Guru bersara awal? Ramai sebenarnya yang nak jadi guru

Guru bersara awal? Ramai sebenarnya yang nak jadi guru

REKTOR Institut Pendidikan Guru, Dr. Mohd. Azam Ahmad.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

DI sebalik cakap-cakap bebanan tugas dan persaraan awal guru yang heboh diperkatakan, rupa-rupanya profesion mulia ini masih menjadi pilihan utama dalam kalangan murid lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mahupun Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Ini terbukti dengan penambahan jumlah permohonan ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Walaupun profesion keguruan sudah jauh berubah ekoran perkembangan teknologi maklumat (ICT) yang pesat namun berbekalkan pengalaman 25 tahun dalam bilik darjah membolehkan Rektor IPGM, DR. MOHD. AZAM AHMAD memahami selok- belok profesion ini, sekali gus melakukan anjakan dalam menghasilkan bakal guru yang bukan sahaja mampu mengajar tetapi memiliki sifat manusiawi dan nyala rasa guru.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL, AQILAH MIOR KAMARULBAID serta jurufoto FAIZ ALIF ZUBIR, beliau berkongsi tentang perlunya kepentingan pembinaan karakter dan nyala rasa guru dalam kalangan siswazah keguruan.

PERMOHONAN MAKIN BERTAMBAH

Permohonan kemasukan ke IPGM pada 2024 lebih 100, 000 orang. Lebih-lebih lagi tahun ini tidak hanya tertumpu pada laluan sedia ada iaitu SPM tetapi kita sudah buka kepada lepasan STPM, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Matrikulasi. Kerana itu, nampak penambahan permohonan untuk kemasukan ini.

Pengambilan pula berdasarkan unjuran oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP). Maknanya, mereka (pelajar) inilah yang akan isi (penempatan guru) dalam lima tahun lagi iaitu pada 2029. Ini bermakna pada tahun tersebut kita sudah memenuhi kuota guru.

Itu dari segi ‘idea’nya tetapi dalam proses itu kita tidak lari dari berdepan cabaran. Antaranya mungkin ada dalam kalangan pelajar yang tarik diri atas sebab kesihatan atau faktor-faktor di luar kawalan seperti kemalangan, kematian dan sebagainya. Untuk ini, ia akan dipenuhi melalui Program Diploma Pascasiswazah Perguruan (PDPP) seperti dilaksanakan kepada guru Lantikan Secara Kontrak (CoS). Program ini akan memberikan peluang kepada graduan dari universiti awam atau swasta mengambil kursus diploma (ikhtisas) untuk tempoh setahun sebagai syarat untuk dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP).

Sebenarnya kita sudah ada unjuran sehingga 2030. Jumlah pengambilan bukanlah statik, tetapi berubah mengikut keperluan. Ia perlu melihat kepada kekosongan seperti persaraan, bersara pilihan, kematian dan sebagainya.

Setiap tahun kita berjaya hasilkan sekitar 5,000-6,000 bakal guru, khususnya sekolah rendah. Baru-baru ini, pada Mei lalu, yang tamat pengajian adalah pengambilan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) kohort Jun 2020 – Mei 2024.

POPULARITI
Pada dasarnya, IPGM akan mengeluarkan bakal guru untuk sekolah rendah. Jadi, bidang yang menjadi teras seperti bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik, Sains menjadi pilihan pelajar.

Bidang yang selalunya menjadi keperluan dalam jumlah yang besar adalah bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Matematik.

Lagipun dengan dasar memartabatkan bahasa Melayu dan memperkasa bahasa Inggeris menyebabkan kedua-dua bidang ini lebih terserlah dari segi populariti dalam kalangan pelajar sementara Matematik melalui pemerkasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) juga semakin menarik minat.

IPGM juga ada program Pelajar Cemerlang bagi Pendidikan Islam yang kita akan hantar pelajar ini ke luar negara seperti Jordan. Selepas pulang dari luar negara, kita akan beri latihan ikhtisas di sini.

IPGM juga pernah memberikan kursus Diploma Ikhtisas kepada graduan Bahasa Jerman, Korea dan Jepun sebelum graduan ini layak dilantik sebagai PPP. Di samping itu, IPGM mempunyai program berkembar dengan Perancis. Terkini program berkembar sedang menanti kehadiran pelajar yang akan tamat belajar di Perancis selama tiga tahun yang sebelum itu telah mengikut program persediaan selama dua tahun di kampus Bahasa Antarabangsa dan akan kembali pada bulan Oktober ini untuk mengikuti PDPP.

GURU BERKEPERLUAN KHAS
Kita ada bidang kursus pendidikan khas kerana kita melihat keperluan masa kini. Kita melihat ada keperluan untuk bidang ini. Maknanya sudah ada cikgu untuk pendidikan khas.

Jadi, sektor pendidikan khas akan maklumkan keperluan unjuran kepada BPPDP, iaitu jumlah guru dalam bidang ini yang diperlukan.

Jadi untuk memperkukuh bidang ini kita bekerjasama dengan bahagian pendidikan khas, apakah komponen-komponen yang perlu dibangunkan. Kita juga bekerjasama dengan agensi luar dalam memperkukuh kurikulum (maklumat kursus).

Kita perlu tengok kredibiliti, kewibawaan guru ini untuk dibangunkan. Tahun ini, jabatan pendidikan khas yang ada di kampus akan terlibat dengan program sekolah pengajar seperti jabatan-jabatan lain.

Pensyarah akan menjadikan sekolah pengajar itu sebagai tempat bagi melaksanakan inisiatif atau formula baharu. Inilah yang kita akan cadangkan untuk laksanakan di seluruh negara untuk seterusnya.

Kedua, bila ada sekolah pengajar, pensyarah akan turun dengan siswazah pendidikan khas, dari peringkat awal lagi kita sudah bangunkan karakter guru pendidikan khas dengan nyala rasa guru. Kita sudah bergerak ke arah untuk penuhi keperluan pendidikan khas.
Guru-guru Pendidikan Awal Kanak-Kanak pun kita ada sediakan kursus. Guru prasekolah sekolah swasta juga ada ambil kursus di sini.

KEMAS KINI SILIBUS
Mengenai silibus, kita tidak boleh buat pengubahsuaian sewenang-wenangnya kerana terikat dengan standard kawalan kualiti MQA (Agensi Kelayakan Malaysia) sebagai badan yang memberi akreditasi kepada program-program di peringkat ijazah.

Tetapi apabila wujudkan sesuatu silibus, kita sudah mengambil kira untuk berapa tahun akan datang. Kita siapkan maklumat kursus yang direka bentuk untuk melahirkan guru bagi mendidik anak-anak untuk tahun mendatang.

Kedua, Bina Insan Guru (BIG) sebagai komponen wajib bagi membangunkan guru dari segi karakter yang sesuai dengan zaman mengajar nanti.

Contoh, ada perubahan kurikulum di sekolah atau ada keperluan seperti AI (kecerdasan buatan) dan rukun madani, kita tidak boleh tukar sesuka hati. Sebaliknya, kita selitkan dengan memasukkan elemen baharu itu menerusi proses penyerapan dalam maklumat kursus, BIG dan pendidikan luar yang ada.

Dalam semester pendek, kita boleh tambah kursus-kursus dalam usaha menyerap perubahan yang ada.

PERBEZAAN KARAKTER GURU DULU DAN SEKARANG

Tiga guru lelaki bermotosikal sedang bergelut dalam lumpur di pedalaman Sabah/sarawak utk mengajar melalui denai.

Kehidupan kita dinamik memang ada perbezaan dari segi karakter, cara berfikir, tahap ilmu dan sebagainya kerana dipengaruhi sains dan teknologi yang bergerak dan berubah pantas.

Guru lama tidak mahir dalam teknologi tetapi ruang latihan untuk itu sentiasa diberikan. Guru baharu lebih biasa (dengan teknologi) seperti pembelajaran dalam talian. Kemahiran teknologi penting sebab mereka mengajar anak-anak yang hidup dalam teknologi yang jauh berbeza dengan cikgu dahulu.

Kita ingin bangunkan kemahiran yang sesuai dengan zaman dan generasi itu hidup. Kita perlu nampakkan guru-guru ini cabaran generasi yang mereka akan didik. Yang ini kita akan berikan maklumat, pemahaman kepada mereka supaya dapat menggunakan ilmu dan kemahiran mendidik anak-anak itu.

Sebab itu, di peringkat kita bukan sahaja ada maklumat khusus untuk sesuatu bidang tetapi kita juga ada BIG iaitu satu elemen yang melengkapi mereka sebagai guru berilmu. Kita juga ada pendidikan luar dan unit beruniform bagi membina karakter.

Pembinaan karakter perlu mengikut zaman. Mungkin dulu kita ajar anak orang kampung yang merupakan petani, tetapi kini mengajar anak doktor, peguam, jurutera. Kita tidak boleh bawa karakter yang sama.

Begitu juga sekarang untuk berhadapan dunia digital. Bagaimana seorang guru mahu bangunkan potensi anak itu?

PECAHAN KAUM
Sistem pendidikan kita bukan sahaja sekolah kebangsaan tetapi sekolah agama, sekolah vernakular, lokaliti di Sabah dan Sarawak berbeza, yang ini semua menjadi pertimbangan kita dalam pengambilan guru-guru.

Contoh, kita ada bahasa Kadazan Dusun sampai peringkat SPM. Walaupun kita buka permohonan untuk semua tetapi ia akan dipenuhi oleh etnik berkenaan. Begitu juga bahasa Semai.

Kita ada cabaran dalam pengambilan guru seperti kecenderungan siswa guru ingin ditempatkan di sesuatu tempat apabila tamat. Kita juga sedar akan kepelbagaian kaum dan sebagainya. Tetapi apapun pertimbangan kita, kualiti tetap akan dipertahankan sebab mahu lahirkan guru berkualiti tinggi untuk anak-anak bangsa.

KAJIAN GURU BERSARA AWAL
IPGM tidak buat kajian, cuma akan menyediakan bakal-bakal guru mengikut keperluan. Profesion keguruan sangat istimewa di negara kita.

Ramai ingin jadi guru atas banyak faktor. Sebenarnya jadi guru satu profesion yang memberi peluang kepada seseorang untuk menggunakan kreativiti untuk mengajar. Sama ada nak menyanyi, berlakon, bersajak. Jika minat sukan, ada juga peluang dalam bidang itu, begitu juga sukarelawan.

Saya mempunyai pengalaman selama 25 tahun dalam bilik darjah di sekolah rendah dan di sekolah menengah, seronok mengajar, macam-macam kerenah anak murid tetapi mencabar kita untuk menjadi kreatif. Kalau guru itu faham, perkara ini tidak menjadi halangan sebaliknya cabaran untuk membesarkan potensi sebagai seorang guru. Dia akan dapat kegembiraan dalam profesion guru.

KESIHATAN MENTAL
Hari ini kita sudah bercakap tentang kesihatan mental. Kalau di peringkat IPGM kita sudah ada program mentor mentee. Mentor ini akan bimbing siswa kita, mereka ini akan memberi nasihat kepada siswa dengan cabaran yang dihadapi.

Untuk memperkukuh mental guru, kita di bawah bahagian psikologi dan kaunseling, sudah bangunkan modul untuk melatih mentor kemahiran dalam kaunseling, supaya memantapkan lagi peranan mentor itu dalam membimbing dan nasihat kepada siswa. Kita sudah minta bahagian kaunseling di kampus untuk ambil tindakan segera melalui maklumat yang diperoleh untuk beri bimbingan.

Kita sudah ada seminar di peringkat IPGM. Tempoh hari saya buat dialog prestasi dengan pengarah kampus seluruh negara. Kita sudah nilai berapa jumlah pelajar yang melalui sesi kaunseling dan apa pula program yang ada, program apa pula yang perlu diambil tindakan. Kita mahu semua aspek kesihatan mental diambil perhatian dan ditangani dalam kalangan siswa guru. Usaha membangunkan siswa guru yang berkemahiran tinggi, kreatif dan mempunyai nyala rasa tidak boleh tergugat dan seterusnya mesti jaga profesion perguruan.

Boleh mengajar tetapi tiada nilai kemanusiawi

TREND PEMPENGARUH PENDIDIKAN

GURU jadi pempengaruh dikelilingi pelajarnya.

Kita tidak boleh menidakkan zaman telah berubah. Saya selalu cakap kalau cikgu mengajar secara dalam talian, ya kita akui untuk menyampaikan ilmu itu satu keupayaan untuk berdepan teknologi tetapi dalam membangunkan nilai manusiawi, potensi diri bukan melampaui ilmu sahaja, itu tak mampu dibuat dalam talian. Ia perlu adanya bersemuka.

Sebab itu peranan guru ini masih penting. Tanpa pempengaruh pun, kita sudah ada sistem melalui ICT, penyampaian ilmu boleh berlaku. Kita boleh gunakan karikatur yang menarik.

Tetapi dalam membina karakter, dalam membangunkan pendidikan manusiawi, ia tidak mampu dilakukan secara dalam talian sepenuhnya.

Sebab itu peranan ini perlu disedari, adakah kita mahu membina generasi ini dengan ketinggian ilmu sahaja? Tidak, kita mahu membina generasi yang tinggi nilai dirinya, akhlaknya, lebih-lebih lagi generasi pada masa depan akan hidup dalam sistem, mereka bekerja dalam sistem, tidak perlu berada di pejabat. Tinggal di Putrajaya tetapi bekerja di Tokyo.

Kalau sekadar belajar dalam sistem, ya mereka boleh menjadi pandai dan bekerja di Tokyo atau London tetapi kalau tidak dibangunkan nilai, akhirnya pelajar ini tidak melihat orang sekeliling, tanpa sedar mereka hilang rasa simpati dan menghargai.

Cikgu bukan sekadar mengajar tetapi perlu mendidik akhlak dan menanam nilai murni seperti gigih dan berani mendepani cabaran, itu yang kita bangunkan. Jadi mereka tidak berhadapan masalah sehingga menggugat kesihatan mental.

Kalau di sekolah ada pembelajaran melalui projek, dari situ kita boleh semaikan semangat kerjasama, menghormati dan sebagainya. Pendidikan ini untuk otak dan watak.

Di IPGM ini kita sudah ada komponen dalam pembangunan guru iaitu kapasiti pedagogi pembelajaran bermakna.

Zaman kita dulu mungkin belajar lebih kepada menghafal tetapi hari ini dengan digital mereka boleh buat pengekodan, pergerakan robot. Sebab itu, hari ini kita kena bangunkan kapasiti pedagogi pembelajaran bermakna supaya guru-guru ini dapat ajak mereka untuk lebih kreatif, berfikiran teknikal, berfikiran kritis, menghormati, bantu membantu, saling menghargai, kerjasama dan sebagainya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya