Pindaan perlembagaan : 'Itu keputusan kerajaan bukan Saifuddin'

Pindaan Perlembagaan berkenaan kewarganegaraan: ‘Itu keputusan kerajaan bukan Saifuddin’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

—————————————————————————————————————————————————————————————————————————

LEBIH setahun diberi tanggungjawab menerajui Kementerian Dalam Negeri (KDN), DATUK SERI SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL berdepan pelbagai cabaran terutama dalam menangani isu keselamatan.
Apatah lagi menerajui kementerian yang terdiri daripada beberapa agensi dengan dipertanggungjawab terhadap kepentingan dan keselamatan dalam negeri seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Dengan tekad yang dinyatakan sebelum ini, beliau serius menangani isu-isu yang terkait dengan agensi di bawah ‘payung’ KDN
Justeru, wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah beliau untuk mendapatkan pandangannya.
Turut membantu jurugambar SHIDDIQIEN ZON dan ABDUL RAHMAN RAZALI.

MINGGUAN MALAYSIA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) diperuntukkan RM19.06 bilion melalui Belanjawan 2024. Ke mana peruntukan ini akan diagihkan?
SAIFUDDIN NASUTION: Dari segi belanjawan tahunan, kedudukan KDN nombor tiga selepas pendidikan, dan kesihatan. Kita terima hampir sama sebagaimana Kementerian Pertahanan iaitu lebih kurang RM20 bilion.
Dibawah KDN pula terdapat beberapa agensi dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) antara penerima terbanyak diikuti agensi lain. Jadi ke mana duit ini pergi?
Terdapat dua perbelanjaan iaitu pengurusan dan ia seperti operasi. Satu lagi dikira sebagai pembangunan.

Untuk kali ini, kita memberi tumpuan kepada aspek kebajikan. Sebagai contoh menaik taraf balai polis, kediaman dan pos-pos kawalan. Yang itu kita sudah mulakan tahun lepas dan kita sambung tahun ini.
Sebabnya kalau perkara seperti ini kondusif, maka mereka boleh fokus kepada kerja.Tahun lepas kita belanja RM45 juta untuk menaik taraf semua 151 pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) seluruh negara.
Semua projek ini siap sepenuhnya pada Disember, lengkap untuk 151 pos. Kalau dilihat keadaan hari ini, ia jauh lebih baik daripada sebelumnya.
Dulu ada yang macam dangau’, malah lebih baik daripada itu pun ada terutama di Sabah dan Sarawak.
Di Kelantan pun macam itu. Saya masih ingat bulan empat tahun lepas saya ke Tumpat, Kelantan. Apabila melawat ada yang lantai berlubang, bekalan elektrik kadang ada kadang tiada selain bekalan air bersih yang terhad.
Sebab itu kita guna RM45 juta untuk ubah semua sekali (kemudahan) dengan memberi fokus kepada aspek kebajikan.
Selain itu, kuarters di PGA Cheras yang sebelum ini biliknya dua unit, kita pecahkan tengah dan jadikan satu unit. Maka ia lebih luas.Projek ini mengambil masa antara satu ke tiga bulan.
Justeru, kebajikan menjadi keutamaan dan kerja naik taraf diperingkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) sedang berlangsung.

Pandangan Datuk Seri berkenaan prestasi PDRM setakat ini ?
Selalu orang tengok prestasi daripada segi statistik jenayah. Tapi saya lihat PDRM sebagai agensi penguatkuasa terbesar dan secara menyeluruh. Jadi ia berada pada tahap memuaskan.
Tidak dinafikan ada ruang untuk ditambah baik seperti aspek integriti.
Ingin saya tegaskan disini, kita tidak bertolak ansur dalam apa jua hal-hal yang terkait dengan integriti. PDRM ini agensi penegak undang-undang dan kita sedaya upaya tidak boleh ada satu peratus pun masalah. Mesti sempurna.
Baru-baru ini ada kekosongan jawatan Inspektor. Yang datang temuduga 40,000 dan kekosongan 400. Daripada jumlah tersebut, 30 peratus kita akan ambil dalam kalangan anggota perkhidmatan dan selebihnya orang awam.
Jadi, saya tanya kepada salah seorang panel, dia kata yang datang semua berkelayakan tinggi, yang dah jadi peguam dan menguasai pelbagai bahasa pun ada. Kelulusan datang daripada pelbagai ilmu dan yang terkini kecerdasan buatan (AI).
Apa yang saya nak katakan di sini maksudnya institusi PDRM masih menjadi sebuah institusi yang disegani dengan rakyat meletakkan harapan tinggi.

Bagaimana dengan jenayah scam pada masa kini. Adakah ia berada di tahap yang serius selepas melihat kepada jumlah kes yang dilaporkan?
Jenayah yang dulunya tidak pernah wujud sekarang berlaku. Jadi seriusnya setakat mana?
Kalau saya petik Majlis Sosial Negara, anggaran kerugian mencecah RM 1.2 bilion. Baru-baru ini saya diberi taklimat oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Mereka juga memberi gambaran trend ini semakin meningkat sedangkan 10 tahun lalu tidak.
Jadi apa langkah yang kita buat? Pertama sudah tentu ada hubungan antara kerajaan (G2G) dan kemudiannya ada ASEANAPOL iaitu kerjasama diperingkat polis yang perlu kita perkukuhkan. Jenayah ini kadang-kadang ia merentas sempadan.
Kedua kita boleh lihat daripada aspek undang-undang sedia ada. Adakah ia memadai ? Ketiga menerusi kempen kesedaran orang ramai supaya jangan terjebak lagi.
Kalau dilihat hari ini, tiada satu hari tanpa berita yang melaporkan isu ini. Tidak kira siapa pun, doktor, polis dan segala macam pun jadi mangsa. Sebab itu pentingnya kempen.
Dan yang keempat pula ialah tumpuan kepada ruang kapasiti. Maknanya modul latihan semasa kepada pegawai polis berlaku sepanjang masa dan kompetensi perlu dipertingkatkan.
Justeru, sebagaimana yang saya jelaskan tadi, isu scam boleh ditangani dengan empat perkara tadi dan ia melibatkan proses berterusan.

Boleh Datuk Seri ceritakan lebih lanjut tentang pindaan Perlembagaan Persekutuan berkenaan kewarganegaraan yang dilaporkan sebelum ini?
Isu ini bermula apabila melibatkan keluarga Suriani Kempe. Dia warga Malaysia bertemu jodoh dengan lelaki luar negara.
Kalau ikut undang-undang sekarang, anak itu lahir di luar negara dan perlu ikut warganegara bapa. Jadi mereka kata tidak adil sedangkan undang-undang negara kita kata begitu.
Dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 8 (20) lelaki dan perempuan sama pihak.
Suriani bawa kes ini ke mahkamah. Mahkamah Tinggi kata berasaskan hujah tersebut, maka bapa dalam ayat ini termasuklah juga ibu. Suriani menang dan kemudian kerajaan membuat rayuan. Kali ini Mahkamah Rayuan kata bapa ialah bapa dan ibu ialah ibu. Maka Suriani kalah dan sekarang tertangguh di peringkat Mahkamah Persekutuan.
Dalam tempoh inilah kerajaan buat satu cadangan supaya dipinda Perlembagaan Persekutuan mengenai warganegara. Maka bermulalah kerja KDN. Ia bukan (keputusan) Saifuddin Nasution, tapi KDN dan keputusan kerajaan.
Maka, saya bentangkan kepada Kabinet kertas untuk kelulusan dasar. Dalam Perlembagaan Persekutuan, kalau nak pinda perkara yang menyentuh kewarganegaraan ada lagi rukun-rukunnya.
Raja-Raja kena bagi ‘lampu hijau’, Kerajaan Sabah kena setuju dan Kerajaan Sarawak mesti tiada halangan. Itu memang jelas dalam Perlembagaan Persekutuan dan KDN persembah kepada Majlis Raja-Raja, kerajaan Sabah dan Sarawak.
Jadi Majlis Raja-Raja beri perkenan dengan melakukan beberapa perkara. Pertama kena ada elemen kawalan. Selain itu, jangan sesekali diberi kewarganegaraan kepada mereka yang bukan berhak dan ketiga untuk pindaan ini dibuat kerajaan, perlu lakukan kajian yang komprehensif.

Majlis Raja-Raja juga dalam perkara ini kekal dan berperanan sebagai institusi yang penting. Bertindak atas nasihat Majlis Raja-Raja, KDN kemudian menubuhkan pasukan penyelidik diperingkat governans pula.
Apa yang menjadi kontroversi berdasarkan maklum balas sekarang ini ialah berkenaan anak terdampar.
Dalam perkara ini, seorang anak terdampar yang ditemui presumption (praduga) yang kita buat ialah di mana tempat lahir dia? tempat lahir dia ialah tempat dia ditemui. Kedua dia hendaklah presume dilahir sebagai ibu yang bertaraf penduduk tetap.

Dulu tahun 1963 presume ibu dilahir di sini munasabah sebab tiada Rohingya dan warga asing lain. Sekarang kita boleh jumpa. Ada yang lahir di hospital dan dia lari.

Menjawab soal perkara pokok kepada kritikan ini ialah dia kata kalau pinda kepada pendaftaran, kita wujudkan perkara baharu dalam pindaan ini dan kita kata anak yang dijumpai ini boleh dapat warganegara secara pendaftaran.

Kalau seseorang yang menemui atau mengetahui kelahiran mengikut Akta Pendaftaran Kelahiran, dia dikehendaki melaporkan kepada PDRM, bawa hospital dan ketiga lapor kepada Jabatan kebajikan masyarakat. Apabila semua lengkap, barulah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) boleh tulis warganegara.

Tapi sekiranya anak itu sudah tidak bertali pusat, ia bukan anak terdampar. Kalau umur 10 tahun atau 11 tahun, kita proses tak pendaftaran? Kita proses dibawah Perkara 15(A). Maknanya, anak yang kita proses secara pendaftaran permohonan warganegara bagi anak angkat dan anak tidak sah taraf, anak dibawah jagaan.
Bagi anak yang tidak bertali pusat dan sudah besar, penjaga kena mohon dan kita proses lulus dibawah 15 (a).Jumlahnya 59,000. Yang kita sudah buat keputusan ialah 35,000 dengan 95 peratus berjaya mendapat kelulusan warganegara.

Lebih 14,000 ini pula ini pula KDN beritahu sebelum 31 Disember tahun ini ini kita selesai semua dan tiada lagi jumlah ni. Isunya ialah berlaku defisit kepercayaan tajam terhadap kerajaan kerana pengalaman mereka yang tunggu lama sehingga 10 tahun hanya untuk dukacita. Jadi sekarang ini kita tengah mitigasi. Walaupun saya beri komitmen KDN sekarang beri setahun untuk jawapan. Namun ia tidak tidak mudah.

Penamatnya apa? Bayi terdampar dapat warganegara dan angka ialah 142 orang sahaja. Maksudnya apa yang berlaku ialah berlaku juga orang yang jumpa bayi dan kata anak dia dapat sijil kelahiran walhal itu sindiket.
Apabila umur 12 tahun nak buat MyKid, nama tiada dalam sistem. Apabila tanya, barulah cakap jumpa dan bukannya terdampar, automatik jumpa. Kalau automatik pun ada prosesnya dan tidak salah dari segi undang-undang.

Sebelum ini, PDRM memohon kerajaan memberi pertimbangan menambah jumlah perjawatan bagi mengatasi kekurangan anggota dihadapi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dalam usaha memerangi dadah yang menjadi musuh nombor satu negara.Jadi ketika ini bagaimana kekuatan kakitangan di JSJN? Adakah sudah ditambah seperti dicadangkan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador?
Paling besar anggota penguatkuasaan dibawah KDN ialah PDRM dan boleh dikatakan semua agensi seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), PDRM dan agensi lain di bawah KDN guna tenaga isi penuh.
Kalau mereka minta 100 (anggota) mungkin dapat 95. Kebanyakan agensi bawah KDN begitu.
Dalam isu kekurangan anggota PDRM ada pelbagai bahagian yang keseluruhannya hampir 130,000 orang.
Keperluan anggota dalam satu-satu jabatan boleh dibuat secara pengisian langsung iaitu mohon jawatan baharu atau susun semula (anggota ) di antara jabatan. Tetapi ketika kerajaan ada kekangan, maka kaedah yang pelbagai harus diusahakan.
Contohnya, kalau pun kita ada kekosongan di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), boleh tak anggota diterima daripada unit lain?
Malah ada unit yang memang tidak cukup anggota pun seperti Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) .
Saya akui daripada sudut antara jabatan ada keperluan dan tidak semestinya diisi daripada permohonan perjawatan baharu. Paling penting tiada kompromi daripada segi prestasi mereka

Bagaimana dengan perkembangan terkini dua banduan di Teluk Guantanamo?
Mahkamah tentera membicarakan mereka berdasarkan proses yang dilakukan. Saya diberitahu tentang perkembangan dari masa ke semasa oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS).
Setakat ini saya tidak boleh meramalkan apa-apa. Mereka sudah ditahan 20 tahun lalu iaitu sejak 2003 dan sampai sekarang mereka tidak pernah dibawa ke mahkamah, sebaliknya di tempatkan di Guantanamo Bay sahaja.
Jadi saya ada bertemu dengan Duta AS di Teluk Guantanamo. Saya diberi taklimat bahawa mereka akan dibicarakan dan mereka mempunyai akses dengan peguam di sana.
Kita akan ikuti apa-apa keputusan mahkamah dan daripada situ kita ambil langkah lain.

Pandangan Datuk Seri terhadap ancaman dadah? Mengapa Malaysia masih dijadikan transit dadah ke negara lain? Adakah ada kelemahan yang menarik minat pengedar?
Kita dah berperang isu dadah puluhan tahun dan ada evolusi dengan wujudnya dadah sintetik. Kalau di sebelah Pantai Timur, pengambilan dadah paling tinggi ialah jenis pil kuda.
Kalau di Sabah ada satu daerah, Ketua Polisnya beritahu saya semua jenayah turun di kawasan berkenaan kecuali dadah. Ini disebabkan kawasan berkenaan menjadi transit.

Baru-baru ini pun saya mempengerusikan Mesyuarat Kerjasama Jawatankuasa Keselamatan Sempadan dimana saya diberitahu tentang jalan tikus. Paling banyak di Kedah Perlis dan Kelantan.
Sudah semestinya kita mahu kawalan sempadan dengan negara jiran dan perkongsian maklumat dipertingkatkan.
Kalau di Sungai Golok, PDRM punya motto, ‘tiada hari tanpa tangkapan dadah’. Itu keadaan yang berlaku.
Dalam mesyuarat baru- baru ini pun, kita minta pihak berkuasa tempatan (PBT) dan semua agensi berkaitan meroboh jeti haram.Ada yang sudah di kenal pasti dan keputusan kita buat adalah menerusi kerjasama pusat , negeri dan PBT.

Kegagalan projek kapal peronda luar pesisir (OPV) sebelum ini. Komen Datuk Seri?
Masa saya masuk (dilantik menteri) pada 5 Disember 2022, antara taklimat awal ialah kegagalan projek OPV. Dan ternyata ia tidak siap mengikut tarikh ditetapkan.Kemudian sebanyak RM 153 juta ditambah bagi memastikan ia dibina selengkapnya.

Dengan arahan spesifik, kalau tidak dapat siapkan tiga buah OPV, buat sebuah dahulu. Hala tuju dua lagi saya sudah minta Ketua Setiausaha Kementerian segerakan kerana kita ada rancangan dan pelan yang jelas.
Adakah dua buah itu langsung tiada peluang untuk disiapkan? Jawapannya tidak juga. Tapi adakah ia akan disiapkan ikut jadual? Tempohnya tidak lama dan jurutera beri saya garis masa dan kalau boleh diselesaikan masalah yang dihadapi, kita boleh siap dalam tempoh ditetapkan antara setahun ke setahun setengah.

Bagaimana pandangan Datuk Seri terhadap pandangan dan kritikan daripada NGO yang menyatakan ‘rakyat menilai kerajaan berdasarkan janji ketika jadi pembangkang
Yang penting kita fokus kepada reformasi agenda yang sama.
Contoh daripada segi instustui Parlimen. Hal yang berlaku sekarang ialah hasil daripada reformasi Pakatan Harapan (PH). Contoh ketika rundingan dengan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Waktu itu antaranya ialah fokus kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen.Keanggotaan mesti terdiri daripada komposisi yang betul-betul mencermin diri Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dipegang oleh ahli Parlimen.Zaman Datuk Seri Najib Tun Razak pun pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed. Kemudian berlaku pertukaran ditukar kepada Timbalan Menteri KDN.
Kalau kita tidak dapat semua, jangan kata kita tidak lakukan (reformasi) langsung. Sekarang soal yang diuruskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dengan memberi jaminan kerajaan komited untuk memisahkan kuasa Peguam Negara dengan Pendakwa Raya. Ini semua dalam radar kita
Malah, kita konsisten soal pentingnya menentang rasuah. Tapi pembangkang bila kita buat kata itu balas dendam dan kata itu pendakwaan terpilih.Walau apa pun saya memang tidak ambil peduli. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya