G Residence tawar penginapan seperti di hotel mewah - Utusan Malaysia

G Residence tawar penginapan seperti di hotel mewah

Pengarah Urusan GPC Development, Phoo Meng Khaw (baju merah tengah) bersama-sama pengurusan tertinggi syarikat yang terlibat dalam pembinaan Kondominium G Residence melakukan gimik perasmian ketika Majlis "Topping Off Ceremony" di Alor Setar hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Berstatus antara bangunan tertinggi di tengah bandaraya Alor Setar, Kondominium G Residence dibangunkan Kumpulan GPC Development yang dijangka siap penghujung tahun ini, menjamin pemandangan menakjubkan buat pemiliknya.

Terletak di Jalan Stadium, di sini dan berhampiran dengan Menara Alor Setar, tiada siapa boleh menafikan betapa kondominium itu dibina di lokasi amat menarik dalam kawasan yang menawarkan kelainan buat penghuni yang bakal menginap di situ.

Namun bagi GPC Development, kelebihan yang ada pada hartanah tersebut mahu terus diberi nilai tambah agar pemilik memiliki lebih keselesaan, selain menjalani kehidupan lebih bermakna di kediaman sendiri.

Menurut Pengarah Urusan GPC Development, Phoo Meng Khaw, pihaknya berusaha memastikan para pemilik dapat merasai pengalaman seolah-olah menginap di hotel bertaraf sekurang-kurangnya empat bintang apabila membeli unit kondominium di situ.

“Kondominium ini setinggi 25 tingkat dan memiliki keseluruhan 293 unit kediaman. Terdapat empat jenis kediaman pilihan dimulakan dengan ‘Master Suite’ berkeluasan 1,539 kaki persegi, ‘Couple Suite’ berkeluasan 717 kaki persegi serta dua kategori ‘Family Suite’ seluas 951 kaki persegi dan 821 kaki persegi.

“Lobi bertaraf hotel dilengkapi pendingin hawa akan ditempatkan di tingkat bawah bagi menyambut kedatangan pemilik dan tetamu. Selain itu terdapat juga kedai-kedai komersial yang akan memenuhi keperluan keluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Tambah Meng Khaw, pihaknya mahu menawarkan konsep kehidupan era baharu buat pemilik merangkumi residensi dan komersial setempat sehingga menjadikan G Residence sebagai kondominium yang menawarkan tata cara kehidupan paling komprehensif di Alor Setar.

“Kolam renang ‘infiniti’ ditempatkan di tingkat lapan untuk memberi pemandangan dan pengalaman menarik kepada pengguna. Ianya diasingkan daripada kemudahan-kemudahan lain agar kawasan rehat dan rekreasi tidak terlalu sesak pada satu-satu masa.

“Oleh itu, kemudahan riadah dan senaman yang lain diletakkan di aras tertinggi bangunan ini merangkumi gimnasium, dek yoga serta dewan serbaguna mewah yang bersambung dengan ‘sky garden’ bersifat mesra alam.

“Selain itu, di tingkat sama juga terdapat taman permainan kanak-kanak berpagar tinggi dilengkapi aspek keselamatan yang disambungkan dengan kawasan barbeku. Semua kemudahan ini boleh dimanfaatkan pemilik sambil menikmati pemandangan menyeluruh Alor Setar sama ada pada waktu siang atau malam,” katanya.

Kata Meng Khaw, pihaknya juga tidak bertolak ansur daripada aspek keselamatan apabila menyediakan kamera litar tertutup sepenuhnya yang dikawal pengawal keselamatan selama 24 jam, selain proses kemasukan ke dalam bangunan menggunakan kad akses atau sistem cap jari.

Sementara itu katanya, Kumpulan GPC Development turut memikirkan keselesaan pemilik sekiranya ada dalam kalangan mereka yang mahu melakukan pengubah suaian atau membeli perabot tambahan pada masa depan.

“Kami menyediakan dua lif berasingan di bahagian belakang bagi tujuan mengangkut barang-barang pembinaan seperti simen dan sebagainya untuk tujuan ubah suai. Langkah tersebut memberi keselesaan kepada penghuni lain yang menggunakan lif di lobi,” katanya.

Menurutnya, setakat ini kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan unit sudah dimiliki dan ditempah, sebelum penyerahan kepada pembeli dijangka boleh dilakukan seawal April 2024.

“Kami menganggap pemilik-pemilik kondominium ini sebagai rakan kongsi bagi sama-sama mewujudkan suasana kehidupan harmoni serta selesa untuk semua. Sebagai syarikat yang membangunkan projek ini, kami tidak akan mengamalkan sikap ‘cuci tangan’ selepas unit-unit ini dijual.

“Malah, selaku pihak yang memiliki unit terbanyak di hartanah ini termasuk kedai-kedai yang akan disewakan, sudah tentu kami mahu melakukan yang terbaik termasuk kemungkinan membantu mengkoordinasi penghantaran anak-anak ke sekolah pada masa akan datang,” katanya. – RINGGIT

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya