Orang Islam sendiri masih gagal faham kepentingan halal

Orang Islam sendiri masih gagal faham kepentingan halal

MOHAMMAD FAHMI NGAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
ENTAH kenapa tiba-tiba kecoh tentang isu pensijilan halal sehingga menjadi kontroversi. Sedangkan, pensijilan halal sudah bermula seawal 1965 oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), manakala Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula pada 1974.

Lebih pelik, apabila orang Melayu-Islam turut melenting sedangkan skop halal itu luas, bukan semata-mata makanan atau produk tidak mengandungi bahan yang dilarang agama sebaliknya halalan toyyiban.

Menurut Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, DR. MOHAMMAD FAHMI NGAH, sepatutnya orang Islam lebih meraikan sijil berkenaan yang secara tidak langsung membuka peluang yang amat besar untuk memasuki pasaran antarabangsa.

Ikuti temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan jurufoto, SYAKIR RADIN dalam mengupas kepentingan sijil halal dan ketersediaan Selangor untuk membuka hab halal kedua, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

MOHAMMAD FAHMI NGAH ketika ditemu bual wartawan Utusan Malaysia, Aqilah Mior Kamarulbaid di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, baru-baru ini.

MASYARAKAT TIDAK FAHAM
PADA permulaannya mungkin ada sedikit kekeliruan, adakah sijil halal itu akan diwajibkan kepada semua pembekal atau pengusaha makanan milik orang Islam? Saya tidak rasa ada kenyataan sebegitu daripada mana-mana pihak berautoriti.

Yang saya tahu adalah sijil halal ini sebaiknya ada satu sahaja yang diiktiraf di peringkat kerajaan iaitu sijil pengesahan halal dari Jakim. Dalam pasaran hari ini ada banyak logo-logo yang digunapakai seolah mengatakan sesuatu makanan itu halal tetapi ia bukan daripada pengesahan Jakim.

Untuk sesuatu premis mendapat sijil halal Jakim sebenarnya perlu mengambil kira tiga perkara iaitu ramuan yang digunakan itu mestilah halal dan perlu disahkan.

Kedua, kebersihan premis dan penyediaan makanan, iaitu ia perlu dibuat dalam keadaan yang bersih, dapur pun tidak boleh bercampur untuk tujuan jualan dan penyediaan makanan di rumah walaupun masakan itu adalah halal. Ini bagi menjamin kebersihan dan termasuk di premis serta sebagainya.

Dan ketiga, harus ada satu SOP (prosedur operasi standard) atau tatacara proses yang digunapakai dalam penyediaan tersebut. Ini bagi memastikan jaminan proses dalam menyediakan ramuan halal dikekalkan.

Tiga perkara tersebut diambil kira dalam memastikan syarikat atau premis diberikan sijil halal Jakim.

Jadi, logo-logo lain diluar atau tiada logo halal walaupun yang peniaga itu bertudung menjual nasi lemak, adakah ia bermakna haram? Tidak, tetapi ini pertimbangan pembeli dan kejujuran peniaga.

Kalau peniaga jujur mahu menjual sesuatu yang menjamin kesucian makanan untuk dimakan oleh orang Islam, tidak mahu menanggung dosa sebaiknya ada sijil halal Jakim. Maknanya transparent (telus), tiada masalah dan senang mahu jual makanan.

Yang tidak dapat sijil ini selalunya tidak mematuhi tiga perkara atau salah satu perkara tadi ataupun ada masalah-masalah lain. Kita ada dengar proses permohonannya sedikit lama, mungkin renyah dan seumpamanya tetapi itu kita sedang teliti untuk memudahkan.

Satu lagi yang menjadi isu adalah apabila tiada logo langsung. Yang mengelirukan lagi ada logo ‘tiada daging khinzir, tiada lemak khinzir’. Bahkan, saya jumpa logo halal tetapi bukan dalam bentuk tulisan jawi seperti yang dikeluarkan Jakim tetapi ia dieja halal dalam bahasa Melayu. Ini semua logo yang dikeluarkan sendiri, bukan yang dikeluarkan oleh pihak autoriti.

PROSES PERMOHONAN DIPENDEKKAN
Kalau dulu untuk mendapatkan sijil halal agak lama tetapi kini ia boleh diselesaikan dalam tempoh 23 hari berbanding 60 hari sebelum ini.

Saya rasa kalau mereka patuh pada syarat, sepatutnya tidak menjadi masalah cuma mungkin ada isu-isu terlepas pandang atau tidak sedar sijil tamat tempoh sehingga perlu memohon semula. Tetapi kalau perlu membuat permohonan semula sekali pun, sepatutnya tidak menjadi masalah kepada pengusaha.

STATUS HALAL PRODUK LUAR NEGARA
Sepatutnya tidak menjadi masalah sebab Jakim sendiri mengiktiraf badan-badan pensijilan negara lain. Ia boleh disemak dalam portal Jakim. Jika ada logo itu, kita boleh gunakan atau makan dengan baik, tanpa was-was.

EKSPORT KE NEGARA LUAR
Saya cabar balik pengusaha-pengusaha tepi jalan sebab ada dua kategori peniaga. Yang pertama, yang benar-benar mahu meniaga. Maksudnya, mereka mahu jayakan perniagaan ini. Kita perlu faham yang jenis begini mentaliti mereka adalah perlu untuk membaiki produk sebaik-baik mungkin hatta dibuat dengan kualiti yang diiktiraf dunia adalah lebih baik.

Inilah fungsi sijil halal, kalaulah produk itu dapat melepasi sijil halal tempatan negara ini, maka, produk itu boleh diterima di negara luar kerana sijil halal Jakim ini diterima pakai satu dunia.

Produk itu tadi, walaupun daripada mak cik tepi jalan boleh dijual satu dunia. Peniaga seperti ini, saya rasa tiada masalah tetapi itu kefahaman yang perlu mereka faham bahawa tindakan mereka itu bukan sahaja untuk memelihara kesucian produk untuk dimakan oleh umat Islam di Malaysia tetapi seluruh dunia. Ini kerana sijil halal Jakim boleh dianggap jambatan ke pasaran global. Negara-negara lain pun mahu guna sijil halal kita sebab lihat kaedah kita sangat teliti dan ia memberi jaminan sesuatu produk itu baik.

Kategori pengusaha kedua pula, ini yang menjadi masalah. Mereka ini golongan yang mahu berniaga tetapi sekadar cukup makan dan beli baju raya sahaja. Yang ini, kita boleh ragui kejujuran mereka berniaga sama ada untuk buat produk ataupun ad hoc sahaja. Jaminan itu mereka tanggung sendiri sebagai peniga umat Islam dan menjual pula kepada orang Islam.

Sementara kerajaan perlu ambil satu kedudukan. Tugas kerajaan untuk memastikan ia adalah sijil yang sah dan mereka yang mahu mendapat pengiktirafan halal perlu patuh pada syarat yang ditetapkan. Jika tidak patuh, kita tidak boleh keluarkan sijil tetapi tidak semestinya makanan itu haram.

Walau bagaimanapun, orang Islam lebih memilih makanan yang mempunyai sijil halal yang sah. Sebagai kerajaan, kita tidak boleh membiarkan rakyat memilih makanan yang syubhah.

WAJIBKAN SIJIL HALAL?
Setakat ini, tiada perancangan begitu sebab ketika ini kita sedang memudah carakan untuk mendapatkan sijil halal, mungkin dari segi kaedah proses dan kos. Kita faham ada isu-isu lain tetapi hala tuju itu untuk memudahkan tanpa menggadaikan ciri-ciri asas seperti soal kebersihan, ramuan dan juga disiplin penjaja dalam memastikan barang itu kekal halal.

BUKAN ISLAM LEBIH TERBUKA POHON SIJIL HALAL
Statistik menyatakan 80 peratus yang memohon datang daripada orang bukan Islam. Ia logik sebab mereka mahu menjual produk.

Saya bagi contoh, roti canai yang dieksport ke dunia luar oleh sebuah syarikat, mereka mengimport 10 kontena setiap bulan ke negara luar disebabkan mempunyai sijil halal.

Jadi, nampak perbezaannya? Orang yang bersungguh-sungguh mahu menjual produk yang baik, yang terjamin halalnya tidak kisah untuk melalui proses permohonan sijil halal sebab dia tahu produknya boleh dijual di satu dunia. Dan orang bukan Islam faham perkara ini tetapi orang Islam sendiri masih tidak faham maksud dan kepentingan halal.

ORANG ISLAM TIDAK FAHAM
Macam kari kepala ikan paling sedap di dunia tetapi ikan itu disiang atas lantai, dibasuh tepi longkang. Mahu ke bawa pasangan makan ke kedai sebegitu?

Inilah masalahnya orang tidak faham maksud pensijilan halal Jakim, sedangkan ia sudah digubal dengan baik. Maksudnya apa? Ia bukan semata-mata ramuan yang halal tetapi halalan toyyiban iaitu halal dan baik.

Bab halal ini sama macam solat, ia harus halus dan teliti. Kalau orang bukan Islam boleh faham kenapa tidak orang Islam hargai sijil halal itu. Jadi, kenapa sebagai orang Islam perlu bimbang, patut ‘angkat’lah sijil halal ini.

Buat masa ini, ia perlu timbul daripada kesedaran bahawa ini adalah cara dan kaedah untuk menjamin keselamatan umat Islam dari segi makanan dan minuman serta untuk mendapatkan produk-produk bertaraf dunia yang mana sesuatu produk itu boleh berkembang ke peringkat antarabangsa.

DAPAT SIJIL HALAL SEMAKIN MUDAH
Banyak peniaga bermula dari rumah. Sambal yang dimasak (dijual) menggunakan kuali yang sama untuk memasak bagi ahli keluarga. Untuk mendapatkan sijil halal, ia perlu menggunakan kuali yang asing.

Kalau ingin cari dapur baharu, perlukan kos. Tetapi Jakim mempunyai model Hal-Cube yang menawarkan usahawan premis produksi mampu milik dan lengkap berbentuk dapur kontena sebagai usaha memudahkan mereka memenuhi kriteria digariskan Jakim sekali gus mempercepatkan pengeluaran sijil halal kepada mereka.

Maksudnya mereka boleh terus berniaga dengan menyewa dapur tadi. Kita juga sedang melihat jika boleh membiayai untuk tempoh setahun atau dua tahun supaya memudahkan peniaga memasukkan produk mereka ke pasaran, buat ujian pasaran, boleh dibesarkan atau tidak.

Kalau itu boleh dibuat dan kaedah seperti ini boleh diwujudkan, saya rasa ia akan banyak bantu peniaga. Cuma peniaga ini perlu serius untuk memajukan perniagaan.

USAHA KERAJAAN
Kita perlu tingkatkan semula kesedaran bahawa sijil halal ini mudah. Dengan kaedah-kaedah pembiayaian, lebih ramai orang Islam dan bukan Islam akan memohon sijil halal untuk wujudkan lebih banyak lagi juara jaguh tempatan dengan produk jaguh tempatan. Sebenarnya mereka tidak faham kualiti itu sedia eksport dan kalau dengan penglibatan bank-bank tempatan dalam menyediakan dana pinjaman, senang untuk peniaga memperluaskan perniagaan.

SEDIA MASUK PASARAN ASEAN

HAB HALAL KEDUA

Timbalan Perdana Menteri yang juga  Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) sedang melihat untuk mewujudkan hab halal di negeri-negeri di Malaysia. Selangor ada hab halal dengan keluasan 700 ekar di Pulau Indah tetapi sudah penuh,  dengan adanya permintaan baharu ini pun, Timbalan Perdana Menteri sebut ada pelabur daripada China mahu bawa masuk antara RM4 bilion hingga RM6 billion untuk hab halal. 

Sebelum ini beliau ada tanya kami dan saya sebut dalam mesyuarat, memang Selangor bersedia mewujudkan hab halal kedua dan  ia perlu duduk dekat dengan pelabuhan. Cumanya kali ini kaedah sedikit berbeza. Yang pertama dulu, kita ada tanah dan buka pengusaha untuk datang. Buatlah apa anda ingin buat janji benda itu halal dan kita akan berikan tempat serta tapak.

Yang ini, mungkin sedikit berbeza, kita melihat bagaimana boleh menjadi nadi kepada pembuatan barang makanan halal untuk ASEAN dan mungkin dunia. Jadi cadangan saya kepada majlis tersebut adalah kalau kita boleh kenalpasti dalam rantau ASEAN ini beberapa makanan yang dimakan setiap hari, seperti ajinomoto, satu ASEAN  makan, satu dunia makan. 

Kenapa kita tidak boleh wujudkan kilang ajinomoto  halal yang besar di Selangor sedangkan ia akan menjadi hab penyediaan ramuan utama halal untuk rantau ini. 

LOGISTIK, INOVASI HALAL

Inovasi yang kita sedang teliti di Selangor untuk wujudkan gudang-gudang dan logistik halal. Teknologinya saya kira samalah macam yang sudah ada seperti sistem jejak dan kesan. Cuma kita akan gunakan bersama protokol sertu. Gudang itu ingin jadi halal perlu sertulah, kan? Begitu juga dengan pengangkutan seperti lori dan van yang halal serta mempunyai sijil.

Kalau kita buat satu jaringan gudang dan logistik halal, ia akan lebih baik sebab dalam Selangor nanti walaupun produk itu halal, untuk sampai ke pintu tuan-tuan dan puan- puan, kita mahu pastikan halal itu terjamin. Ia bermakna barang itu tidak bercampur dengan barang yang tidak halal. Ini adalah satu inovasi yang sedang kita teliti dan perhalusi agar ia tidak membebankan pengusaha.

Macam lembu sudah disembelih dengan baik, kemudian dibungkus dengan teliti  sebelum dibawa ke kilang jadi burger menggunakan lori yang halal. Dari kilang itu pula masuk ke kedai sehingga ke atas meja makanan juga halal. Kita bekalkan kod QR dan boleh tengok sendiri jaminan halal. Inilah yang sepatutnya berlaku kerana ia memberi jaminan dan kelegaan kepada umat Islam terhadap fungsi kerajaaan. 

Selangor menjadi negeri pertama dalam enakmen undang-undang Islam negeri yang ada bab kursus untuk pengurusan halal. Kita sudah wujudkan contohnya, penyembelih harus ada tauliah daripada MAIS (Majlis Agama Islam Selangor), sama juga sertu gudang juga perlu jadi penyertu bertauliah.

Undang-undang sudah ada, sekarang ini kita melihat garis panduan untuk laksanakan sekurang-kurangnya keterjaminan umat Islam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya