang dan putu beras dihasilkan oleh Azeani itu adalah menggunakan resipi turun temurun yang telah dimulakan oleh allahyarham neneknya sejak 100 tahun lalu dan mempunyai keunikan rasa tersendiri.
Setiap kali menjelangnya Syawal, dia menerima tempahan sehingga 5,000 bekas kuih berkenaan untuk memenuhi permintaan pelanggan dari seluruh negara.
Katanya, meskipun terpaksa bersaing dengan kuih-kuih moden pada masa kini, namun permintaan terhadap kuih tradisional itu masih tinggi setiap kali lebaran.
“Putu kacang dan putu beras dihasilkan oleh Azeani itu adalah menggunakan resipi turun temurun yang telah dimulakan oleh allahyarham neneknya sejak 100 tahun lalu, kemudian diikuti allahyarham ibu saya dan saya menyambung pembuatan kuih berkenaan yang mempunyai keunikan rasa tersendiri.
“Resepi asal pembuatan kuih ini adalah bermula daripada allahyarham nenek saya dan kemudiannya diturunkan kepada allahyarham ibu saya. Warisan kuih ini sudah berusia hampir 100 tahun dan masih mendapat tempat.
“Saya pula menjadi generasi ketiga yang masih meneruskan pembuatan kuih putu kacang dan putu beras ini menggunakan resipi yang sama,” kata anak kedua daripada lima beradik itu.
Tambahnya, disebalik kos barangan mentah semakin meningkat, dia tetap memilih memasarkan kuih berkenaan dengan harga berpatutan.
“Bagi bekas besar yang mengandungi 50 biji kuih putu kacang atau putu beras, saya menjualnya dengan harga RM10 manakala untuk bekas kecil mengandungi 25 biji pula dijual pada harga RM5,” katanya.
Dalam pada itu, Azeani berkata, dia kebiasan memulakan proses pembuatan putu kacang itu pada pukul 7.30 pagi bagi menyediakan adunan bersama satu guni kacang hijau seberat 15 kilogram.
Ujarnya, selepas biji kacang hijau dihancurkan, ia akan dicampurkan dengan gula bagi menjadikan adunan itu sebati sebelum dimasukkan ke dalam acuan.
“Putu kacang ini juga dibakar dalam masa singkat sekitar dua minit dengan menggunakan dapur pembakar lama berusia 20 tahun bersama api yang kecil.
“Prosesnya tidaklah begitu sukar namun ia memerlukan kemahiran dan resipi adunan yang betul,” katanya.
Katanya, pada masa ini, dia dibantu oleh ayahnya yang melakukan proses pembungkusan kuih berkenaan.
Katanya, dia akan meneruskan usaha-usaha pembuatan kuih tradisional ini agar tidak pupus ditelan zaman.
“Kuih ini sebenarnya masih mempunyai peminat tersendiri dan tidak lengkap rasanya jika hidangan tersebut tidak ada di hari raya,” katanya. – UTUSAN