Sekarang lagi senang dapat dadah - Utusan Malaysia

Sekarang lagi senang dapat dadah

APEK (kiri) ketika ditemu bual wartawan Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah
WAJAHNYA langsung tidak menceritakan pelbagai pengalaman hitam yang pernah ditempuhi sama ada sebagai penagih atau pengedar dadah.
Malah, pernah bergelar sebagai anggota tentera juga bukanlah jaminan seseorang itu tidak terjebak dengan masalah dadah, walaupun kehidupan mereka penuh dengan disiplin dan jadual ketat.
Justeru wartawan Mingguan Malaysia menemu ramah bekas penagih dadah, MOHD. RIZAL, 32 atau lebih dikenali sebagai ‘apek’ menceritakan pengalamannya.

 

Sejak bila mula mengambil dadah?
MOHD. RIZAL: Saya sebenarnya mula ambil dadah sejak darjah lima lagi sampai tingkatan lima. Kemudian ada satu ketika saya ditahan polis sebab kes curi motor. Apabila ditahan polis, saya dapat berhenti daripada menghisap dadah.
Kemudian selepas tamat alam persekolahan, saya cuba mohon menjadi anggota tentera dan nasib saya baik apabila diterima. Bagaimanapun dalam perkhidmatan tentera, saya mula menghisap dadah balik. Buat perangai lama.
Saya pada masa itu bertugas di unit yang ditempatkan di Kem Tebrau, Johor. Apabila dalam tentera, duit ada dan umur pula pada masa itu masih muda, bujang. Jadi, komitmen tidak banyak.
Jadi dapat ‘pegang’ duit, mula nak beli yang bukan-bukan termasuk dadah. Selepas beberapa tahun, saya ‘kantoi’ dan diletakkan dalam guard room sebelum dibuang daripada perkhidmatan. Mujur tidak dihantar ke pusat tahanan Angkatan Tentera Malaysia (PTAT).
Kalau tidak lagi teruk kalau saya dihantar ke sana. Maknanya, kes saya diselesai di peringkat unit sahaja dan tidak diadukan kepada Kor Polis Tentera Diraja (KPTD). Saya dapat berkhidmat dalam tentera lima tahun sahaja.
Selepas itu apabila berada dalam dunia awam pula, saya lebih bebas. Daripada sekadar menghisap, saya jadi pengedar. Malah saya turut memiliki pistol jenis revolver, lengkap dengan 10 butir peluru, dibeli dari negara jiran dengan harga RM3,000 siap kos penghantaran.
Pistol perlu sentiasa ada, sebabnya kita tidak tahu apa akan jadi apabila masuk ke satu-satu kawasan atau ketika mengambil bekalan dadah. Tapi saya tidak pernah lepaskan tembakan dan kalau boleh memang tidak mahu ‘bertempur’ sama ada dengan geng lain atau polis.

Berapa bayaran yang diterima sebagai pengedar?
Sebulan saya dapat RM30,000 dengan jual dadah. Jumlah itu termasuk dengan upah mengutip hutang dadah daripada penagih-penagih dadah. Tugasan kutip hutang ini kita panggil ‘ambil order’.Sekali buat kerja (kutip hutang) dapat dalam RM5,000. Maknanya, kalau tauke suruh ‘ambil order’, gaji sudah ada.
Tapi kadang-kadang saya ada terfikir, orang yang hutang itu ada keluarga dan timbul rasa belas kasihan. Namun hutang tetap hutang. Kalau tak bayar, kami gunakan kekerasan, cuma tidaklah sampai bunuh sebab tauke pun tak nak, takut rugi.
Lagi satu perlu ingat, apabila seseorang terlibat dengan dadah, dia akan terlibat dengan macam-macam lagi kegiatan. Perempuan dan juga jual dadah di luar negara.
Tapi percayalah sebanyak mana duit kita dapat pun, ia tidak pernah cukup. Sebabnya, nak bayar peguam, nak ‘kawtim’ dengan penguat kuasa. Hati pun rasa takut setiap kali bergerak. Lagi pun tak berkat.

Pernah ditangkap atas kesalahan pengedar?
Saya memang ditahan sebelum ini disebabkan kes jenayah termasuk memiliki senjata api. Tapi kes dadah tak ‘lekat’ sebab barang tiada pada masa itu. Itu pun kes disebabkan senjata api, tidak lekat juga selepas keluarga lantik peguam. Saya direman dua tahun di penjara.
Apa yang paling dikesalkan?
Saya bekas tentera. Sepatutnya saya terus kekal dalam perkhidmatan sampai pencen, bukan buat hal. Rasa sangat menyesal sebabnya selepas ini apabila dibebaskan, saya perlu mulakan semula penghidupan baharu.
Kalaulah saya kekal sebagai anggota tentera, saya hanya tinggal lebih kurang lapan tahun lagi, kemudian boleh pencen dengan tenang. Tapi tidak dinafikan, banyak tentera yang terlibat dengan dadah. Maklumlah umur muda, duit banyak dan bujang.

Adakah dadah mampu dihapuskan?
Percayalah sekarang dadah lagi mudah hendak dapat. Kalau dulu mungkin mahu dapatkan bekalan perlu tunggu selama tiga jam, sekarang sebelah rumah pun boleh dapat. Budak sekolah pun ada yang jual dadah. Mudah sangat. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya