SAUDARA PENGARANG,
DALAM perjalanan menuju kejayaan, sudah tentu terdapat seseorang atau sekumpulan individu yang banyak menyokong atau mempengaruhi kita untuk lebih tekad dan berusaha dalam mencapai sesuatu impian.
Seseorang itu mungkin merupakan ibu bapa, adik-beradik, saudara-mara, rakan, guru, pensyarah dan sebagainya. Mereka yang mempengaruhi untuk berusaha mencapai kejayaan inilah digelar sebagai pempengaruh manakala kita pula dipengaruhi oleh auraaura positif mereka.
Seorang pempengaruh memainkan peranan sangat penting dalam kehidupan kerana mampu mengubah nasib orang lain dengan hanya melalui latar belakang, katakata semangat diungkapkan, pencapaian diperoleh, sahsiah dan lain-lain lagi.
Pempengaruh boleh membantu individu yang pada asalnya ‘tidak bercahaya’ kepada ‘penuh dengan cahaya.’ Ini kerana mereka akan menerima pengaruh positif dan bertekad untuk berjaya seperti insan yang mempengaruhinya. Walaupun hanya dengan kata-kata, namun dengan kata-kata yang diungkapkan inilah yang dipegang oleh seseorang itu untuk berjaya.
Berdasarkan pengalaman, saya pernah dipengaruhi oleh guru-guru pada zaman sekolah untuk menjadi seorang pendidik. Setelah bertekad dan berusaha dengan bersungguh-sungguh, saya rasa tiada yang mustahil sekiranya kita ingin melakukan sesuatu. Sementara ketika melanjutkan pengajian di universiti pula, saya sentiasa menghayati kata-kata daripada pensyarah untuk memotivasikan diri dan banyak membaca supaya dapat menguasai ilmu pengetahuan.
Oleh itu, saya amat bersetuju dengan pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan dan bertekad untuk menjadi ‘pengaruh’ kepada orang lain bagi membantu mereka terus bersemangat dalam mencapai cita-cita.-UTUSAN
ONG QI FEI
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa
Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)