Nyambal sasar jualan RM5 juta tahun ini - Utusan Malaysia

Nyambal sasar jualan RM5 juta tahun ini

aizzul A. Majid (kiri) dan kakitangannya memeriksa stok Nyambal iaitu sambal ikan masin, untuk memastikan ia sentiasa mencukupi bagi memenuhi tempahan pelanggan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KIRA-KIRA empat tahun lalu, lelaki ini pernah jatuh terduduk apabila syarikat tempat dia men­cari rezeki selama 10 tahun menamatkan operasi secara tiba-tiba sekali gus menyebabkannya, isteri dan rakan-rakan hilang punca pendapatan.

Namun begitu, Aizzul A. Majid, 38, yang merupakan bekas jurugambar tidak berpeluk tubuh sahaja, tetapi terus bangun dan menjadi seorang daripada ejen jenama pewangi yang berjaya sehingga pernah mencapai pendapatan lima angka dan jualan kira-kira RM1 juta.

Kini, bapa kepada dua orang anak lelaki tersebut mengorak langkah untuk menembusi pasaran makanan dan minuman (F&B) pula dengan memperke­nalkan jenama Nyambal yang dilancarkan pada 1 Mac lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Nyambal tersebut memperke­nal sambal ikan masin sebagai produk pertamanya dan tidak menyangka sambutan yang diterima sangat memberangsangkan dengan menjual sebanyak 2,600 botol pada hari pertama dilancarkan.

Katanya, idea untuk menceburi perniagaan baharu itu timbul apabila didatangi seorang kawan yang mempunyai produk sambal tersebut mahu dikete­ngahkan lagi.

“Saya memang suka makan dan apabila ada kawan yang ada menyediakan sambal ikan masin ini ajak bekerjasama, saya pun rasa terbuka untuk mencuba sesuatu yang baharu.

“Alhamdulillah, sambutan yang kami terima selepas pelancaran sangat memberangsang, bukan sahaja daripada mereka yang berminat untuk membeli tetapi juga pada mereka yang ingin menjadi pengedar kami,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

aizzul A. Majid menunjukkan produk terbaharu keluaran syarikatnya, sambal ikan masin jenama Nyambal.

Aizzul berkata, Nyambal kini mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 10,000 botol sambal ikan masin sebulan.

Menurutnya, syarikat juga merancang untuk menambah beberapa produk lain seperti sambal petai, asam pedas da­ging, sambal berlado pada masa depan.

“Produk-produk ini bukan sahaja boleh dimakan untuk hidangan setiap harian, ia juga memudahkan untuk dibawa ke mana-mana sahaja seperti pergi bercuti.

“Saya menyasarkan dengan produk sedia ada serta produk baharu nanti, syarikat dapat mencapai jualan sehingga RM5 juta menjelang hujung tahun ini,” ujarnya.

Katanya, kos untuk menjadi pengedar bermula antara RM1,300 hingga RM3,900 dan mereka akan menerima bara­ngan untuk promosi termasuk produk dan sampel produk bergantung pada pakej yang diambil.

“Apa yang lebih menarik, kami sendiri akan membuat pengiklanan mengenai produk ini secara terus kepada pelanggan untuk pengedar mendapatkan jualan selain dari pengedar itu sendiri di media sosial mahupun akhbar.

“Oleh itu, pengedar tidak perlu risau dari segi promosi. Di samping itu, kami juga menjaga eksklusif yang mana setiap kawasan satu pengedar sahaja,” ujarnya.

Tambahnya, sambal ikan masin tersebut dijual di pasaran pada harga RM18.90 sebotol dengan berat 190 gram. – RINGGIT

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya