Sasar pasar produk minuman halal ke Asia Barat - Utusan Malaysia

Sasar pasar produk minuman halal ke Asia Barat

Syed Khairil Azri Sayid Hizar menunjukkan produk pracampuran koko keluaran syarikatnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYARIKAT bumiputera, Skash Marketing Sdn. Bhd. menyasarkan untuk memasarkan produk minuman coklat pracampuran Arabic Cocoa keluaran syarikat itu ke pasaran Asia Barat pada tahun ini.

Pemiliknya, Syed Khairil Azri Sayid Hizar berkata, produk minuman coklat pracampuran Arabic Cocoa yang didaftarkan di bawah jenama Skash itu juga memiliki pensijilan Halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai nilai tambah.

Katanya, Arabic Cocoa adalah minuman pracampuran mengandungi campuran tamar, al-Manna (arabic gum) dan garam bukit, turut mendapat pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Buat masa ini, syarikat membuka peluang kepada mana-mana ejen pemasaran yang berminat untuk mengeksport produk ini ke Asia Barat khususnya Qatar atau mana-mana negara yang mempunyai majoriti penduduk muslim.

“Kami juga telah mendaftarkan syarikat dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), dan mana-mana syarikat pengeksport juga boleh memeriksa profil syarikat menerusi agensi tersebut,” katanya ditemui di kilang syarikat itu di Kawasan Perindustrian Halal Park Majlis Amanah Rakyat (Mara) Kuala Perlis, baru-baru ini.

Menurut Syed Khairil Azri, produk yang dihasilkan oleh syarikat milik bumiputera sepenuhnya itu telah memiliki pensijilan Halal sejak 2014 dan berada di pasaran domestik hampir satu dekad.

Katanya,syarikat sedang merangka untuk memperluaskan pasaran di peringkat ke Asia Barat selepas menyertai beberapa pameran produk Halal di China, Singapura, Thailand dan Indonesia.

“Kami juga berkesempatan melakukan uji rasa di pameran itu dan hasilnya menunjukkan keenakan rasa Arabic Cocoa dapat diterima masyarakat antarabangsa.

“Syarikat juga yakin produk ini mampu dipasarkan ke luar negara kerana disokong pembekalan bahan mentah yang mencukupi selain mempunyai kapasiti pengeluaran untuk tujuan eksport serta tenaga kerja mahir bagi memastikan kualiti produk sentiasa di tahap terbaik,” katanya.

Tambahnya, selain mengeluarkan produk minuman pracampuran berasaskan coklat, syarikat juga memiliki produk minuman lain berasaskan kopi, teh dan susu.

Ditanya potensi pasaran produk yang mempunyai persijilan Halal, Pemangku Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Perlis itu memberitahu, ia cukup terbuka.

“Pensijilan halal ini sebenarnya mencapai piawaian setaraf ISO MS1500 dan menurut sumber industri, nilai pasaran dalam bidang Halal di Malaysia dijangka mencecah RM400 billion pada 2030.

“Bagi saiz pasaran halal dunia pula, nilainya dianggarkan sekitar RM22.34 trillion buat masa ini dan atas faktor itu, tidak mustahil syarikat dari Malaysia mampu menjadi pemain industri dalam bidang ini di peringkat antarabangsa,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya