Politik stabil, pemimpin cekap ramuan untuk ekonomi - Utusan Malaysia

Politik stabil, pemimpin cekap ramuan untuk ekonomi

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
CAKAP-CAKAP mengenai situasi politik dan ekonomi seringkali menjadi perhatian sama ada bagi pemimpin atau rakyat negara ini.
Banyak jangkaan dan ramalan berkaitan kedua-dua elemen ini ‘bergema’ dalam usaha mendepani cabaran bagi tahun 2023 secara lancar serta penuh kemakmuran.
Hakikatnya semua pihak mengha­rapkan Malaysia mampu meng­harungi apa jua situasi dan tidak terjerumus ke kancah kejatuhan ekonomi lebih besar pada masa-masa akan datang.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI dan ASLINDA NASIR menemu bual bekas Menteri Kewangan II, yang juga Naib Presiden UMNO, DATUK SERI JOHARI ABDUL GHANI bagi mendapatkan pandangan beliau. Turut membantu jurufoto, FAUZI BAHARUDIN dan MOHD. FIKRI PADIL.

UNJURAN EKONOMI
MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana pandangan Datuk Seri terhadap situasi dan unjuran ekonomi Malaysia terutama bagi tahun ini?
JOHARI: Kalau kita tengok statistik dalam konteks ekonomi global memang dijangka menguncup secara keseluruhan. Dalam konteks Malaysia pula, kita terkesan lebih-lebih lagi dengan penularan Covid-19 sebelum ini.
Jadi, apabila ekonomi dibuka semula, ada nampak peningkatan daripada segi perkembangan ekonomi. Jika diimbas suku pertama tahun 2022, ekonomi kita berkembang 3.8 peratus, suku kedua turun sikit 3.5 peratus dan suku ketiga jatuh kepada 1.9 peratus dan selepas itu suku ke negatif 2.6 peratus.
Justeru, saya nampak setahun dua ini agak mencabar dengan sistem ekonomi terbuka dan apa berlaku di dunia memberi kesan kepada kita.

Apakah langkah boleh diambil untuk mendepani cabaran ini?
Kita perlu pastikan dan memberi gambaran kepada pelabur bahawa kestabilan politik kita kuat untuk lima tahun akan datang. Kedua pula, kita perlu pastikan ada pemimpin kompeten dan berpengalaman untuk menerajui semua kementerian. Adalah perlu kementerian sentiasa mengeluarkan kenyataan yang memberikan keyakinan kepada pelabur bahawa kita mempunyai kerajaan berpengalaman, cekap dan dipercayai terutama membabitkan apa sahaja polisi yang mereka buat kepada rakyat.

Bagaimana dengan polisi dan dasar ekonomi negara setakat ini?
Kita sudah ada dasar konkrit yang kita bangunkan sebelum ini ketika zaman Barisan Nasional (BN) dulu. Dasar yang jelas dan melibatkan semua orang tanpa bergantung kepada satu kaum atau industri sahaja. Kita juga mengamalkan konsep berdagangan yang sangat terbuka kepada semua negara di dunia open economy.

Adakah perubahan kerajaan pada tahun 2018 (sebaik tamat PRU14) memberi kesan kepada polisi sedia ada?
Ya, itu betul. Sebelum ini kita sudah biasa 61 tahun dengan pemerintahan BN. Jadi, polisi dan dasar konsisten termasuk melibatkan polisi berkaitan masyarakat berbilang kaum serta dasar
masyarakat bumiputera yang lebih spesifik.
Tetapi apabila kerajaan tukar, sudah tentu ianya memerlukan masa untuk buat adjustment.
Saya lihat banyak pihak ketika ini masih belum berapa selesa lagi. Dalam tempoh peralihan kita pula bertukar kerajaan sebanyak tiga kali. Selepas 22 bulan PH, kita bertukar lagi selama 17 bulan kemudian bertukar lagi 14 bulan sehingga ke PRU15. Kali ini komposisi kerajaan sudah bercampur menjadi (Kerajaan Perpaduan) pula.
Untuk menyesuaikan diri sudah tentu ia mengambil masa. Tambahan pula, ini negara dan bukannya syarikat. Pelarasan akan mengambil masa. Kemudian kita berdepan pula masalah global ekonomi dan pandemik Covid-19.
Selepas itu, kita ada isu melibatkan beberapa menteri Kabinet yang pertama kali jadi menteri. Tidak pernah jadi Timbalan Menteri pun. Mereka memerlukan masa memahami isu-isu pentadbiran kerajaan.

PROJEK MEGA PERLU PINJAMAN BESAR
Apakah langkah fizkal yang perlu diperkenalkan kerajaan selepas ada kebimbangan untuk tiga bulan pertama terutama melibatkan perbelanjaan rakyat?
Saya fikir biar kerajaan fikirkan bagaimana hendak selesaikan masalah ini. Beri mereka masa. Apa yang saya tahu, hutang kerajaan akan terus meningkat. Sekarang hutang kita sudah mencecah lebih RM1.2 trilion.
Kerajaan perlu lihat semula projek-projek mega yang memang ada keperluan akan tetapi cuma masa yang tidak sesuai sekarang. Ini juga perlu dipertimbangkan semula. Dalam keadaan hari ini projek mega akan memerlukan pinjaman besar dan ini perlu dilihat dari segi konteks ekonomi keseluruhan kerana kadangkala projek mega nampak bagus di atas kertas tetapi negara perlu mengimport banyak teknologi dan kepakaran dari luar negara. Ini akan menyebabkan peningkatan import yang berlebihan dan memberi kesan pada negara.

INSENTIF CUKAI
Model percukaian Malaysia sedia ada dengan purata hasil cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) cuma sekitar 11.5 peratus. Pada pandangan Datuk Seri apakah model terbaik yang perlu digunakan sepatutnya?
Kalau kita lihat negara jiran seperti Singapura, Filipina dan Thailand, mereka mempunyai peratusan cukai mencecah 14 peratus dari KDNK mereka. Kita hanya 11.5 peratus daripada KDNK. Perbezaan kira-kira lebih kurang tiga peratus itu melibatkan jumlah RM45 ke RM60 bilion pendapatan kerajaan. Kita perlukan sistem pencukaian yang mampan atau sustainable. Dulu negara kita ada cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kita dapat sekat atau mengurangkan ekonomi gelap atau ekonomi bayangan. Ini sudah semestinya menyumbang kepada jumlah peratus pendapatan kerajaan.
Kita perlu lihat semula bagaimana kita kendalikan insentif cukai untuk menarik pelabur melabur ke negara kita. Sebagai contoh, kita boleh beri 10 tahun pengecualian tetapi kita perlu letakkan syarat-syarat yang membolehkan pelabur dan kerajaan mendapat manfaat setimpal.
Pelabur perlu memenuhi syarat yang kita tetapkan seperti menggaji kakitangan pengurusan tempatan dengan gaji sebulan mungkin minimum RM10,000 ke atas.
Kemudian menetapkan mengambil pekerja tempatan bekerja dan tidak bergantung pada pekerja asing semata-mata. Kadar gaji pekerja asing perlu berbeza dengan pekerja tempatan. Pekerja tempatan tidak tertarik dengan gaji yang terlalu rendah. Pekerja asing tidak mengapalah sebab mereka boleh duduk satu rumah sampai 10 orang. Kos kehidupan mereka lebih rendah.
Inilah syarat yang kita boleh berikan kepada syarikat asing menerusi insentif cukai dan walaupun kita tidak mengenakan cukai, tetapi kita mahu keuntungan syarikat ini diberi semula kepada negara dalam bentuk pekerjaan kepada penduduk tempatan serta pengalaman dan teknologi yang dibawa ke negara ini.

Pandangan Datuk Seri berkenaan pelaksanaan cukai barangan mewah?
Apa yang dikatakan barang mewah? Adakah kalau orang itu gaji RM50,000 dia ada membeli barang mewah tapi bagi dia tidak mewah. Adakah itu dilaksanakan cukai? Barang mewah ini sangat subjektif. Ia bergantung pada individu. Ada orang gaji RM50,000 sebulan tetapi dia anggap barang RM20,000 itu bukan mewah.
Pada saya, paling terbaik kenal pasti barang itu melalui pencukai GST. Itu yang terbaik. Mana-mana barang yang dianggap mewah kita boleh kenakan kadar GST yang tinggi berbanding barang-barang yang tidak dianggap mewah.
Kalau bukan barangan mewah pula mungkin cukai tiga ke empat peratus sahaja. Awak beli kereta Proton atau Perodua mungkin tidak dianggap barangan mewah tetapi keperluan. Berbeza jika kita beli kereta BMW. Ini semua perlu dibincang mekanismenya secara terperinci sebelum kita laksanakan.

KWSP
Bagaimana Datuk Seri melihat kepada pelaksanaan pembiayaan peribadi Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)?
Ini sangat penting kita perlu faham. Mari kita lihat dalam aspek KWSP dan bank.
Kalau awak pergi bank dan mahu buat pinjaman. Katakanlah, dalam akaun dua KWSP ada RM100,000, sekarang berapa banyak awak hendak pinjam?
Awak hendak pinjam RM100,000 mungkin bank hanya boleh beri pinjam RM70,000 sahaja.
Tapi awak kena bayar juga faedah serta ianya juga mengambil masa untuk diproses oleh bank.
Katakan umur ketika mahu membuat pinjaman adalah 50 tahun dan awak akan bersara ketika umur 60 tahun. Dalam tempoh 10 tahun pinjaman itu kita kena bayar faedah. Kalau awak pinjam RM70,000 bayar faedah katakanlah lima peratus setahun iaitu RM3,500.
Untuk 10 tahun faedah sahaja RM35,000. Maknanya, awak ambil pinjaman RM70,000 dan faedah selama 10 tahun sebanyak RM35,000. Jumlah bersih yang awak terima daripada pinjaman RM35,000. Kalau itu sahaja jumlahnya adalah lebih baik gunakan sahaja duit KWSP secara terus RM35,000. Tak payah nak bayar faedah.
KWSP sudah keluarkan RM145 bilion sepanjang dua tahun Covid-19. Silap kerajaan juga sebab pertama mengapa duit KWSP itu turut diberikan kepada mereka yang tidak terkesan kehilangan pekerjaan seperti kakitangan kerajaan, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan lain-lain.
Apabila semua orang dibenarkan keluar duit KWSP tanpa sebab ia menyebabkan KWSP terpaksa menjual pelaburan jangkamasa panjang mereka untuk menampung pengeluaran tersebut. Bukan itu sahaja, kerajaan juga pada ketika itu memberi moratorium kepada pembayaran hutang kepada individu yang tidak terkesan kehilangan kerja. Ia juga polisi yang tidak sesuai.

HUTANG NEGARA
Jumlah hutang negara mencecah lebih RM1 trilion. Adakah ini membimbangkan?
Hutang kalau ia memberi manfaat jangka masa panjang pada kita tidak mengapa. Kita juga perlu lihat kebolehan kita membayar faedah hutang. Pembayaran faedah hutang kita sudah mencecah lebih RM43 bilion setahun. Faedah hanya boleh dibayar melalui pendapatan kerajaan. Undang-undang kita tidak membenarkan membayar faedah dengan berhutang. Hutang hanya boleh dibuat untuk pembangunan.
Jadi, kalau pendapatan cukai kurang, pembayaran faedah hutang tinggi saya takut sampai satu peringkat, hendak bayar faedah hutang pun kita perlu berhutang.
Hendak ambil duit KWSP sebelum bersara mestilah bersebab. Contohnya, sebab pendidikan, pembayaran kesihatan atau mengelakkan muflis secara spesifik mungkin boleh dipertimbangkan. Tetapi ini perlu penelitian yang rapi sama ada KWSP mampu melaksanakannya.

Parti bersengketa sesama sendiri tidak kuat

Jangkaan Datuk Seri dalam PRN nanti?
Bukan mudah untuk menang keenam-enam negeri ini. Kita perlu menumpukan sepenuh perhatian. Tidak boleh mengambil mudah.

Pandangan Datuk Seri berkenaan poster boy?
Poster boy ini adalah janji kita kepada rakyat siapa yang kita hendak ketengahkan sebagai Ketua untuk pemimpin negeri. Kalau kita keluarkan poster boy ini kita berjanji dengan rakyat macam janji manifesto juga. Boleh tak kita tunaikan selepas menang? Kalau tidak pasti lebih baik kita jangan buat berjanji.

POLITIK
Bagaimana Datuk Seri melihat hala tuju UMNO lepas pemilihan?
Saya secara peribadi berpandangan UMNO tidak boleh ada situasi macam dulu. Ada kluster mahkamah, ada kluster Putrajaya atau kluster PWTC. Kita sudah nampak kesannya apabila ada pelbagai kluster diantara kita ini menyebabkan kita semua bertambah lemah dan akhirnya kita kalah teruk sehingga hanya mampu mendapat 26 kerusi.
Pada saya, sebenarnya kita semua perlu belajar daripada kesilapan kita. Saya pun sama juga kena banyak berkorban untuk memastikan keharmonian dalam parti perlu diutamakan.
Saya juga perlu mainkan peranan bukan sahaja mengutarakan perkara yang saya tidak suka, tapi perlu belajar bagaimana mahu suarakan perkara yang boleh mengembalikan keharmonian agar parti dapat mendepani PRN dan PRU 2027 nanti dengan baik.
Perlu diingat selalunya parti yang bersengketa sesama sendiri tidak akan menjadi parti yang kuat. Parti yang tidak kuat tidak akan mendapat keputusan yang bagus dalam pilihan raya.
UMNO parti besar tapi menang sikit. Ini berpunca kerana berdepan isu-isu dalam parti itu sendiri. Di samping itu, kita tidak boleh ada pemimpin pemimpin UMNO yang ‘membalun’ antara satu sama lain secara terbuka. Ia menggambarkan UMNO sebuah parti sentiasa bergolak.
Tak boleh siang malam balun sesama kita. Setiap pemimpin ada penyokongnya.
Penyokong jadi marah jika pemimpin mereka dibalun akhirnya memberi kesan pada kekuatan parti. Kalau ada perkara yang kita tak setuju boleh bawa dalam perbincangan tertutup. Jangan kita menuduh tak tentu pasal sesama sendiri.

UMNO BUKAN MILIK PRESIDEN
Adalah barisan MT kali ini barisan MT Ahmad Zahid atau MT Bossku sebagai mana yang dikatakan oleh Khairy Jamaluddin?
Saya punya pandangan UMNO bukan milik Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atau Datuk Seri Najib Tun Razak. UMNO milik 3.5 juta ahli.
Jadi, pada saya kalau sudah habis pertandingan itu, habislah. Kita bersatu semula dan gunakan kehebatan kita masing-masing utk membina semula kekuatan UMNO.
Pemimpin UMNO ramai yang hebat-hebat belaka. Kalau kita gabungkan semua kekuatan ini tiada siapa boleh mengalahkan kita.
Bagaimanapun, hendak gabungkan kekuatan ini cakap memang senang tetapi buatnya susah sebab kita perlu korbankan ego dan meningkatkan toleransi di antara kita. Kadang-kadang kita perlu banyak bersabar walaupun ia menyakitkan. Inilah konsep berparti. Lepas pertandingan kita rapatkan barisan. Tidak boleh banyak ketua. Ketua perlu ada satu sahaja.

UMNO TINGGAL NAMA
UMNO kini dilihat seolah-olah hanya tinggal nama dan ahli. Datuk Seri setuju?
Kita masih ada lagi 26 kerusi Parlimen. Yang penting, kita tidak boleh berpecah lagi. Saya sebagai Pengerusi Kelab Backbenchers Kerajaan Perpaduan terpaksa belajar bekerjasama dengan parti-parti lain seperti PKR, DAP, Amanah, Warisan, GPS, GRS, MUDA dan UPKO.
Mereka semua sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan. Kalau parti-parti ini semua kita boleh bekerjasama kenapa kita dalam UMNO sendiri tidak boleh?

Datuk Seri baru memenangi jawatan Naib Presiden UMNO, apakah perkara yang mahu dilaksanakan selepas ini?
Saya akan bersama dengan Presiden. Naib Presiden kena berperangai macam Naib Presiden. Kalau ada perbezaan pendapat kita bawa dalam mesyuarat dan apa sahaja perkara berbangkit kita boleh selesai secara tertutup. – Mingguan Malaysia

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya