Mukadimah
SEANDAINYA wujud kategori berita paling sensasi sebagai penutup tahun ini, isu sokongan ahli Parlimen pembangkang terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pasti menduduki carta.
Manakan tidak, isu tersebut berkait rapat dengan Akta Anti Lompat Parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 (Akta A1663).
Malah, tindakan beberapa ahli parlimen yang menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan seolah-olah memberi gambaran awal ‘musnahnya’ pembangkang untuk tempoh tertentu.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah Ahli Parlimen Bukit Gantang, DATUK SYED ABU HUSSIN HAFIZ SYED ABDUL FASAL bagi mendapatkan penjelasannya. Turut membantu jurugambar, AMIR KHALID dan FARIS IDRIS.
BERSATU TUMPANG KEKUATAN PAS
MINGGUAN MALAYSIA: Apa pandangan Datuk terhadap Bersatu selepas berlangsungnya Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) baru-baru ini?
SYED ABU HUSSIN HAFIZ: Penubuhan Bersatu kalau kita lihat daripada sejarahnya pun disebabkan kekecewaan pemimpin UMNO, sama ada yang dipecat atau tiada parti.
Dalam PRU15 lalui, Bersatu dapat bilangan kerusi yang agak banyak menerusi gabungan Pas dan Perikatan Nasional (PN).
Kemenangan ini satu gelombang dan isyarat kepada parti Melayu yang ulung, iaitu UMNO bahawa orang Melayu tidak puas hati, merasakan UMNO tidak lagi menjadi pembela nasib orang Melayu. Maka sebab itu, gelombang berpindah kepada PN walhal PN bukanlah ada jentera yang kuat kecuali Pas. Bersatu hanya bergantung kepada Pas.
Masalahnya kalau sekadar bergantung kekuatan kepada ahli parlimen yang menang tanpa ada usaha untuk memperbanyak ahli akar umbi atau menambah cawangan serta tiada struktur strategi yang kukuh, Bersatu tidak boleh bertahan.
Saya fikir untuk PRU akan datang, kemenangan bergantung kepada isu dan jentera. Kalau bergantung kepada jentera sahaja, tidak cukup. Katakanlah Pas sudah ada akar umbi yang kuat dan tidak mahu bergabung dengan Bersatu, kemudian mahu bekerjasama dengan orang lain, Bersatu tidak boleh menang.
TIDAK LANGGAR PERATURAN PARTI
Adakah Datuk bersedia dikenakan tindakan daripada kepimpinan Bersatu?
Saya tiada masalah kalau parti mahu ambil tindakan. Apa yang saya buat adalah saya hendak orang Melayu bersatu. Kalau orang Melayu terus bertegang urat dan tiada titik pertemuan, maka orang Melayu rosak dan negara tidak tenteram. Hakikatnya, saya tidak melanggar peraturan parti.
Malah, dalam peraturan parti tidak melarang mana-mana ahli parlimen menyokong mana-mana pimpinan. Jadi, saya buat keputusan atas kehendak saya secara terbuka bukan sahaja sokong PMX, akan tetapi menyeru ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk kita runding bersama-sama majukan negara.
Adakah terdapat pemimpin Bersatu yang menghubungi Datuk susulan pendedahan baru-baru ini?
Saya hanya terima satu atau dua mesej daripada Muhyiddin menerusi WhatsApp yang mengatakan beliau kecewa. Lain-lain pemimpin tiada. Malahan nama saya dalam grup WhatsApp pun dikeluarkan.
Pada pandangan saya, ini menunjukkan mereka bukan pemimpin berjiwa besar. Patutnya boleh panggil saya.
Banyak pandangan yang telah saya berikan khusus kepada Muhyiddin terutama selepas PRU15 yang mana Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika itu telah pun diperkenankan sebagai Menteri Besar.
Selepas itu pada hari berikutnya saya berjumpa Muhyiddin untuk mencadangkan agar semua 26 ADUN PN sokong Menteri Besar. Dengan cara itu, kita boleh memperkukuhkan kawasan Melayu bersama kerajaan yang ada.
Dalam perbincangan hampir sejam, beliau tidak terima cadangan saya. Maknanya saya berusaha walaupun secara individu untuk melihat masa depan kawasan ahli parlimen PN ada dengan kerajaan negeri. Itu antara kekecewaan saya.
Apakah yang menyebabkan Datuk nekad untuk menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim? Adakah disebabkan berlakunya kepincangan dalam parti?
Begini, apabila habis PRU15, kerajaan pun terbentuk. PN sebagai pembangkang dan sebagai ahli parlimen, sudah tentu kita bertanggungjawab kepada rakyat di kawasan kita.
Untuk pengetahuan awak, kawasan saya di Bukit Gantang pula adalah pinggir bandar yang tiada pun bandar. Jadi, kita mengharapkan peruntukan dan bantuan daripada kerajaan. Masalahnya, bantuan pun kita tidak dapat.
Dalam Parlimen kita selalu cakap mahu peruntukan dan kerajaan kata mereka boleh bagi. Perdana Menteri sendiri ada beritahu dan sebut hendak beri peruntukan dengan melantik Timbalan Perdana Menteri Kedua, Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai wakilnya.
Apa yang menjadi masalah perundingan (sehingga berjaya) tidak berlaku. Pembangkang iaitu PN hanya bercakap dan bertekak mendesak di Parlimen. Apabila dipanggil untuk berunding, apa yang terjadi kita pun tidak tahu.
Dan kita pun tidak dimaklumkan (status perundingan antara PN dan kerajaan). Hanya sekali dua sahaja Datuk Seri Takiyuddin Hassan berjumpa dengan Fadillah. Selepas itu isi pokoknya kita tidak tahu. Apa yang diberitahu, peruntukan susah disebabkan peraturan. Tetapi kita tidak dimaklumkan perkembangan-perkembangannya termasuk ketika perjumpaan sama ada dengan Bersatu atau PN.
Kita juga dalam masa sama tidak dibentangkan apa yang kita hendak minta atau apa yang kita mahu untuk kawasan masing-masing.
Tidak pernah diketengahkan langsung hal peruntukan kepada pihak kerajaan walaupun selepas setahun kita tubuh sehinggalah ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain ABdul Khalid memulakan langkah menyokong Anwar.
Kalau ada wakil berjumpa banyak kali, dia sepatutnya beritahu kepada kita. Beritahu sekarang kerajaan kata begini dan begini.
Apabila mereka katakan syarat ketat, Anwar tidak cakap pun dalam Parlimen (syarat). Beliau cuma minta kita berunding sahaja. Jadi, mengapa tidak runding?
Kalau pun tiada orang yang boleh berunding, lantiklah ahli parlimen sendiri yang semuanya kaki bercakap. Beritahu apa yang hendak cakap dan biar kami pergi berunding. Sampai sekarang saya tidak faham mengapa mereka tidak mahu buat macam itu.
Mereka perlu ingat sebagai ahli parlimen, kita perlu bertanggungjawab pada parti dan rakyat. Rakyat yang undi kita ini bukan semuanya sokong parti. Parti hanya sebahagian sahaja dan pengundi atas pagar ini ramai. Kita hendak mewakili mana satu? Sepatutnya kita wakili kedua-kedua iaitu parti dan rakyat.
Apabila berlaku keadaan dilema antara parti dan rakyat, mana satu saya hendak pilih? Sudah tentu saya pilih rakyat. Saya yakin ahli parlimen lain juga begitu dan mungkin ada lagi yang mahu berbuat demikian (menyatakan sokongan kepada Anwar).
Sebabnya, tiada langkah positif untuk membantu. Katakanlah memang PN buat keputusan tidak mahu membantu, apa alternatif yang kita ada?
Sepatutnya parti fikir macam mana mahu menjaga kawasan yang dimenangi. Ini kerana kawasan tersebut adalah gelombang yang telah memberi undi pada kita. Kalau awak mahu tahu, orang di kampung sekarang ini tengah tunggu apa lagi kita hendak buat. Takkanlah bila setiap kali turun jumpa mereka, saya katakan peruntukan tidak dapat dan selepas itu saya balik.
Tambahan pula sekarang musim banjir. Saya hantar wakil pergi ke pusat pemindahan banjir dan saya cakap peruntukan tiada, kerajaan zalim sebab tidak beri peruntukan sedangkan kita tidak cerita pun yang kita tidak pergi berunding. Mengapa mahu bohong rakyat?
Ada yang kata saya pengkhianat. Saya khianat siapa? Saya tidak khianat sesiapa pun.
BERI PENJELASAN
Datuk ada berjumpa dengan pengundi di Bukit Gantang setakat ini untuk memberi penjelasan?
Saya belum balik lagi. Tetapi kalau saya balik saya mahu cakap apa sebenarnya maksud saya. Saya hendak beritahu pada rakyat dan semua ahli parlimen PN bahawa kita perlu buat sesuatu.
Saya fikir mungkin untuk mereka di kampung yang mempunyai sentimen parti kuat akan berasa tidak puas hati dengan saya. Justeru, saya harap anda bersabar dan saya akan buktikan.
Pandangan Datuk berkenaan keputusan Muhyiddin yang ‘berpatah balik’ untuk mempertahankan jawatan Presiden?
Sebagai pemimpin dan presiden sepatutnya beliau fikir hendak buat apa sesudah keputusan dicapai.
Sebagai pemimpin nombor satu, perlu ada sikap tegas. Tetapi saya terkejut dengan hanya alasan permintaan dari isteri. Saya fikir tidak boleh ada pemimpin macam itu. Beri pelapis jadi pemimpin yang fikir masa depan bangsa.
TIDAK PUAS HATI
Pendedahan Datuk seakan-akan wujud rasa tidak puas hati terhadap Muhyiddin yang tersimpan lama. Komen Datuk.
Saya masih ingat lagi semasa PRU15, nama saya sebenarnya sudah digugurkan sebagai calon Ahli Parlimen Bukit Gantang. Walhal saya dijemput untuk menyertai Bersatu ketika saya ahli parlimen Bebas.
Saya tidak pernah melutut hendak jadi ahli Bersatu. Muhyiddin yang minta masuk Bersatu untuk memperkukuhkan bilangan kerusi Parlimen Bersatu. Jadi, saya serah borang dan bergelar ahli. Pada masa itu sudah disebut, semua ahli parlimen Bersatu yang ada kekal (untuk bertanding). Namun apa yang mengecewakan di Bukit Gantang, mereka hantar Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad jadi calon untuk ganti tempat saya.
Apabila saya mendapat tahu, saya beritahu Muhyiddin tentang janjinya dahulu untuk mengekalkan semua ahli Parlimen di kawasan masing-masing.
Lima hari sebelum penamaan calon, barulah nama saya ada. Jadi, cuba awak bayangkan bagaimana mahu menjaga rakyat kalau ahli parlimen pun awak tidak boleh jaga dengan betul?
KEMBALI KEPADA ASAS
Harapan Datuk terhadap Bersatu?
Kalau Bersatu mahu menjadi parti yang mampu mewakili orang Melayu, perlu kembali kepada asas, penerangan dan penambahan cawangan selain ahli. Cuma masalahnya semua perkara ini tidak kelihatan.
Walau apa pun, Bersatu ini akan bertanding macam parti lain dan boleh berlaku perpecahan. Contohnya, saya sebagai ahli parlimen Bersatu, tidak tahu dan tidak dipanggil untuk bermesyuarat di peringkat negeri atau bahagian. Jadi, kalau Bersatu mahu terus berada dalam era politik Melayu, aspek kepimpinan dan asas perlu berubah. Beri peluang kepada pelapis dan muka baharu.
Siapa sebenarnya yang layak memimpin Bersatu?
Susah soalan ini. Cuma bagi saya Bersatu perlu beri semangat baharu. Begitu juga dengan UMNO. Saya lihat ada tiga parti yang mewakili orang Melayu iaitu UMNO, Pas, Bersatu dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Semua ini perlu ada jiwa baharu dalam negara untuk membangunkan masyarakat.
BERANI BUAT PENDEDAHAN
Apakah yang menyebabkan Datuk berani membuat pendedahan bahawa terdapat lapan orang lagi yang akan menyokong Anwar?
Perasaan tidak puas hati memang sudah ada dalam kalangan mereka dan saya fikir mungkin senarai yang mahu menyatakan sokongan kepada Anwar sampai mencecah 10 orang. Semua ini gara-gara rasa tidak puas hati terhadap barisan kepimpinan dan demi mahu menjaga kawasan masing-masing.
Siapa antara nama-nama tersebut?
Nama-nama ini masih lagi di peringkat rundingan dan saya tidak mahu bocor. Biarlah rahsia dulu. – Mingguan Malaysia