Kerajaan stabil penting elak Malaysia terus dibuli Sulu

Kerajaan stabil penting elak Malaysia terus dibuli Sulu

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
BULAN ini dan bulan depan adalah waktu yang agak sibuk bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), DATUK SERI AZALINA OTHMAN SAID kerana perlu memantau perbicaraan kes di luar negara melibatkan tuntutan lapan individu yang mendakwa waris kesultanan Sulu.

Dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan NIZAM YATIM di Kuala Lumpur kelmarin, Azalina berkata, isu tuntutan itu boleh diselesaikan dengan syarat kerajaan stabil dan tidak berlaku pertukaran pemerintah dan Perdana Menteri secara kerap.

“Saya minta maaflah, saya memang tetap pegang pada Akta Lompat Parti ini. Sebab jika stabil dalam tempoh lima tahun seperti yang dititah Seri Paduka ini, macam-macam yang boleh kita buat dan selesaikan termasuk keputusan ‘gila’ penimbang tara yang memberi award AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) kepada penuntut Sulu”, katanya.

Sebenarnya pada bulan November dan Disember ini akan ada dua pendengaran penting kepada kes ini (tuntutan Sulu). Saya nak tekan di sini ialah apa yang sebenarnya berlaku ke atas negara kita dalam kes ini ialah mereka ini keturunan Sulu ini mengambil kesempatan daripada beberapa perkara yang berlaku di peringkat antarabangsa.

Pertama sekali ialah apa yang disebut pembiaya litigasi pihak ketiga. Ini satu budaya di Amerika Syarikat (AS) yang sudah 20 tahun wujud tetapi dia telah masuk ke Eropah dan di United Kingdom (UK) juga.

Dekat Malaysia pun ada, tetapi kes-kes tertentu sahaja. Maknanya, kalau ada kes-kes besar yang peluang untuk menang itu tinggi, dia akan biayai kos guaman seperti membayar peguam tetapi dia tidak terlibat dalam proses guaman.

Dia mungkin ambil 20 peratus atas kemenanganlah. Maknanya kalau katakan kes itu AS$100 juta, dia letak AS$10 juta katakan dan dia tuntut kalau menang dia dapat (balik) AS$10 juta campur 20 ke 30 peratus. Ini satu bisnes. Ia sangat sah (dari segi undang-undang), tak ada masalah. Pasal nak pergi bank minta duit nak saman orang, bank tidak akan bagi? Jadi pembiaya dia ambil risikolah, menang atau kalah.

MODUS OPERANDI
Jadi apa yang keturunan Sulu ini buat, dia nak buat tuntutan ke atas wilayah di Sabah. Satu Sabah itu dia kata dia punyalah. Tetapi saya tahu dia tidak cerita semua kepada orang putih ini, dia cerita sikit-sikit sahaja.

Dia cerita dia ada perjanjian 1878, perjanjian itu konon kena bagi keturunan dia duit tiap-tiap tahun. Tapi yang dia tidak cerita, keturunan dia ini ramai. Dia bukan lapan orang ini sahaja, lepas itu dia tak cerita lepas 1878 itu macam-macam berlaku sampai Sabah jadi Malaysia pada 1963. Beratus tahun, bolehkah kita percaya ramai-ramai ini masih ada hak nak tuntut, tak pelikkah.

Yang saya nak tekan ialah kalau kita tengok dokumen perjanjian 1878, ini dalam bahasa jawi. Kita tengok orang putih boleh baca jawikah? Kita tahu memang banyak cerita bohonglah. Saya panggil Sulu fraud (pernyataan palsu Sulu).

Agaknya dia tidak cerita penuh, yang dia cerita konon ada perjanjian, kita bayar tiap-tiap tahun, lepas itu kita berhenti bayar. Yang dia tak cerita, kita berhenti bayar pasal apa. Masa 2013 yang dia serang kita.

Malaysia daripada dulu selalu kasihan, kita bagi dia (orang Sulu) hidup dengan kita, tetapi bila dia serang kita itu yang ramai polis dan tentera mati. Ini yang jadi kelam-kabut sebab versi dia orang ini versi yang berat sebelah.

KERAJAAN STABIL PENTING
Pada tahun 2020 dengan 2021 bila dia mula buat tuntutan ke atas kita, kerajaan dan Perdana Menteri bertukar. Saya minta maaflah, saya memang tetap pegang pada Akta Lompat Parti ini. Sebab jika stabil dalam tempoh lima tahun seperti yang dititah Seri Paduka ini, macam-macam yang boleh kita buat dan selesaikan.

Saya tak cakap politik sebaliknya saya cakap kebenaran, sebab kalau ikut Perlembagaan Persekutuan seperti sebelum ini ahli Parlimen boleh lompat ke sini sana. Kalau ini berlaku, macam mana kita nak pergi selesai tuntutan Sulu di peringkat antarabangsa sebab yang dia serang itu negara Malaysia dan bukan serang syarikat.

Cuma ada yang bertanya saya kenapa kes tuntutan Sulu ini tidak selesai. Sebabnya mereka pergi ke banyak bidang kuasa dan tidak pergi ke satu negara sahaja. Mereka tidak tuntut di Madrid, Sepanyol sahaja sebalik lepas itu pergi ke Perancis dan kemudian ke Luxembourg dan lepas itu ke Hague, Belanda. Sebenarnya kami dapat cerita dia nak pergi lebih daripada empat mahkamah, dia ikut suka dialah, pasal dia banyak duit.

Sebab itu, saya kata kerajaan stabil itu penting dan saya ucap terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana bagi saya amanah untuk selesaikan benda ini.

CABUT PLAG
Bila hendak hadapi tuntutan seperti Sulu yang sekarang ini belum sempat kita hendak cerita sebenar dia sudah lari dekat mahkamah lain, jawapan dia satu sahaja, kerajaan kena stabil.

Jangan hendak main tukar-tukar Perdana Menteri. Itu saya kata Akta Lompat parti ini pun menyelamatkan negara. Kalau kita tak suka kerajaan yang ada, tunggu lima tahun tukar sahajalah. Sikit-sikit nak cabut plag, nak cabut plag ikut suka. Tak tahukah banyak isu antarabangsa itu terikat juga sekarang? Dunia semakin kecil dan jangan fikir senang, macam fikir orang tak akan ada orang berani saman negara. Banyak kes sudah, negara-negara disaman dalam sistem timbang tara.

MERIT KES
Saya nak berbalik kepada merit kes. Orang menggunakan sistem timbang tara antarabangsa sebagai satu kaedah menyelesaikan pertikaian. Bila syarikat besar ada pertikaian dia tak nak pergi mahkamah sebab dokumennya beratus. Itu yang dia suka pergi penyelesaian pertikaian alternatif iaitu arbitrasi atau timbang tara, tak ada masalah.

Tetapi timbang tara ini saya nak cakap dengan pembaca kat Utusan, ia selalu digunakan untuk perdagangan sahaja, contohnya kalau kita buat bangunan, kita buat rumah, bila ada masalah cat tak kena, rumah tak siap, takkan nak pergi mahkamah bertahun nak selesai. Pergilah timbang tara, jadi ia satu forum baharu iaitu alternatif kepada mahkamah.

Macam kita pergi mahkamah, dia kena ikut dokumen, dua-dua pihak kena setuju lantik penimbang tara, lokasi timbang tara dipersetujui dan syarat-syarat serta terma dipersetujui. Kemudian kita bincang, kita bawa bukti, kita tengok undang-undang. Jadi penimbang tara itu akan cuba selesai.

Itu okey, kita pun tak ada masalah, tapi yang pelik bin ajaib itu ialah kerana dia tak beri kita peluang di Madrid untuk memberikan pandangan kitalah. Maknanya kita nak bagi penimbang tara kita, kita nak bagi pandangan kepada forum, semua tak nak. Dia macam (berat) sebelah, dia kira main kotor lah. Kita tak bersedia lagi dia dah buat keputusan dan dia sudah bagi award (keputusan oleh penimbang tara) AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) lagi itu, tak gilakah?

TIDAK BOLEH AMBIL RINGAN
Mungkin ada (orang) kata, dia cakap sahaja, apa dia boleh buat. Banyak orang menyangka award ini atas kertas sahaja. Tetapi bila dia pergi mahkamah sivil yang tak tahu sejarah Malaysia, sejarah Sabah, masa kes Lahad Datu pada 2013, banyak orang mungkin betul-betul menganggap kerajaan Malaysia berhutang dengan dia orang jumlah ini.

Dia merepresentasikan award itu, sebab award itu dia dapat. Jadi dia pusing satu Eropah dengan award AS$14.9 bilion. Jadi itu yang dia pergi Paris, Belanda, dia pergi Luxembourg. Itu bukan nak bicara, dia nak melaksanakan penghakiman award itu. Dia pergilah ke negara-negara yang mungkin ada harta kerajaan Malaysia. Macam kes harta Petronas, sebab dia menganggap Petronas itu 100 peratus kerajaan Malaysia.

Dia dapat award ini di Madrid. Jadi di sana kita sudah lawan. Kita persoal kesahihan dia (Dr. Gonzalo Stampa) sebagai penimbang tara, semua kita sudah buat, tetapi tak selesai lagi. Dia bawa perintah mahkamah itu ke negara-negara lain. Kalau di Malaysia, benda yang dia buat ini, memang tak laku, hakim tak akan layan.

Di Madrid kita hendak mengetepikan award, dia tak bagi kita buat, dia pergi lari ke negara lain. Dia main kotor. Lepas tu dia pergi masuk pula harta kedutaan dekat Paris. Kita tahu harta kedutaan memang tak boleh kacau, dibuatnya. Nampak sangat dia main kotor dan tak ikut undang-undang. Dia tak membuat cara yang betul dan tak ikut prosedur, sebab dia rasa pembiaya dia banyak kat belakang.

 

AZALINA Othman Said (kanan) menghadiri perbincangan dengan peguam-peguam lantikan kerajaan Malaysia dari Belanda, Perancis, Luxembourg dan Sepanyol berkenaan kes Sulu di Paris pada Mei 2023.

 

SIAPA BULI SIAPA?
Kita ada harta luar negara. Kemungkinan dia pergi lelong hotel Felda dekat London. Saya tak tahu, bolehlah kalau dia nak sebab ini perintah mahkamah di peringkat antarabangsa.

Benda ini mudah sebenarnya, dia macam kes Goldman Sachs Group Inc. (Goldman Sachs), yang masalahnya 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tetapi kenapa Goldman Sachs membuat permintaan timbang tara dekat kerajaan Malaysia.

Sekarang ini, sebab saya menteri undang-undang. Kerajaan suruh Malaysia membela dirilah, tak kisahlah betul atau tidak tuntutan itu, kita kena bela diri. Kita kena lantik penimbang tara, kita kena cari peguam dan dalam kes ini, kita tidak boleh anggap yang tuntutan dia orang ini tidak akan menggigit.

Mungkin pada mula pada awal tahun 2020 kerajaan beranggapan tak masuk akal tuntutan ini, mungkin lah, saya tak tahu. Apabila ada kerajaan anggap remeh, dia ambil kesempatan. Bila bertukar kerajaan kita terpaksa tentang sebab kita tak boleh main-main bab ini.

Alhamdulillah mahkamah di Belanda dan Paris memberi keputusan yang bagus kepada kita tetapi dia masih nak merayu. Tapi rayu itu satu hal, kos yang mahkamah suruh bayar kepada kita dia tak bayar lagi. Selalunya kalau kita nak merayu. Kita kena selesai kos dulu, dia tak bayar kos.

Kita pun tak tahu kenapa dia pilih keempat-empat negara tersebut yang tidak mengikut sistem common law. Mungkin mudah nak misreprentasikan mereka. Dia juga tahu yang kita di Malaysia, nak ambil peguam, nak lari ke sana itu memang jauhlah. Jadi maknanya yang buli kita itu ialah dia orang, bukan kita buli lapan orang ini. Dia orang buli kita, sebab ada penyokong dekat belakang, orang yang ada duit.

AKTA KEKEBALAN NEGARA
Harapan kita Akta Kekebalan Negara ini akan membantu negara kita daripada pihak-pihak yang menggunakan timbang tara antarabangsa untuk cuba tikam Malaysia.

Akta ini belum dibentangkan (di Parlimen) tetapi Kabinet sudah bersetuju. Dengan adanya akta ini, kita nak bagi notis pada negara luar bahawa negara Malaysia ada kekebalan. Maknanya nak saman Malaysia ada proses.

Jangan main semberono nak samanlah. Maksud saya nak saman tak ada hal tetapi ada prosedurnya supaya kita dalam negara Malaysia termasuk Peguam Negara, menteri, Perdana Menteri semua mesti bersedia. Dia patut ada sistemlah, supaya kita tahu apa nak buat untuk melantik peguam, tengok dokumen dan membawa pakar. Jadi kita bersedia dan tak ada orang boleh buat keputusan seronok-seronok. Saya percaya kalau kita bersedia lebih awal dengan cara kita, banyak benda yang kita boleh lawan.

 

SEBAHAGIAN daripada senjata yang dirampas daripada pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah pada 2013.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya