"Saya bukan mahu jadi seperti TMJ" - Afdlin - Utusan Malaysia

“Saya bukan mahu jadi seperti TMJ” – Afdlin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

AKHIRNYA, DATUK AFDLIN SHAUKI menamatkan teka-teki mengenai spekulasi perebutan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) selepas menyatakan sokongan kepada pemangku kelab, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid yang menawarkan diri merebut kerusi panas tersebut pada 12 Oktober ini.

Bercakap kepada wartawan Mingguan Malaysia, ALIF FADLI MOHD. SORI dan AQILAH MIOR KAMARULBAID serta dibantu jurufoto SHIDDIEQIIN ZON, beliau mahu mengenal selok-belok persatuan tersebut sebelum mengambil langkah lebih besar menerajui sesebuah kelab bola sepak.

Lebih utama, penyertaannya dalam KLFA bukan untuk menempa nama atau menjadi lebih popular sebaliknya berhasrat menoktahkan segala masalah berkaitan pengurusan yang menjadi punca utama beban persatuan bola itu.

MINGGUAN MALAYSIA: Ramai pertikaikan pengalaman anda dunia bola sepak, mereka kata sekadar minat Liverpool belum tentu boleh mengubah satu skuad bola sepak. Komen?
AFDLIN SHAUKI: Dalam kehidupan kita setiap benda akan berubah. Seorang pelakon ataupun penghibur kerjanya menghibur, mahu buat orang gembira, menjaga hati orang dan memberi manfaat.

Fasa kedua, mungkin hiburan sudah tidak penting. Saya mungkin tidak lagi boleh berlakon atau mengarah tetapi masih lagi mahu memberi manfaat melalui NGO (pertubuhan bukan kerajaan), lalu saya cuba bantu buat mereka gembira. Itu masih kerja yang sama, cuma platform berbeza.

Ramai yang anggap orang hiburan tidak bijak. Mungkin orang tidak tahu saya dahulu bersukan, main ragbi tetapi sangat-sangat minat bola dari kecil.

Tidak terfikir pun masuk (bertanding presiden KLFA), saya ahli perniagaan. Apabila tengok perniagaan yang bermasalah seperti KLFA, saya boleh bantu di fasa perniagaannya. Saya tidak cakap mahu latih pemain, sebaliknya mahu betulkan perniagaan sahaja supaya gaji mereka terbayar.

Samalah seperti kerja di NGO untuk membantu. Bukannya saya mahu menjadi seperti TMJ (Pemangku Sultan Johor yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim). TMJ pada ketika ini contoh yang paling baik dan merupakan idola saya. Tetapi saya tidak boleh capai seperti Tunku, saya tidak ada duit seperti Tunku. Apa yang saya boleh buat cari duit bayar gaji-gaji mereka ini.

Kenapa tidak jadi bertanding?

Saya berfikir mungkin tidak sesuai untuk terus menjadi presiden, nanti orang akan terkejut.
Saya tidak jadi presiden pun tidak apa. Saya bukan mahu kejar glamor ini. Saya hanya mahu cuba bantu bagaimana kelab ini boleh survive.

Apa orang hendak cakap pun Kuala Lumpur (KL) City ini liga nombor tiga dan masuk final Konfederasi Bolasepak Asia (AFC). Ia pencapaian yang besar dan jika lihat betapa setiap negeri mahu menjaga kelab bola, kalau tiada orang yang betul-betul mahu jaga, tutup Piala Liga, habis. Apa akan jadi dengan pemain-pemain, orang yang menjaga pemain?

Saya hanya lihat daripada segi perniagaan sahaja. Boleh atau tidak, saya dan rakan-rakan membantu menyelesaikan masalah dan membuat KLFA tidak lagi berhutang, walaupun tidak menguntungkan. Saya cuma mahu menaung di bawah orang yang faham keadaan dan saya boleh tolong.

Semasa saya masuk industri media, keadaan memang teruk, selepas setahun, saya dapat mengimbangkan buku akaun, sekarang ini sudah tiada hutang. Mungkin nama saya naik pasal benda itu kerana berjaya ubah syarikat.

Cukup fahamkah masalah KLFA untuk mengambil alih bahagian pengurusan?

Saya percaya semua orang akan bercakap kerana tiba-tiba mahu buat bola, cakaplah apa pun, semua perkara ini kita perlu belajar dan kemudian cuba. Perbezaan saya mungkin ada jaringan sahaja dengan orang yang mungkin boleh memberi tajaan atau membantu, itu sahaja.

Apa perancangan jika Abdullah Sani menang?
Pada saya, pendekatannya adalah pasukan baharu yang segar, tiada sawang-sawang. Jadi, apa yang perlu berlaku adalah perubahan. Kemudian baru harapkan pengakhirannya berbeza. Saya tidak cakap kita lagi bagus tetapi kita ada pasukan yang baharu, yang mungkin ada jaringan-jaringan baharu untuk KLFA.

Sedia serap segala tekanan?

Saya ini ‘bebal’ sampai isteri selalu marah tetapi saya ini sejenis mahu tahu apakah tujuan hidup jika tidak cuba memperbaiki keadaan. Kalau kita dapat baiki keadaan dan memberi manfaat kepada orang, sekurang-kurang Allah akan bantu kita.

Saya buat kerja-kerja berkaitan Palestin pun, orang persoal tetapi saya hanya fikir satu perkara, jika apa-apa berlaku kepada Malaysia, saya harap ada orang dari 6,000 batu datang untuk bantu kita kerana mereka tahu orang negara ini pernah membantu mereka.

Daripada segi KLFA, sebenarnya tiada alasan untuk kita buat sebab bukan boleh buat kaya, buat tidak tidur malam lagi adalah. Katakanlah lepas satu musim, saya jadi timbalan atau exco dan saya sudah faham. Mungkin selepas itu boleh cuba bertanding presiden di masa akan datang.

Saya bukan buat sebab mahu orang nampak Afdlin ini ‘besar’. Sudahlah bidang bola ini kesayangan orang, salah sedikit akan dimaki.

Tiba-tiba mahu terlibat dalam bidang bola sepak, adakah ia berkaitan Datuk Hans Isaac yang memegang jawatan Pengerusi Perbadanan Stadium?
Kami memang minat bola daripada dulu. Saya penyokong Liverpool yang tegar, Hans pula Manchester United. Jika dia ke Old Trafford tonton bola perlawanan antara Liverpool dan Manchester United, dia akan hubungi saya jika pasukan kesayangannya berjaya menjaringkan gol.

Begitu juga saya. Minat bola adalah satu perkara, perniagaan adalah perkara lain. Kita tahu pemilik kelab luar, jika beli kelab sebab perniagaan. Beli 300 juta pound, kemudian jual kepada Arab berbilion. Mereka tidak kisah tentang bola sepak.

Saya pula, mahu menyelesaikan masalah kewangan KLFA dulu, kemudian baru fikir bola. Bab bola, biarlah orang lain fikir, siapa yang hebat, mereka buatlah.

Adakah anda merasakan sebagai Ahli Lembaga Penasihat DBKL mempunyai kelebihan dalam pasukan ini?

Saya boleh bantu bawa suara DBKL terhadap KLFA dan cuba selarikan tujuan, pemasaran agar persatuan dapat menaikan nama Kuala Lumpur dari segi membantu pemain-pemainnya yang juga terdiri daripada pasukan Harimau Malaya.

Kelab bola sepak dicabar untuk menyaingi kekuatan JDT. Apa keperluan untuk kelab lain kuat seperti JDT?

Jadikan JDT sebagai rujukan, jangan sakit hati. Kita perlu lihat ada orang sanggup ambil risiko untuk naikkan bola. Mereka tidak membawa untung tetapi berani buat kerana mahu satu hari nanti yakin bidang bola akan naik.

Bila satu kelab baik, tiba-tiba akan ada satu kelab lagi akan dibiayai oleh orang kaya. Kita sepatutnya hormat TMJ dengan apa yang dilakukannya adalah sesuatu di luar kotak fikiran dan terbaik dari segi pengurusan sehingga nama JDT naik di Asia.

Kalau ada rezeki, saya akan cari orang yang boleh membantu melabur dalam KL City supaya boleh menjadi seperti JDT. Tidak boleh dekat pun, sekurang-kurang menghala ke arah itu. Hendak pegang JDT, kita jangan berangan dulu. JDT sudah buka cetak biru, jadi kita ramai-ramai ikutlah cetak biru itu, perlahan-lahan pergi ke arah itu. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya